Ketua Pegawai Eksekutif Getha, Melissa Tan berkata, syarikatnya mencipta nama Getha yang diambil daripada perkataan bahasa Melayu iaitu getah bagi mewakili atau melambangkan produk dari Malaysia.

“Pemilihan nama juga membuktikan syarikat kami bangga menjadi rakyat negara ini yang mempunyai pelbagai budaya, agama, adat dan latar belakang. Disebabkan itulah perkataan ‘Getha’ dipilih untuk menjadi sebahagian besar ujian asid deoksiribonukleik (DNA) syarikat kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Pameran Getha, Jalan Universiti, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Beliau melihat apa dicapai oleh negara hari ini terutama taraf hidup masyarakat terus meningkat sejak mencapai kemerdekaan khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi yang setaraf dengan negara-negara jiran yang maju.

Sebagai anak Malaysia, Getha mempraktikkan persekitaran kerja secara harmoni iaitu bekerja tanpa mengira agama dan bangsa di bawah satu bumbung.

“Seronok sebenarnya apabila mempunyai pekerja berbilang kaum kerana apabila musim perayaan, kita akan dapat menggayakan pakaian, merasai makanan atau juadah dan mengetahui lebih mendalam mengenai budaya masing-masing. Secara tidak langsung ia mewujudkan kesefahaman dan keakraban antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Melissa berkata, dia menjadikan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad sebagai sumber inspirasi kerana berbangga dengan kejayaan syarikat tersebut yang membawa jenama negara ke mata dunia.

“Saya juga menjadikan bapa saya sendiri sebagai idola yang banyak mengajar pelbagai kemahiran untuk menjalankan perniagaan turun-temurun keluarga ini. Dia juga yang berjaya membina Getha sebagai produk Malaysia yang setiap orang akan dapat bangga mengenali produk ini, sekali gus membawa Getha sebagai jenama dikenali seluruh dunia,” katanya.

Beliau berharap Malaysia dapat terus mengekalkan keharmonian dan keamanan dengan prestasi ekonomi kukuh bagi membolehkan lebih banyak produk tempatan berada sebaris jenama antarabangsa.

Kini Getha dieksport ke 25 buah negara di Asia, Asia Barat dan Eropah serta mempunyai 22 Pusat Terapi Tidur Getha di pusat beli-belah, juga lebih 100 kedai perabot yang menjual antaranya katil, tilam dan bantal.

Bagi Melissa, pemilihan nama Getha adalah bertepatan dengan jenama negara kerana umum mengetahui Malaysia menghasilkan pokok getah yang terbaik. Syarikatnya menggunakan 100 peratus getah asli lateks daripada 1,000 batang pokok getah untuk menghasilkan kualiti tilam terbaik. Kualiti pembuatan tilam ini demi keselesaan dan kesihatan pengguna kerana ia sangat elastik, menempatkan posisi badan dengan sempurna serta antibakteria semula jadi dan sangat selesa. Getha menyamakan konsep gaya hidup terkini iaitu sesiapa sahaja yang boleh memiliki telefon pintar berjenama juga boleh memiliki sebuah tilam bermula daripada harga RM4,000.

Sempena ulang tahun Getha, syarikat itu menawarkan tilam Full Natural Latex dengan harga RM5,500 berbanding harga asal RM10,000 selain pelbagai hadiah lain. Getha juga menawarkan rebat sebanyak RM500 daripada harga tilam RM5,500 bagi yang membuat pertukaran tilam lama.

Melissa berharap Getha akan terus kukuh dan menjadi jenama kebanggaan negara dikenali pasaran antarabangsa seterusnya dieksport ke lebih banyak lagi negara.