Kebanyakan pembaharuan tidak dapat didedahkan sekarang kerana pihaknya hanya akan mengumumkannya secara rasmi pada Jun ini.
Tetapi beliau tetap berkongsi khabar gembira bahawa antara inisiatif baharu itu adalah meningkatkan had pembiayaan pinjaman.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM serta jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, beliau melahirkan keazaman untuk terus memantapkan kedudukan PUNB sebagai pusat pembangunan keusahawanan bumiputera terulung.

UTUSAN: Boleh ceritakan latar belakang tuan yang saya difahamkan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan korporat?

IZWAN: Saya dilantik ke jawatan ini pada 1 Januari lalu. Baru dua bulan setengah di PUNB. Sebelum itu saya berada di MyCreative Ventures Sdn. Bhd., anak syarikat Kementerian Kewangan yang diperbadankan dan saya berada di situ selama enam tahun pada mulanya sebagai Ketua Pegawai Pelaburan dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Syarikat itu ditubuhkan khas bagi memberi pembiayaan untuk industri kreatif negara. Pengalaman itu kini saya bawa ke PUNB.

Cuma sekarang fokus dengan perbadanan ini adalah lebih luas berbanding jawatan saya sebelum ini yang hanya memberi fokus kepada industri kreatif.

Bagaimana pula dengan latar belakang PUNB?

PUNB ditubuhkan pada 1991 untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan bumiputera dalam bidang keusahawanan selaras dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN) untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya maju dan progresif.

Pakej keusahawanan PUNB merangkumi sokongan pembiayaan dan sokongan perniagaan yang dirangka untuk membantu usahawan bumiputera memantapkan perniagaan, mengekalkan keuntungan dan membentuk perniagaan mereka ke arah kecemerlangan.

Visi PUNB adalah menjadi pusat kecemerlangan terulung dalam pembangunan keusahawanan manakala misi adalah menyediakan peluang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan melalui sokongan kewangan dan sokongan perniagaan.

Apakah hala tuju PUNB pada 2019?

Pada awal penubuhan, fokus pembiayaan PUNB tertumpu kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang pembuatan, kejuruteraan dan perkhidmatan.

Pada 2000, PUNB menyediakan pembiayaan kepada syarikat dan perniagaan yang terlibat dalam bidang peruncitan, pemborongan dan pengedaran.

Bermula tahun ini, PUNB memfokus pembiayaannya kepada memperkasakan perniagaan dan syarikat bumiputera untuk menembusi pasaran serantau dan global.

Bidang-bidang perniagaan yang menjadi keutamaan PUNB pula mesti berpaksikan kepada inovasi, integrasi nilai-nilai hiliran dan huluan, peka dan mesra pelanggan, adaptasi teknologi dan mudah berkembang.

Dahulu pembiayaan berdasar skim keusahawanan seperti Skim Runcit, Skim Pemborong, Skim PKS dan sebagainya.

Oleh itu, pada tahun ini sokongan pembiayaan yang ditawarkan oleh PUNB telah dikaji semula mengikut fokus masa kini iaitu minimum sebanyak RM100,000 dan maksimum adalah RM10 juta berbanding sebelumnya iaitu minimum RM50,000 sehingga maksimum RM5 juta.

Tempoh pembiayaan juga telah dilanjutkan selama 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelumnya. Semua pembaharuan ini dilakukan untuk memenuhi keperluan dan tuntutan semasa dalam dunia perniagaan yang makin mencabar ini.

Usahawan boleh menggunakan pembiayaan ini sebagai modal tambahan, membeli peralatan dan mesin, ubah suai premis, penambahbaikan proses dan produk, pembangunan penyelidikan serta pendaftaran paten dan hak cipta.

Adakah usahawan PUNB mampu bersaing dan berkembang dalam landskap ekonomi ketika ini?

Ya, memang benar, keadaan ekonomi sekarang sangat mencabar kepada sektor perniagaan dan industri. Sektor perniagaan terutamanya bidang peruncitan adalah bidang yang mempunyai persaingan sangat sengit.

Jika tidak mempunyai daya tahan yang tinggi, maka perniagaan itu akan gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dalam persekitaran yang penuh cabaran seperti keadaan ekonomi masa kini.

Mengikut rekod PUNB dari 1 Januari sehingga 28 Februari 2019, sebanyak 21 syarikat dan perniagaan dalam bidang peruncitan dan tiga syarikat PKS telah memohon untuk menjadual semula pembiayaan mereka yang melibatkan sejumlah RM15 juta (baki pembiayaan yang belum berbayar).

Jenis-jenis perniagaan dalam bidang peruncitan yang terjejas mengikut ranking adalah makanan dan minuman (F&B), pakaian, tekstil dan aksesori, kenderaan bermotor seperti bengkel kereta, perkakasan dan perkhidmatan kejuruteraan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bidang peruncitan berkaitan industri profesional seperti firma guaman, arkitek dan klinik pakar dilihat kurang terjejas dalam keadaan ekonomi sekarang.

Dari sebanyak 7,521 syarikat dan perniagaan yang dibangunkan oleh PUNB sejak 1991, sebanyak 7,179 buah (95 %) terlibat dalam bidang peruncitan dan hanya 342 buah yang terlibat dalam bidang PKS.

Secara umumnya, perniagaan bidang peruncitan yang berskala kecil (peniaga runcit) lebih mudah terjejas berbanding dengan perniagaan peruncitan berskala besar (peniaga borong) dan perniagaan dalam bidang PKS.

Berapa ramai usahawan bumiputera yang sudah dibantu dan nilai pembiayaan yang diluluskan?

Sejak 1991 sehingga 28 Februari 2019, PUNB telah meluluskan pembiayaan sebanyak hampir RM3 bilion kepada 7,521 syarikat. Pembiayaan ini melibatkan seramai 10,692 usahawan bumiputera.

Pada tahun ini, bermula 1 Januari hingga 28 Februari, sebanyak RM21.65 juta pembiayaan sudah diluluskan melibatkan 57 usahawan bumiputera.