Tempoh pusingan bulan pada orbitnya dihitung daripada kedudukan fasa bulan baharu ke fasa bulan separa awal ke fasa purnama ke fasa bulan separa akhir dan kembali ke fasa bulan baharu adalah sekitar 29.53059 hari (29 hari 12 jam 44 minit 3 saat).

Ramai yang mengatakan feno­mena pasang surut air laut ini berkait rapat dengan bulan. Benarkah? Jawapannya adalah benar. Tetapi, bagaimana kedudukan bulan yang jauh dari bumi itu boleh mempengaruhi keadaan air laut? Bulan dan bumi masing-masing mempunyai daya tarikan graviti yang saling mempengaruhi satu sama lain. Antara pusat bumi dan pusat bulan wujudnya aktiviti saling tarik menarik akibat daya graviti itu. Daya ini mengakibatkan bumi sedikit tertarik ke arah bulan yang menyebabkan terjadinya pasang surut air laut.

Pasang surut adalah naik dan turunnya paras air laut akibat kesan putaran bumi dan tarikan graviti bulan. Pasang surut ini berlaku di kawasan pantai dan muara sungai, lazimnya dua kali pasang dan dua kali surut sehari. Waktu air pasang, air laut tenang dan kadang-kala mengalir ke hulu sungai sehingga 10 kilometer. Waktu air surut, pinggir air jauh ke tengah laut. Pasang surut terbahagi kepada dua iaitu:

Pasang purnama (spring tide) terjadi ketika bumi, bulan dan matahari berada dalam suatu garis lurus. Pada saat itu akan dihasilkan pasang tinggi yang sangat tinggi dan pasang rendah yang sangat rendah. Pasang surut purnama ini terjadi pada saat bulan baharu dan bulan purnama. Peristiwa air pasang tinggi ini terjadi dua kali se­bulan di mana bahagian bumi yang mengalami bulan purnama, jarak antara air laut dan pusat bulan lebih dekat daripada jarak antara pusat bumi dengan pusat bulan.

Akibatnya, graviti bulan menarik air laut lebih kuat daripada bumi. Perkara ini menyebabkan air laut sedikit mengembung ter­hadap permukaan bumi dan jadilah air pasang tinggi. Sebaliknya, di bahagian bumi yang mengalami bulan baharu, jarak air laut dan pusat bulan lebih jauh daripada jarak antara pusat bumi dengan pusat bulan. Akibatnya, graviti bulan menarik bumi lebih kuat dari air laut di bahagian tersebut. Peristiwa ini mengakibatkan air laut sedikit mengembung terhadap permukaan bumi dan terjadilah air pasang tinggi.

Pasang perbani (neap tide) terjadi ketika bumi, bulan dan matahari membentuk sudut tegak lurus. Pada saat itu akan dihasilkan pasang tinggi yang rendah dan pasang rendah yang tinggi. Bila keadaan ini terjadi? Sudah pasti bukan ketika bulan purnama mahupun bulan baharu. Pengembungan air di bahagian yang me­ngalami bulan purnama dan bulan baharu sudah pasti menarik air dari bahagian bumi lain yang menyebabkan terjadi air pasang rendah. Air pasang tinggi yang rendah dan pasang rendah yang tinggi ini berlaku ketika bulan separa, kerana ketika bulan separa, bahagian bumi tersebut berada tepat di tengah bahagian yang mengalami bulan purnama dan bulan baharu.

Bentuk orbit bulan ketika bulan mengelilingi bumi adalah elips. Akibatnya pada suatu ketika bulan akan berada pada kedudukan terdekat dengan bumi, yang di­sebut perigee, dan pada ketika lain bulan akan berada pada kedudukan terjauh dari bumi yang disebut apogee. Tempoh pusingan bulan pada orbitnya dihitung dari kedudukan perigee ke apogee dan kembali semula ke perigee adalah sekitar 27.55455 hari (27 hari 13 jam 18 minit 33 saat).

Oleh kerana, tempoh waktu yang ditempuh bulan untuk menyelesaikan kedua-dua kedudukan berbeza iaitu pada suatu ketika bulan akan berada pada fasa bulan baharu dengan kedudukannya di apogee. Sementara di waktu lain, bulan akan berada pada fasa purnama dengan kedudukannya di perigee. Perkara ini dapat diketahui dengan membandingkan waktu ketika bulan pada fasa tertentu dengan waktu ketika kedudukan bulan di perigee atau apogee.

Bulan pada kedudukan perigee boleh menyebabkan air laut mengalami pasang besar. Jarak bulan ke bumi boleh mencapai 356,400 km ketika di perigee. Fenomena ini juga dinamakan sebagai bulan Supermoon. Istilah bulan Supermoon ini digunakan sejak 2011. Pihak media menggunakan istilah itu untuk menarik perhatian masyarakat melihat perubahan penampakan bulan pada 19 Mac 2011. Ketika itu, bulan purnama berada pada jarak terdekatnya dengan bumi pada 2011.

Fenomena bulan Supermoon berlaku apabila bulan berada di perigee. Fenomena ini boleh mempengaruhi pasang surut air laut. Apabila bulan berada dekat dengan bumi akan menyebabkan tarikan graviti bulan ke bumi meningkat dan mengakibatkan paras air pasang laut meningkat dari biasa. Fenomena ini akan berulang setiap 1 tahun 1 bulan dan 18 hari. Oleh itu setiap 1 tahun 48 hari, kita akan mengalami fenomena bulan purnama terdekat dari bumi atau proxigee.

Fenomena ini bukanlah istimewa yang memberikan kesan luar biasa. Bulan purnama yang dilihat adalah seperti bulan purnama biasa kecuali bagi mereka yang bia­sa melihat perubahan penampakan piringan bulan. Bulan boleh dilihat 14 peratus lebih besar dan lebih terang pada 17 Oktober 2016 dan 14 November 2016. Fenomena ini boleh mengakibatkan air pasang besar berlaku di kawasan pantai terutama di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia seperti Johor dan Selangor.

Oleh itu, penduduk yang tinggal berdekatan pantai dan kawasan rendah disarankan menyimpan semua dokumen yang penting di tempat selamat. Mereka hendaklah sentiasa bersedia untuk dipindahkan ke tempat penempatan sementara banjir apabila diarahkan pihak berkuasa. Selain itu, semua aktiviti pantai seperti riadah dan tangkapan ikan perlu ditangguhkan kerana diramalkan ketinggian ombak boleh mencecah 3.5 meter dan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika fenomena air pasang besar.

DR. OTHMAN ZAINON ialah Pensyarah Kanan Jabatan Geoinformasi Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).