Ada rakan yang mengamalkan ilmu penumbuk sekeras keluli, selepas tahiyat akhir sebelum memberi salam ko­nonnya perlu dibacakan ayat-ayat tertentu. Itu cerita lama, semuanya telah ditinggalkan apabila menyedari kekarutannya.

Seiring dengan pertambahan usia dan berbekalkan sedikit kematangan, sendiri sedar bahawa ilmu kebal tidak mampu membawa ke mana-mana. Hakikatnya, semua yang bernyawa akan mati. Malah Rasulullah SAW pun tidak memiliki ilmu kebal, sirah mencatatkan bahawa baginda turut tercedera dalam Perang Uhud.

Dimensi kali ini bukan ingin membicarakan kaedah memiliki ilmu kebal. Itu hanya pembuka kata menyentuh sikap segelintir manusia yang merasakan dirinya kebal daripada api neraka dan kematian.

Mungkin kerana ‘perasan’ dengan kelebihan yang ko­non dimiliki itu, maka pelbagai maksiat dan tegahan agama dilakukan sewenang-wenangnya. Lebih tragis lagi apabila terdapat spesies yang ‘menunggang’ kelebihan ilmu agama yang dimiliki. Pelbagai kaedah dan dalil dimanipulasi bagi menghalalkan tindakan. Salah jika orang lain buat, halal jika bertepatan dengan selera sendiri.

Penulis amat tertarik dengan satu status rakan dalam Facebook, iaitu seorang usahawan berjaya dan pemerhati sosial yang tidak kurang hebat pengalaman dan ilmu pengetahuannya. Statusnya berbunyi: “Titik hitam yang tak sanggup kita hadapi ialah apabila ‘jenayah kolar putih’ tertukar kepada ‘jenayah kopiah putih’, Nauzubillahiminzalik!”.

Jangan padang sebelah mata status ini, hayati dan dalami maksud tersiratnya. Bukan spekulasi atau andai­an tetapi realiti semasa yang berlegar dalam masyarakat termasuk dilakukan oleh orang ‘besar-besar!’ Siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

Kalangan Melayu Islam di negara ini cukup alergi de­ngan sesuatu yang berunsurkan Islamik. Semuanya mudah ‘cair’, namun perlu ditegaskan bukan semua individu berkopiah terlibat. Diulangi sekali lagi, penulis langsung tidak berniat untuk ‘memborong’ kesemuanya tetapi hakikatnya memang wujud segelintir yang cuba mengambil kesempatan.

Bermodalkan kopiah, kiri kanan atas bawah semua diperdayakan. Apalah sangat dengan projek nilaian jutaan ringgit yang diseleweng kerana orang yang hendak beriba­dah menunaikan umrah di Mekah pun sanggup ditipu, inikan pula setakat orang biasa-biasa.

Tidak lama lagi umat Islam bakal menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji. Semua diminta berhati-hati kerana pasti bakal muncul sindiket menipu untuk pakej perkhidmatan badal haji. Ibadah ini dibolehkan tetapi mempunyai syarat-syarat yang ketat, bukan semudah membalikkan tapak tangan. Orang ramai patut merujuk kepada yang benar-benar pakar. Jika tidak, bukan jadi badal haji tetapi ‘bedal’ haji.

Penulis bukan berniat ‘menyerang’ individu berkopiah atau menghalalkan kemungkaran dilakukan oleh kumpul­an lain. Semuanya tetap sama, tiada pengecualian. Dosa, pahala, syurga dan neraka adalah paksi utama penilaiannya. Semua hamba Allah tiada yang kebal daripada azab seksaan, cuma dirasakan darjat perhitungan di akhirat bagi kumpulan berkopiah mengatasi yang lain.

Ini kerana mereka bukan calang-calang orang - ilmu agama penuh di dada, sekali gus mampu menilai antara baik dan buruk. Malangnya ada yang berlakon memakai kopiah hingga mencemarkan imej kopiah itu sendiri.

Amat lazim kelihatan dalam beberapa kes jenayah, selepas dituduh di mahkamah seseorang itu bakal tampil berkopiah. Jika insaf dan menyesali keterlanjuran, Alhamdulillah. Namun jika sebaliknya, diingatkan bahawa kopiah itu boleh menjadi eksibit barang bukti di Mahkamah Allah kelak.

Jom muhasabah diri, tidak terkecuali penulis sendiri jika ada melakukan keterlanjuran. Elakkan ‘taubat sambal’, mulut kata pedas tetapi hati nak lagi!