Bahasa rojak bukan sahaja merosakkan bahasa Melayu malah mencemarkan budaya bahasa dalam kalangan masyarakat. Justeru, masyarakat yang intelek tidak akan menggunakan bahasa rojak dalam apa juga percakapan, penulisan dan komunikasi dengan orang lain.

Keburukan menggunakan bahasa rojak akan merosakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu tidak akan dipandang dan disanjung tinggi. Bahasa Melayu akan mengalami kemerosotan dari segi penggunaannya di media baharu dan media sosial. Bahasa Melayu tidak akan menyumbang sebagai bahasa komunikasi yang berkesan.

Sebagai pengguna bahasa Melayu, fungsi bahasa Melayu moden adalah sebagai bahasa komunikasi berkesan untuk bahasa rasmi dan bahasa perpaduan dan juga sebagai bahasa ilmu dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Ada dalam kalangan penyampai radio berbahasa Melayu yang tidak prihatin selalu menggunakan bahasa rojak. Perkataan ko orang selalu digunakan bagi merujuk kepada ‘kau orang’. Hal ini perlu dielakkan bagi menjadikan bahasa Melayu lebih efektif, betul dan tidak menggunakan bahasa percakapan harian yang boleh merendahkan martabatnya. Adalah lebih baik guna satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu dan menggunakan dengan menyebut sesuatu perkataan dengan betul dan tepat.

Penyampai radio berbahasa Melayu menggunakan bahasa rojak menunjukkan seseorang itu tiada kredibiliti sebagai penyampai. Kesalahan dan keadaan ini tidak boleh dijadikan rujukan yang baik jika mahu membaiki pertuturan. Akhirnya, ditakuti akan menjadi ikutan dalam kalangan peminat dan pendengar iaitu yang salah itu dikatakan betul.

Kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa Melayu perlu diterapkan di sekolah rendah, di sekolah menengah dan di universiti. Tanpa kesedaran dan rasa cinta yang tinggi, mereka akan menggunakan bahasa Melayu dengan tidak berkesan seperti penggunaan bahasa rojak.

Ingatlah bahawa bahasa menunjukkan bangsa iaitu daripada pertuturan seseorang itu kita dapat mengetahui jenis dan keturunannya. Bangsa yang baik dan berilmu akan sentiasa menjaga bahasanya iaitu bahasa Melayu dengan santun dan betul.

Di samping itu, pegang dan amalkan kata-kata hikmat, bahasa jiwa bangsa iaitu bahasa adalah lambang keperibadian seseorang dan sesuatu masyarakat. Ingatlah, bercakap dengan kawan di luar berbeza dengan bercakap secara rasmi di majlis rasmi dan juga di radio.

Tak rugi berbahasa baik dan santun, kerana ia akan menjadi contoh dan teladan serta ikutan orang ramai. Mutiara kebijaksanaan dalam bahasa Melayu masih banyak boleh dikutip untuk disampaikan kepada pendengar. Oleh itu, gunakan bahasa Melayu yang tepat, betul dan berkesan pada setiap masa.

Ingat! Guna bahasa Melayu baku, bukannya bahasa pasar.

DR. AMINUDIN MANSOR
 ialah aktivis bahasa, sastera dan budaya.