Tidak dinafikan bajet tahunan Singapura diunjurkan bertambah setiap tahun selaras dengan kadar inflasi tetapi paling menarik agihan yang tertinggi kepada sektor pertahanan adalah bersamaan dengan kadar empat hingga lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang membuatkan kadar tersebut paling tinggi dalam kalangan negara ASEAN lain.

Sebab itu, tidak menghairankan mengapa Angkatan Tentera Singapura (SAF) ditakrifkan mempunyai aset ketenteraan paling canggih di rantau ini kerana perbelanjaan operasi dan pembangunan pertahanan mereka begitu lumayan sekali.

Thailand pada Jun lalu ketika mengumumkan Bajet 2019 telah menyaksikan pertambahan peruntukan sebanyak 4.2 peratus untuk kegunaan pertahanan berbanding 2018. Jika Singapura yang memperuntukkan 18 peratus untuk pertahanan daripada keseluruhan jumlah bajet, statistik bajet Thailand pula adalah 7.6 peratus atau 1.4 peratus dari KDNK.

Perbandingan bajet pertahanan di antara Singapura dan Thailand, sememangnya agak ketara perbezaannya tetapi hakikatnya bajet pertahanan Thailand boleh juga dianggap selesa.

Mengapa dihujahkan sedemikian rupa adalah jika dikaitkan bajet pertahanan Thailand dan Malaysia, maka Angkatan Tentera Diraja Thai (RTAF) mempunyai kelebihan yang agak signifikan jika dibandingkan peruntukan yang disediakan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Jika hendak diunjurkan jumlah peruntukan antara ATM dan SAF maka akan lebih ketara perbezaannya.

Ini kerana untuk 2019, Kementerian Pertahanan Malaysia diperuntukkan sebanyak RM13.9 bilion berbanding RM15.4 bilion yang diterima untuk bajet pertahanan 2018.

Berbanding dengan kadar KDNK pula ia mewakili sebanyak 0.9 peratus iaitu antara yang terendah dalam sejarah bajet pertahanan negara. Umpamanya bajet pertahanan 2016 mewakili 1.1 peratus KDNK negara.

Timbul sedikit kegusaran sama ada ATM mampu mengekalkan tahap kesiapsiagaan apabila peruntukan keseluruhan telah berkurangan sebanyak 10 peratus sebelum ini. Secara spesifiknya ketiga-tiga cabang ATM menerima tempias pengurangan peruntukan perbelanjaan operasi terutama sekali Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masing-masing menyaksikan penyusutan sebanyak RM500 juta dan RM617 juta berbanding 2018.

Begitu jua timbul kebimbangan sama ada ATM akan ketinggalan berbanding dengan SAF dan RTAF jika kekurangan peruntukan berterusan untuk jangka masa yang panjang. Sebab itu juga apabila Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyuarakan kebimbangan mengenai pengurangan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan, sebenarnya perasaan tersebut turut dirasai oleh rakyat biasa.

Umpamanya, penyusutan sebanyak RM500 juta untuk kegunaan operasi TUDM sudah pasti membabitkan peruntukan penyelenggaraan terutama sekali dan paling ketara yang membabitkan pesawat pejuang seperti 18 jet Sukhoi Su-30MKM dan 10 MiG-29.

Tetapi agak melegakan sedikit apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa kementerian beliau akan memikirkan langkah terbaik untuk mengurus perbelanjaan tahun hadapan dan agak yakin ekonomi negara akan kembali pulih bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Sedikit pengurangan itu, kami akan menyusun segala bentuk perbelanjaan dan pengurusan bagi menantikan perubahan yang saya yakin (berlaku) dalam masa dua atau tiga tahun.

“Bagi saya, paling gembira bahagian emolumen tidak terusik. Itu paling penting kerana tentera dan kakitangan, peruntukan kebajikan serta bekas anggota diutamakan,” tegas beliau lagi.

Menarik juga ketika menggulung perbahasan Bajet 2019 untuk kementeriannya dua hari lalu, Mohamad menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan sebenarnya menyediakan RM1.4 bilion khusus untuk penyelenggaraan aset utama ATM dan menjadikan peruntukan untuk pertahanan adalah RM15.3 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM1.4 bilion dari jumlah asal seperti yang dibentangkan pada 2 November lalu.

Begitu jelas bahawa kerajaan amat prihatin keperluan mendesak untuk pertahanan negara dan seperti yang dijelaskan oleh Mohamad lagi bahawa Kementerian Kewangan mengambil maklum terhadap keperluan peruntukan tambahan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa tanpa mengabaikan usaha memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap paling efisien.