Meskipun mereka berada nun jauh di pelbagai negara, namun kemudahan teknologi telah menghubungkan mereka. Era Internet telah merapatkan jurang komunikasi antara manusia. Dengan produk-produk terkini yang satu ketika dahulu setakat e-mel dan khidmat pesanan ringkas, kini pelbagai lagi medium komunikasi melalui media sosial telah memberi banyak manfaat kepada manusia.

Sebaliknya, kebangkitan teknologi terkini telah memudahkan penjenayah melakukan kegiatan mereka. Penipuan dan keganasan sudah sinonim dengan teknologi berpaksikan media sosial. Misalnya, pengganas telah, sedang dan akan merekrut ahli-ahli baharu untuk melakukan kegiatan jenayah mereka. Tidak dilupakan, penipuan berjuta-juta ringgit Malaysia (RM) yang menyaksikan ramai orang Malaysia telah ditipu. Yang menipu ini bukanlah rakyat Malaysia sendiri tetapi orang asing yang suatu ketika dahulu tidak terfikir oleh kita.

Contoh lain teknologi melalui media sosial jugalah telah merealisasikan kebangkitan rakyat di Asia Barat yang lebih dikenali sebagai Arab Spring. Pada awal kejayaan kebangkitan rakyat menerusi Arab Spring, penduduk di Asia Barat cukup bergembira. Hakikatnya kini, indah khabar dari rupa, Arab Spring sudah menjadi satu igauan buat penduduk Asia Barat apabila sampai sekarang kehidupan mereka tidak menentu. Ramai yang menderita, tidak kurang juga ramai yang kebuluran sebagaimana yang berlaku di Syria. Mereka juga menjadi pelarian, sanggup menggadaikan nyawa merentasi lautan semata-mata tidak sanggup lagi menjalani kehidupan di negara mereka sendiri.

Inilah impak globalisasi dengan kemuncaknya penggunaan teknologi terkini akhirnya memakan diri. Teknologi ini jugalah telah menyebabkan banyak fitnah bertebaran dan manusia bergaduh di antara satu sama lain. Malang sekali kehidupan manusia seolah-olah diperjudikan melalui ketaksuban menggunakan teknologi yang sewajarnya digunakan untuk kebaikan.

Globalisasi bukan setakat melalui teknologi tetapi juga menerusi ekonomi. Perdagangan di antara negara-negara di dunia semakin meningkat. Banyak produk kewangan dan ekonomi dikongsi bersama. Misalnya, minyak yang menjadi buruan setiap negara kuasa utama dunia telah memberi kesan domino kepada ekonomi dunia pada masa sekarang termasuklah ke atas sektor-sektor perniagaan selain minyak dan gas. Ini amat dirasai oleh sesiapa sahaja yang menyebabkan kerajaan, korporat dan individu terpaksa memikirkan jalan terbaik bagi menempuh cabaran ekonomi sebegini.

Satu lagi produk ekonomi antara negara-negara di dunia tidak lain tidak bukan mata wang yang nilainya berbeza di antara satu negara dengan negara lain. Natijahnya turun naik mata wang boleh memberi kesan domino bukan setakat untuk sesebuah negara tetapi juga negara-negara lain. Ini dibuktikan semasa krisis kewangan Asia akibat serangan penyangak mata wang asing pada tahun 1997 telah menyebabkan kesan domino terhadap negara-negara Asia.

Perkara yang sama juga berlaku pada masa kini apabila negara-negara yang dikatakan sebagai negara komoditi mi­nyak terkena tempias kesan domino ekoran penurunan harga minyak sehinggakan mata wang negara masing-masing mengalami penurunan nilai yang mendadak.

Hakikatnya, kesan penurunan mata wang telah memberikan kesan yang cukup besar buat penduduk-penduduk di negara-negara terbabit apabila harga produk rakyat mula meningkat dengan begitu ketara. Kuasa beli semakin menurun. Maka, pastinya memberi kesan terhadap perbelanjaan pengguna. Lantaran itu, banyak sektor perniagaan menerima kesannya.

Kerugian sudah tentulah cuba dielakkan bagi memboleh­kan perniagaan dapat terus beroperasi pada masa akan datang. Jika tidak para pekerja tidak dapat bekerja dengan keadaan yang tenang ekoran bimbang diberhentikan. Tidak tergambar apa yang akan berlaku kepada mereka jika diberhentikan tatkala segala-gala kini semakin mahal.

Menyara hidup pada masa kini cukup mencabar meskipun dunia semakin pesat membangun dengan pelbagai kemajuan melam­bangkan ketamadunan manusia dalam era globalisasi. Malang sekali kesan domino krisis harga minyak, penurunan nilai mata wang dan peningkatan kos sara hidup telah menjadikan kehidup­an rakyat kebanyakan semakin terhimpit. Mahu tidak mahu terpaksa meneruskan kehidupan dengan apa cara sekali pun meskipun mengetahui cukup sukar me­nempuh hari-hari berikutnya.

Bagi yang sudah kaya raya tidak mengapalah. Mereka ini boleh berbelanja lebih, malah sanggup menggunakan wang lebihan mereka beribu-ribu dan beratus-ratus RM semata-mata membeli pelbagai gelaran palsu. Sementara yang miskin pula terpaksa meminjam dengan lintah darat. Inilah yang jelas kelihatan dalam masyarakat kita yang perlu ditangani segera. Jika tidak akan wujudlah satu masyarakat kapitalis yang terlalu kaya dan terlalu miskin yang tidak sejajar de­ngan konsep keterangkuman. Bukan semua golongan dapat mengharungi globalisasi dengan jayanya.

Kesan domino globalisasi yang cukup ketara membuatkan ramai yang tidak dapat mengharungi dengan baik. Malah, kerajaan juga terpaksa mengambil tindakan segera memperbetulkan keadaan menggunakan pendekatan proaktif misalnya pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini. Ini bagi membolehkan ekonomi negara tetap berada di landasan yang kukuh dan pada masa yang sama mengutamakan rak­yat dari sudut mengurangkan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Di samping itu, Malaysia memerlukan banyak sektor ekonomi yang boleh menjadi penampan kepada ketidaktentuan ekonomi global.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga berusaha mengadakan rundingan perdagangan antara negara-negara di dunia. Yang terkini, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Sudah tentulah TPPA adalah satu lagi produk globalisasi ekonomi untuk memacu ekonomi Malaysia. Rakyat bawahan mengharapkan TPPA dapat memacu pendapatan tinggi buat mereka. Begitu juga dalam konteks meningkatkan kuasa beli rakyat. Kedua-dua aspek ini cukup dekat di hati rakyat tatkala globalisasi semakin memperlihatkan sisi kesan dominonya kepada penduduk dunia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.