Sama ada wajar langkah itu dilaksanakan wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA bersama jurugambar, DJOHN SHAHRIN SHAH dan juruvideo, MOHD. AFIZI ISMAIL menemu bual bekas Pengerusi Felda terakhir ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN), TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
 

MINGGUAN: Sebagai individu yang pernah menjadi orang penting dalam Felda, bagaimana Tan Sri melihat pendekatan yang diambil kerajaan sekarang bagi memulihkan Felda?

SHAHRIR: Sejak kerajaan membentangkan Kertas Putih Felda yang menawarkan model Felda baharu, mereka menolak model yang saya panggil model muafakat yang bermula pada 2017 higga Mei 2018.

Model muafakat ini dilakukan untuk memperbetul tadbir urus, meningkatkan integriti dan amalan baik dalam urusan harian Felda.

 

Pada masa sama, saya juga memisahkan segala kedudukan pengurusan antara Felda, Felda Investment Corporation (FIC) dan FGV Holdings Bhd. (FGV). Perkara ini yang selalu sengaja dikelirukan sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu dengan menggambarkan kedudukan Felda, FGV dan FIC berkecamuk, keadaan ini menyebabkan saya melakukan perubahan dari segi kepimpinan di Felda supaya berasingan daripada kepimpinan di FGV dan FIC.

Walaupun ada kaitan antara tiga komponen ini tetapi apabila saya menjadi pengerusi, saya hanya pengerusi di Felda dan tidak duduk di FGV supaya kita dapat pisahkan antara Felda sebagai agensi kerajaan dan FGV sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) dan FIC sebagai anak syarikat Felda yang melabur dalam pelbagai pelaburan.

Tetapi sekarang FGV bergaduh pula dengan Felda, sekarang semua bercelaru, patutnya Felda sebagai bapa dan FGV sebagai anak perlu kurangkan pertelingkahan secara umum, kita ada wakil dalam FGV jadi bincanglah elok-elok.

Kenapa penting pemisahan urus tadbir ini?

SHAHRIR: Ia paling mustahak untuk dilakukan kerana akan dapat meningkatkan urus tadbir Felda sendiri yang merupakan sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawab untuk membantu dan menyelesaikan soal peneroka dan mentadbir sosio ekonomi peneroka di tanah rancangan masing-masing.

Bagaimana pula peranan konsep Felda muafakat yang Tan Sri perkenalkan dahulu?

SHAHRIR: Felda muafakat yang saya asaskan daripada satu hasrat saya ketika itu untuk mengajak seberapa ramai peneroka kembali kepada Felda supaya mereka dapat diberikan layanan baik dari segi segala kemudahan kepada peneroka kerana satu ketika dahulu terdapat antara 10 hingga 15 peratus peneroka tidak bersama Felda yang mana mereka menguruskan hasil sendiri dan tidak menjual melalui Felda, maknanya mereka tiada akaun dengan Felda.

Pada masa sama, kita juga memberikan insentif seperti pinjaman, geran, duit raya dan boleh lupuskan hutang secara berperingkat jadi matlamatnya supaya peneroka bersama Felda dan menjual hasil melalui Felda. Ini bukan bermakna mereka perlu menjual kebun kepada Felda, tetapi mereka boleh uruskan sendiri tetapi hasil diperoleh dijual kepada Felda.

Selain itu, pada tahun pertama kita melaksanakan program pelupusan hutang kita dapati ada 8,000 peneroka yang bersama Felda langsung tiada hutang, kemudian kita membayar RM5,000 secara tunai pula ke dalam akaun mereka.

Jadi, sebab itu bila saya melihat model Felda baharu, kita kena betulkan dahulu fungsi Felda sebagai agensi kerajaan. Sebagai agensi kerajaan tugasnya bukan macam syarikat namun dari segi perakaunan kita ikut piawaian ditetapkan.

Pada ketika itu juga kita lihat aset Felda melebihi hutang dan tanggungannya, walaupun ketika pembentangan Kertas Putih Felda, mereka bercakap hutang naik 1,000 peratus dan aset hanya naik 100 peratus, itu semua kenyataan politik.

Daripada angka sebenar aset Felda melebihi hutang dan hampir sekali ganda berbanding hutang itu sendiri. Ini bermaksud keadaan kewangan Felda sihat dan hutang di bawah paras yang tidak melebihi daripada aset.

Namun begitu, Felda ada masalah dari segi aliran tunai, tetapi masalah ini boleh dibantu kerajaan kerana Felda adalah agensi kerajaan dan bukan sebuah syarikat. Kerajaan sekarang tidak perlu buat sama macam Tabung Haji dengan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) dan sebagainya.

Sebelum ini, dalam tempoh tiga bulan saya sebagai pengerusi, bank sudah melihat perubahan urus tadbir yang saya bawa dan bank bersetuju untuk atur sukuk RM4 bilion untuk Felda bagi memperbetulkan pinjaman dan urus kewangan dalam Felda.

Perkara lain yang perlu dilihat adalah keahlian Lembaga Felda. Sebagai sebuah agensi kerajaan ahli Lembaga Felda mesti terdiri daripada wakil-wakil kerajaan negeri kerana negeri-negeri berkuasa terhadap tanah, sekarang tiada lagi perwakilan dari kerajaan negeri. Waktu saya dahulu bukan sahaja ada wakil kerajaan negeri malah ada juga wakil peneroka dan penerokawati.

Kedudukan pengerusi pun penting dan apabila pengerusi baharu dilantik tahun lalu melepaskan jawatan timbul tanda tanya kenapa pengerusi letak jawatan adakah masalah besar yang berlaku? Saya rasa apa yang berlaku sekarang adalah salah tanggapan oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang menganggap Felda macam GLC. Felda bukan GLC tetapi FGV sebenarnya GLC.

Menyentuh isu perumahan pula dahulu masa saya, kita buat projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang merancang untuk membina 20,000 unit rumah tetapi selepas itu ada banyak yang tergendala, hari ini pemerintah kata akan bagi RM250 juta untuk pulihkan rumah terbengkalai tetapi hanya untuk yang sudah siap 70 peratus ke atas tetapi ia hanya melibatkan 4,000 unit rumah sahaja. Sedangkan di bawah Felda muafakat kita wujudkan satu konsep perumahan mesra rakyat dengan bekerjasama dengan pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang mana Felda sediakan tapak rumah dan pinjaman pula daripada SPNB yang merupakan agensi kerajaan juga.

Sebab itu, saya agak berdukacita apabila rumah untuk generasi kedua dan baharu Felda gagal dipenuhi.

Bagaimana pula cadangan kerajaan menguruskan Felda seperti estet?

SHAHRIR: Ini yang buat peneroka marah sebab selama ini mereka menjadi tuan punya tanah dan sudah menjadi pekebun kecil. Lebih penting, cara estet tidak menjamin kos itu boleh turun, kos baja dan pekerja tetap menjadi isu utama.

Saya nampak cadangan ini hanya hendak mengatasi masalah pendapatan yang rendah. Isu ini bukan berpunca daripada pengurusan estet yang lemah sebab dahulu peneroka Felda ada menerima pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Masalah sebenarnya adalah harga sawit rendah iaitu di bawah RM2,000, jadi saya pelik pemerintah tak mahu akui masalah utama adalah sawit kalau tak nak terima ini punca masalah utama selepas ini masalah lain pula yang akan timbul sebab masalah pokok tidak diselesaikan.

Selain itu, kalau nak ganti dengan pengurusan etset ia akan timbul beberapa pertanyaan, nak pajak hasil atau tanah? Kalau nak pajak tanah berapa hendak bayar? Masalah kepada cadangan ini akan dapat dilihat dalam tempoh lima hingga lapan tahun kerana hutang itu akan ditanggung Felda dan liabiliti Felda akan bertambah sekali gus akan meruncingkan keadaan kewangan Felda. Ini keadaan berbahaya kalau kerajaan tak melihat masalah sebenar.

Bagaimana hendak selesaikan harga sawit yang semakin rendah?

SHAHRIR: Sebenarnya negara kita ada pengalaman dari segi industri sawit, saya pernah menjadi Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ia agensi kerajaan yang sememangnya mengumpul pebagai data tentang industri sawit, tanyalah mereka apa yang boleh dibuat. Perkara ini pun bukan keadaan baharu, negara ini pernah berdepan dengan harga sawit yang rendah, apa yang kita buat dahulu? Antaranya dengan membuat penanaman semula secara awal kalau patut tanam 22 tahun kita buat 20 tahun supaya pokok sawit dapat ditebang dan ditanam semula awal.

Apabila kita buat tanaman semula awal dan tebang pokok awal, bekalan sawit berkurangan ia akan ada impak pada harga sawit sendiri, kedua guna sawit pada perkara lain selain dalam petrol atau diesel, antaranya boleh juga dibuat sebagai bahan bakar. Namun, ini mesti melibatkan agensi dalam negara yang ada pengetahuan mengenai industri sawit

Kita tidak boleh hanya kata dengan meminum sesudu sawit sudah men­­cukupi, ini tidak membantu keadaan. Macam industri getah, sekarang tanaman getah memang sudah dikurangkan tetapi kita sudah menjadi negara pengeksport utama bahan-bahan daripada getah, ini sudah menunjukkan kita sudah beralih daripada industri perladangan kepada industri hiliran. Untuk industri sawit pun kita ada banyak hasil penyelidikan yang dilakukan oleh MPOB dan sektor swasta untuk mempergiat industri hiliran sawit.

Malah, sekarang memang kita perlu fikirkan apakah tanaman baharu untuk Felda, jika dahulu sudah mula dengan getah kemudian beralih pada sawit, apa tanaman baharu yang boleh bawa hasil pada negara dan peneroka selepas ini. Satu ketika dahulu kita sudah mulakan perbincangan untuk menanam kelapa sebab kita banyak mengimport kelapa. Kalau kita boleh tanam kelapa hibrid yang hasilnya tinggi dan kos rendah, negara boleh kurangkan import kelapa selepas ini.

Selain itu, apa perkara yang lebih penting yang perlu diberikan perhatian agar Felda kembali kepada era kecemerlangannya?

SHAHRIR: Lebih penting kena lihat semula kepada asas Felda sebagai sebuah agensi kerajaan, amalan dan urus tadbir korporat memang diguna, tetapi kalau kita kata Felda itu konglomerat dan masalah yang berlaku adalah ekoran 'kedurjanaan korporat' itu semua akan menjadi masalah.

Tetapi Felda telah diaudit, diambil tindakan dan dibetulkan, sehingga diambil alih oleh kerajaan baharu keadaan di Felda sebenarnya telah okay dan betul, kalau saya boleh uruskan Felda sehingga bank percaya maknanya kira baguslah tu.

Pada pandangan Tan Sri, apa bakal terjadi sekiranya Felda masih dilihat sebagai sebuah syarikat korporat?

SHAHRIR: Kalau kita tak terima hakikat yang Felda adalah agensi kerajaan dan keyakinan bank juga sudah pulih terhadapnya tetapi kita masih buat cerita bukan-bukan, sampai bila kita nak selesaikan masalah? Inilah cabaran sebenar iaitu dari segi pemikiran, sikap dan cara termasuk oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melihat kepada Felda. Kalau dia melihat sebagai badan korporat dan mahu meletakkan orang korporat sahaja, tak boleh, kerana ini bukan korporat, ia agensi kerajaan.

Bagaimana kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri boleh membantu Felda?

SHAHRIR: Saya ambil contoh, untuk membina jalan dalam tanah rancangan Felda, suatu ketika dahulu Felda kena bayar tetapi saya bincang dengan menteri-menteri besar ketika itu dan mereka bersetuju untuk daftarkan jalan-jalan dalam tanah rancangan Felda sebagai jalan kampung, jalan negeri, masukkan dalam Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) jadi peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada jalan-jalan berdaftar di bawah Marris boleh juga disalurkan kepada Felda.

Maknanya pendekatan kita kena inklusif, libatkan Felda bersama-sama dengan keseluruhan kerajaan, negeri dan Pusat, jadi barulah betul.

Apa pandangan Tan Sri mengenai cemuhan Tokoh Ikon Felda 2019, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan terhadap peneroka Felda baru-baru ini?

SHAHRIR: Masa itu, Sungai Koyan memang tempat 'jin bertendang' kemudian Felda juga dibangunkan sebagai satu usaha kerajaan untuk menguasai keadaan keselamatan negara yang pada masa itu berlakunya ancaman daripada komunis.

Sungai koyan, banyak bekas askar, istimewa kepada golongan askar dan mereka ini bukannya orang tua-tua, badan sihat dan duduk di tempat yang jauh, nak pergi ke luar seperti ke Lipis mengambil masa beberapa jam, tiada hiburan, jadi dengan duduk dalam keadaan terpencil tentulah antara yang berlaku dalam keluarga Felda mereka mempunyai ramai anak, itu bukan satu masalah, kalau sudah rezeki begitu, anak-anak juga menjadi rezeki kepada keluarga Felda.

Lonjakan Felda bukan kepada diri mereka sahaja, kepada anak-anak mereka, setiap rancangan Felda ada sekolah menengah, sekolah rendah, kemudahan pendidikan yang ada itu membawa kepada peningkatan sosial dan ekonomi keluarga peneroka.

Mahu nampak yang buruk semua masyarakat ada, tak semua 100 peratus baik tapi kalau kita lihat yang buruk sahaja dan perbesarkan, saya rasa kita tak menghormati asal usul dan latar belakang kita. Hari ini kita pergi ke Sungai Koyan kita tengok perubahan dan kemajuannya.

Bukan hanya Chef Wan boleh jadi contoh dan tauladan serta boleh jadi ikon kepada Felda, sudah ada ramai anak-anak peneroka lain yang berjaya sama ada dalam bidang profesional, perkhidmatan awam mahupun politik. Oleh itu, bila kita jadi ikon satu-satu masyarakat kenalah benar-benar mewakili masyarakat, saya tak tahu macam mana beliau dipilih. Kalau ada ruang demokrasi dan anugerah Ikon Felda ini boleh dibuka cadangan kepada masyarakat Felda, saya rasa Chef Wan tidak akan menang.

Dalam isu ini, apakah langkah yang sewajarnya diambil Felda?

SHAHRIR: Sebab itu apa yang kita buat, kena ingat balik satu elemen yang penting dalam masyarakat Felda iaitu amalan demokrasinya, sistem yang demokratik diamalkan dalam memilih ketua blok, memilih ketua peneroka. Demokrasi akar umbi ditanam sejak awal Felda diwujudkan dan diteruskan amalan itu. Contohnya, bila nak dipilih tanah rancangan contoh, ada cadangan yang datang dari wilayah masing-masing, ada jawatankuasa menilai, ada sistem yang terbentuk terutamanya penglibatan oleh masyarakat sehingga­kan pemilihannya tidak boleh dipertikai.

Adakah Tan Sri melihat tiadanya rundingan berlaku antara Felda dan peneroka dalam menghadapi banyak isu ketika ini?

SHAHRIR: Inilah sebabnya, bila sudah menjadi kerajaan serta bertanggungjawab kepada Felda, kena faham apa itu Felda, fahamkan apa itu muafakat dalam Felda kerana itulah asas yang kena diwujudkan.

Bagaimana satu masyarakat yang datang dari pelbagai negeri tak kenal antara satu sama lain tetapi akhirnya mesti hidup bermuafakat. Amalan itu adalah penting dari segi menjamin keadaan sosial dan ekonomi sebab itu bila nak perkenal apa-apa rancangan yang baharu kena ada rundingan, perbincangan. Estet boleh la, tapi Felda tak boleh kerana peneroka adalah tuan tanah itu sendiri.