Adakah ini petanda awal berakhirnya politik Muhyiddin yang melibatkan diri dalam UMNO sejak tahun 1971 di Pagoh? Kebiasaannya tanpa kedudukan, ahli politik seperti Muhyiddin tidak mampu melangkah lebih jauh. Kedudukannya sukar diramalkan. Nasib Muhyiddin sudah ditentukan oleh MT UMNO, jawatankuasa tertinggi yang diberi mandat untuk memimpin parti. Anggota parti terutama yang memilih barisan anggota MT perlu menghormati keputusan itu. MT mewakili badan induknya UMNO, bukan mewakili Presiden, Najib Tun Razak. Setelah MT diberi mandat, merekalah yang lebih berhak membuat keputusan. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, hormatlah pendirian MT. Biarlah apa yang orang di luar UMNO mahu perkatakan asalkan UMNO terus berusaha untuk meya­kinkan anggota parti, jangan biarkan mereka ‘ke sana sini’ seperti anak ayam kehilangan ibu.

Kepada anggota UMNO juga, cuba selak semula Perlembagaan UMNO. Rujuk beberapa perkara dalam Fasal 10 Tanggungjawab Majlis Tertinggi, iaitu:

10.1 : Menjalankan sebarang usaha bersama dengan kumpulan-kumpulan lain atas hal-hal politik atau lain-lain yang sesuai dengan tujuan-tujuan UMNO.

10.7 : Menentukan taraf pendaf­taran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.

10.10 : Melucutkan jawatan mana-mana Ahli Badan Perhubungan, Jawatankuasa Bahagian dan Cawang­an atas apa-apa sebab sekali pun.

10.16 : Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti.

Begitulah hak yang diberi oleh anggota parti kepada MT UMNO. Kesimpulannya, terimalah kepu­tusan yang diputuskan. Muhyiddin masih menjadi anggota UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pagoh. Beliau tidak dipecat. Bagi mengelakkan tindakan yang lebih ‘keras’, Muh­yiddin kini perlu lebih berhati-hati supaya tidak menerima nasib seperti dialami bekas orang No.2 dalam parti dan kerajaan sebelum ini iaitu Anwar Ibrahim. Sebagai orang yang sayangkan UMNO, banyak sumbangannya kepada parti, Muhyiddin tentunya tidak mahu dipecat sehingga ‘suara’ lenyap di dalam parti. Persoalannya mampukah beliau bertahan? Adakah tindakan yang dikenakan mampu menutup mulutnya? Bagaimana pula sekiranya Muhyiddin meneruskan apa yang dikatakan sebagai kritikan dan serangan terbuka terhadap Presiden parti dan melanggar peraturan dan semangat perjuangan UMNO? Setelah tindakan ke atas Muhyiddin yang dikatakan gagal menjalankan tugas membantu Presiden UMNO untuk memperkuat dan memperkasakan parti, adakah UMNO lebih mantap terutama dalam menghadapi PRU akan datang?

Sampai bila pula situasi ‘tergantung’ ini akan berlarutan dan sampai bila Zahid perlu menjalankan tugas-tugas No.2 ini? Kenapa tidak diserahkan sahaja jawatan itu kepada Zahid? Tentulah kerana Muhyiddin sebenarnya masih ada di situ. Adakah situasi ini dapat dirungkaikan dengan mengadakan pemilihan? Mungkin pemilihan UMNO yang ditangguhkan diadakan semula atau dipercepatkan sebelum PRU akan datang. Mungkin senario yang berlaku pada 1986 boleh diambil kira walaupun suasana hari ini amat berbeza.

Menyelak kembali sejarah, Musa Hitam, juga anak Johor pernah memegang kedua-dua jawatan No.2 itu (1981-1986). Pada 27 Februari 1986, Musa meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi memilih untuk kekal sebagai Timbalan Pre­siden UMNO. Tempat beliau dalam kerajaan diisi oleh Ghafar Baba pada 10 Mei 1986, salah seorang Naib Presiden UMNO. Musa terus menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO. Pada 3 Ogos 1986, PRU Ketujuh diadakan dan BN menang besar. Selepas itu, apabila berlangsung pemilihan UMNO pada 24 April 1987, Musa gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Ghafar menang dengan majoriti 40 undi. Disebabkan mahu memberi laluan kepada ‘golongan pendesak’, mengelak perpecahan dalam parti serta mempertahan kestabilan negara, Ghafar meletak jawatan No. 2 dalam parti dan kerajaan pada 15 Oktober 1993. Begitulah situasi ketika itu. Ringkasnya, Timbalan Perdana Menteri akan tetap diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden UMNO. Malahan Dr. Mahathir Mohamad semasa mengulas pertan­dingan Musa - Ghafar berkata, beliau akan tetap melantik veteran UMNO itu sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun Ghafar gagal merebut jawatan Timbalan Presiden.

“Seseorang yang menjadi Timbalan Presiden hendaklah orang yang boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri dan tidak ada halangan bagi orang yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti dilantik memegang jawatan dalam kerajaan,’’ kata Dr. Mahathir. Maknanya orang No.2 dalam kerajaan juga mesti jadi orang No.2 dalam parti.

Disebabkan penangguhan pemilih­an selama 18 bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya berlangsung tahun ini, Zahid terpaksa memikul tugas Timbalan Presiden sehingga pemilihan akan datang, sebelum atau selepas PRU. Adakah mungkin pemilihan itu disegerakan supaya Zahid disahkan jawatan No.2 parti di dalam gelanggang? UMNO boleh berbuat demikian dengan mengadakan semula pemilihan tahun ini atau tahun berikutnya. Terserah kepada MT sama ada mahu mengekalkan keputusan penangguhan atau membuka semula gelanggang pemilihan bagi memastikan parti lebih mantap dalam menghadapi PRU akan datang.