Pemandu teksi yang baharu menikmati kenaikan tambang juga merungut kerana pemeriksaan di Puspakom turut meningkat 6%. Tambahan RM3.30. Begitu juga dengan kadar sewa bulanan atau harian teksi turut dikenakan GST. Ternyata, walaupun pemandu teksi mendapat faedah kadar tambang baharu tetapi mereka merungut apabila GST memberi kesan kepada mereka. Ketika itu kesan yang dihadapi pengguna dilupakan.

Semasa peringkat awal pelaksanaan GST, pelbagai nama diberi terhadap singkatan GST. Melalui media sosial dan WhatsApp, ramai yang mencipta maksud singkatan GST. Sesetengahnya menjadi bahan jenaka. Ada juga yang berbentuk sinis, mengkritik kerajaan dan tidak kurang juga yang dikaitkan dengan agama. Begitulah kreatifnya orang kita memberi makna GST. Jika dibuka peraduan menamakan GST, sudah tentu mendapat sambutan. Timbul juga kenyataan berkaitan GST haram, tidak terpakai kepada orang Islam dan macam-macam lagi. Hakikatnya, keputusan sudah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai GST. Tidak perlulah merumitkan keadaan.

Semalam, Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan GST yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan adalah satu bentuk keadilan sosial. Baginya zakat dan cukai menyumbang kepada sistem kewangan negara dan mampu mempertahankan keadilan sosial dalam pengagihan kekayaan kepada masyarakat. Beliau dipetik sebagai berkata, masyarakat membuat kesilapan apabila mengatakan cukai baharu itu tidak dibenarkan di dalam Islam dan hanya zakat yang boleh dikenakan. Kata Mohamad Shukri: “Masyarakat selalu memikirkan hanya zakat sebagai satu cara untuk membangunkan negara, tetapi mereka lupa satu perkara - zakat hanya untuk lapan asnaf dan tidak boleh digunakan untuk membina jalan raya atau bangunan,’’. Penjelasan itu diharap dapat menjelaskan sesuatu yang kabur. Seperti yang kita tahu, Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali ke-106 telah merumuskan undang-undang pelaksanaan cukai itu adalah harus. Bagaimanapun pelaksanaannya tidak boleh me­nimbulkan salah faham, salah laku dan eksploitasi.

Diharapkan penjelasan mufti itu dapat mengurangkan rasa sangsi orang ramai terhadap GST walaupun akan ada orang yang tetap tidak akan menerimanya. Mereka akan ada alasan. Akan ada lagi tindakan atau kenyataan yang boleh mempengaruhi orang ramai untuk menentang GST. Isu ini tidak akan selesai dalam masa yang singkat walaupun lambat laun, kebanyakan orang akan menerimanya sebagai sesuatu yang biasa.

Kita lihat nanti adakah GST akan menjadi bahan politik semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin. Pihak kerajaan perlu bersiap sedia menangkis segala serangan. Bukan mudah untuk menjelaskan kenapa harga barang dan perkhidmatan tertentu naik akibat pelaksanaan GST. Pengguna selama ini hanya tahu harga barang naik apabila harga minyak naik. GST satu perkara baharu. Pada hari-hari terawal pelaksa­naan GST, ada beberapa barangan yang tidak sepatutnya dikenakan GST tetapi dikenakan. Mungkin masalah teknikal. Isu ini diselesaikan selepas aduan dibuat. Amat pen­ting, pengguna menggunakan hak mereka membuat aduan.

Apa yang membimbangkan, da­lam keadaan kerajaan ‘diserang’ dengan pelbagai isu, ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan memburukkan GST. Dalam erti kata lain sabotaj. Mungkin ada kalangan peniaga yang sengaja mahu memburukkan lagi keadaan dengan menaikkan harga bara­ngan tertentu supaya rakyat marah. Bukan setakat marahkan GST tetapi pihak kerajaan yang memper­kenalkannya, seolah-olah “marahkan nyamuk kelambu dibakar’’.Akhbar ini juga menerima pelbagai rungutan dan saranan berkaitan GST. Salah satu SMS yang diterima (lihat SMS di muka 25), seorang pembaca berkata: Kami tidak pernah menolak GST kerana sedar ia akan memberi manfaat akhirnya tapi kebimbangan kami terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan kerana kami sudah arif dengan kelemahan tindakan pe­nguat kuasa kerajaan,’’.

Peranan penguat kuasa amat penting. Amat bertepatan sekali kenyataan oleh Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek kelmarin yang memberi amaran kepada peniaga-peniaga bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas jika cuba mensabotaj pelaksanaan GST. Dalam hubungan ini amat diharap­kan, pihak berkuasa yang terlibat bekerjasama membanteras salah laku peniaga. Orang ramai khususnya pengguna perlu tampil me­laporkan sebarang gerakan sabotaj sama ada ia se­ngaja dicetuskan oleh peniaga untuk mengejar keuntungan atau bermotifkan politik,

Pada masa yang sama, segala usaha perlu digerakkan bagi membolehkan rakyat lebih faham me­ngenai GST supaya para peniaga yang tamak tidak mengambil ke­sempatan. Jika masyarakat tidak faham, mudahlah golongan peniaga tamak mengambil kesempatan menaikkan harga barang. Jelaskan kepada rakyat bahawa GST berpe­ranan memastikan setiap urus niaga bermula daripada pembekal bahan mentah, pengilang, pemborong dan peruncit dipantau secara teliti sebelum barang itu dijual di pasaran.

Sebelum ini, ada segelintir pe­ngusaha, pemborong dan peniaga yang tidak dipantau cuba mengelak daripada pembayaran cukai sehingga merugikan negara. Melalui GST, kerajaan boleh memastikan setiap pengusaha, peniaga, pemborong dan peruncit (4P) dipantau. Melalui GST, golongan 4P ini diharap lebih telus supaya negara tidak kehilangan cukai. Begitu juga dengan pihak berkuasa termasuk pemimpin yang perlu telus dan adil dalam menguruskan hasil GST ini nanti.