Sunah baginda adalah elemen penting yang menjadi panduan dalam aspek kehidupan Muslim. Ia sesuai dengan sabda baginda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (sunah Nabi SAW) (Riwayat Malik, hadis 1594).”

Gaya hidup masyarakat Muslim banyak didorong oleh sunah Nabi SAW. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam aspek penjagaan kesihatan. Masyarakat Muslim banyak merujuk kepada sunah baginda dalam hal ehwal merawat penyakit kerana di samping dapat meraih pahala, ia turut membawa manfaat kesihatan.

Salah satu sunah yang biasa dirujuk oleh masyarakat Muslim apabila mengalami masalah kesihatan ialah berkaitan habbatus sauda’. Maksud hadis berkaitan habbatus sauda’ berbunyi: “Pada habbatus sauda itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati (Sahih Bukhari, kitab al-Tibb, hadis 5688; dan Sahih Muslim, kitab al-Salam, hadis 2215).”

Namun kefahaman terhadap hadis tersebut perlulah melalui kaedah yang betul. Salah faham berlaku apabila masyarakat memahami secara literal terhadap terjemahan hadis. Berlaku salah faham berhubung ungkapan ‘penawar segala penyakit’ yang digunakan dalam hadis berkenaan sehingga masyarakat beranggapan bahawa habbatus sauda’ pengubat kepada segala penyakit kecuali mati.

Hal sebegini menjadi lebih buruk apabila wujud pihak berkepentingan menggunakan kefahaman yang tidak tepat ini untuk melariskan penjualan habbatus sauda’. Bahkan kerap kali berlaku dakwaan produk kesihatan yang mengandungi habbatus sauda’ berupaya mengubati segala penyakit dengan berhujahkan hadis tersebut.

Dalam isu ini, adalah penting untuk sekurang-kurangnya merujuk huraian tentang sesuatu hadis yang ditulis oleh alim ulama.

Ulama menghuraikan hadis berhubung habbatus sauda’ dengan menyatakan terdapat banyak manfaat pada habbatus sauda’ yang mampu mengubati penyakit-penyakit. Kitab Fathul Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani iaitu huraian kepada Sahih Bukhari menyebutkan beberapa kegunaan habbatus sauda’ sebagai penawar.

Antaranya apabila ia dihancurkan menjadi serbuk dan dibalut dengan kain, kemudian dihidu aromanya, boleh membantu orang yang mengalami selesema akibat cuaca sejuk. Turut disebutkan sekiranya habbatus sauda’ dimasak bersama-sama cuka, kemudian digunakan untuk berkumur, ia dapat membantu melegakan sakit gigi.

Contoh-contoh kegunaan seperti dalam kitab syarah yang dinyatakan menunjukkan terdapat banyak manfaat kesihatan pada habbatus sauda’. Namun ia tidak bermaksud habbatus sauda’ adalah ubat kepada semua penyakit di dunia ini.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Antaranya mendalami dan memahami lafaz-lafaz yang digunakan dalam hadis berkenaan habbatus sauda’ ini berpandukan ilmu usul al-fiqh.

Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari, syarah kepada Sahih Bukhari menukilkan bahawa Imam al-Khattabi menerangkan ungkapan ‘penawar segala penyakit’ merupakan lafaz umum yang membawa maksud khusus. Penggunaan maksud yang khusus adalah tepat kerana menurut Imam al-Khattabi, tidak ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini yang terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan.

Kefahaman khusus yang sepatutnya diambil ialah habbatus sauda’ bermanfaat sebagai penawar bagi segala penyakit yang dilihat sesuai diubati dengannya. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari dan Imam al-Nawawi dalam Syarah Al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim memperincikan dengan lebih lanjut tentang maksud ‘penyakit yang sesuai diubati dengannya’. Ia bermaksud bahawa habbatus sauda’ secara khususnya sesuai untuk mengubati penyakit-penyakit yang timbul kerana cuaca sejuk dan tidak berkesan untuk penyakit-penyakit yang timbul disebabkan cuaca panas, misalnya.

Pengkhususan keberkesanan habbatus sauda’ untuk penyakit-penyakit ‘sejuk’ dan pengecualian keberkesanannya untuk penyakit-penyakit ‘panas’ dalam penulisan ulama menunjukkan terdapat limitasi pada kegunaan habbatus sauda’. Sehubungan itu, kefahaman bahawa habbatus sauda’ adalah ubat kepada segala penyakit di dunia ini adalah tidak tepat.

Imam al-Nawawi turut menjelaskan, penyakit-penyakit yang muncul akibat keadaan sejuk merupakan penyakit-penyakit biasa dalam kalangan masyarakat sekitar baginda SAW pada zaman itu. Kerana itulah hadis tentang habbatus sauda’ menggambarkan bahawa banyak manfaat boleh diperoleh daripadanya kerana ia berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit yang biasa pada masa tersebut.

Tidak dapat dinafikan sememangnya habbatus sauda’ mempunyai faedah yang banyak. Baginda SAW menyebutkan tentang kebaikannya dalam sunnah baginda adalah untuk manfaat awam. Kajian saintifik pada masa kini juga menunjukkan terdapat potensi-potensi kegunaan habbatus sauda’ sebagai ubat untuk masalah-masalah kesihatan tertentu.

Meskipun banyak manfaatnya, masyarakat awam tidak boleh mengambil kefahaman bahawa habbatus sauda’ adalah ubat kepada segala macam penyakit di dunia ini secara literal kerana ia adalah tidak tepat.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).