Ia menunjukkan betapa ramai di antara kita yang mengambil mudah perkara tersebut serta tidak mengambil iktibar daripada insiden yang pernah berlaku sebelum ini.

Baru-baru ini turut didedahkan bahawa kira-kira 140 daripada 649 bangunan milik kerajaan di seluruh negara masih tidak mempunyai FC.

MUHAMMAD HAMDAN WAHID
MUHAMMAD HAMDAN WAHID

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Muhammad Hamdan Wahid dilaporkan berkata, setakat ini sebanyak 226 premis sudah mempunyai FC manakala 283 lagi sedang dalam proses memohon.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan akan meminda undang-undang berkaitan yang mengecualikan bangunan kerajaan memiliki FC.

Dalam Perlembagaan negara, kata beliau, terdapat satu klausa yang memberikan kekebalan kepada bangunan kerajaan agar tidak perlu tertakluk kepada undang-undang kebombaan.


AGRESIF


Sementara menunggu pindaan tersebut dibuat, penulis merasakan tidak menjadi satu kesalahan untuk semua pihak terbabit mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan bangunan kerajaan berada dalam keadaan selamat.

JBPM perlu mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk memastikan semua bangunan milik kerajaan mempunyai FC pada penghujung tahun ini.

Adalah penting bagi semua jabatan dan agensi kerajaan memastikan bahawa premis mereka mempunyai FC kerana ia berkait rapat dengan soal keselamatan kakitangan kerajaan yang bertugas serta orang awam yang berurusan dengan mereka.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu memastikan premis perniagaan dan bangunan milik swasta turut memiliki FC seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Perkara ini amat penting kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor baru-baru ini mendedahkan hanya 50% daripada 1,701 premis yang beroperasi di negeri tersebut mempunyai FC.

Di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988, sembilan kategori premis perlu mempunyai FC iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama dan dormitori, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan dan storan dan am.


SIJIL PERAKUAN

Premis baharu perlu membuat permohonan sebaik sahaja memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF) atau Sijil Kelayakan Menduduki Sementara (TCF) atau Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Harus diingatkan bahawa sijil perakuan tersebut perlu diperbaharui setiap tahun.

FC penting kerana JBPM akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem keselamatan bangunan seperti peralatan penggera kebakaran, pemadam api dan kewujudan laluan kecemasan yang tidak terhalang.

Penulis berharap semua pihak tidak lupa beberapa insiden kebakaran di dalam dan luar negara yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua.

Apabila berlakunya kebakaran di Grenfell Tower di barat London pada 14 Jun 2017, penulis telah melahirkan kebimbangan bahawa insiden serupa mungkin berlaku di negara kita.

Penulis percaya jika kebakaran seperti itu boleh berlaku di negara maju seperti United Kingdom yang amat berbangga dengan rekod keselamatan kebakaran yang baik, ia mungkin boleh berlaku di negara-negara membangun seperti Malaysia.

Malangnya, kita terus alpa dan kekal dengan sikap reaktif iaitu bertindak balas hanya apabila kemalangan atau tragedi telah pun berlaku seperti kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lepas.

Siasatan mendedahkan bahawa ia berlaku akibat penggunaan bahan lapisan luar bangunan yang sama seperti apa yang digunakan di Grenfell Tower di London.

MENGEJUTKAN

Yang mengejutkan, lebih dari 3,000 atau kira-kira 13 % daripada 23,282 bangunan diperiksa sejak 2016 mempunyai risiko terbakar.

Berdasarkan pemerhatian penulis, kesedaran dan kesungguhan kita untuk bertindak dan membuat perubahan hanya dapat dilihat dalam beberapa minggu setelah tragedi berlaku.

Ia kemudiannya akan perlahan-lahan menghilang dan akhirnya dilupakan sehingga bencana berlaku lagi.

Sikap reaktif ini jelas kelihatan apabila enam orang terbunuh manakala dua lagi cedera parah selepas pusat hiburan yang terletak di tingkat empat di Times Square Ipoh terbakar pada Februari tahun lepas.

Dilaporkan pusat karaoke tersebut tidak pernah diluluskan untuk beroperasi sebagai pusat hiburan manakala bangunan lapan tingkat tersebut pada asalnya direka untuk kegunaan sebagai pejabat sahaja.

Kita juga tidak seharusnya melupakan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat pada 14 September 2017.

Dalam insiden yang berlaku pada pukul 5.15 pagi itu, 21 pelajar dan dua guru terbunuh apabila mereka terperangkap di tingkat tiga asrama yang terbakar.

Walaupun insiden itu berlaku akibat perbuatan khianat, ia telah membuka mata kita tentang tahap keselamatan sekolah-sekolah agama yang amat rendah.

Kejadian itu juga bukanlah yang pertama melibatkan sekolah agama. Pada 22 September 1989, Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah pula terbakar.

Dua puluh tujuh pelajar perempuan terbunuh dalam kebakaran yang memusnahkan lapan asrama di sekolah tersebut.

Malangnya, cadangan dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat kebakaran di Pondok Pak Ya tidak pernah dilaksanakan.

Kita seharusnya sentiasa memilih budaya pencegahan dan bukan reaktif pada kebanyakan masa.

Di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988, tindakan tegas sebenarnya boleh diambil terhadap pemilik bangunan yang melakukan sebarang pengubahsuaian yang tidak memenuhi peraturan keselamatan kebakaran.

Pemilik premis juga boleh dihukum atas sebarang pengubahsuaian yang melanggar peraturan keselamatan kebakaran termasuk memasang panel lapisan luar yang mudah terbakar.

Mereka boleh dikenakan denda RM5,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun penjara jika didapati bersalah melanggar peraturan tersebut.

Saya berharap JBPM akan menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan-bangunan di seluruh negara dan memastikan mereka mematuhi semua peraturan keselamatan kebakaran.

Ini termasuklah mendapatkan atau memperbaharui FC serta tidak menggunakan panel pelindung mudah terbakar sekali gus melindungi nyawa manusia yang tidka berdosa.



TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).