Penyerang, Brenton Tarrant, 28, berasal dari Australia menembak mangsa-mangsa tersebut sambil merakam perbuatannya secara langsung di akaun Facebook miliknya. Selain Tarrant, empat lagi suspek adalah warganegara New Zealand, tiga lelaki dan seorang wanita.

Menerusi video yang tular dalam media sosial pada peringkat awal sebelum dipadamkan, Tarrant yang lengkap berpakaian separa tentera dan membawa senjata automatik melepaskan tembakan secara rambang ke arah mangsa di dalam dan luar masjid dengan begitu kejam.

Menurut pakar geostrategis, Profesor Dr. Azmi Hassan, kejadian itu sepatutnya boleh dipatahkan oleh pihak berkuasa New Zealand, namun pendekatan dwistandard mereka menyebabkan komplot ekstremis berkenaan berlaku.

Ini kerana menerusi beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh suspek sebelum ini dalam media sosial miliknya, sudah terlihat bibit-bibit ke arah perlakuan dan ideologi ekstrem sedemikian.

“Bayangkan jika kenyataan itu dikeluarkan oleh orang Islam, pastinya individu itu telah ditahan dan namanya dimasukkan ke dalam senarai pengganas.

“Kejadian ini jelas menunjukkan pihak berkuasa New Zealand tidak ‘menjangkakan’ golongan orang kulit putih ini akan bertindak sekejam itu,” katanya.

Jelas Azmi, rata-rata yang tersenarai sebagai pengganas adalah orang Islam. Sepatutnya sesiapa sahaja yang terlihat mencurigakan ke arah melakukan keganasan dari segi perbuatan, percakapan dan kenyataan perlu diambil serius dan disiasat. Konspirasi pembunuhan seperti itu sepatutnya dapat dihidu oleh pihak berkuasa New Zealand terutama bahagian perisikan lebih awal, namun ia tidak berlaku dan hal itu hanya menjadi persoalan terhadap integriti dan kesiapsiagaan negara Kiwi dalam mengendalikan kes-kes keganasan.

“Adakah kerana New Zealand terkenal sebagai negara yang aman menyebabkan mereka tidak mengambil pusing segala hint yang telah diberikan oleh kumpulan penyerang tersebut?

“Lebih-lebih lagi penyerang dilihat telah bersedia dan membuat persiapan rapi dari segi kelengkapan senjata dan dikatakan menyediakan bahan letupan untuk satu serangan lebih besar,” katanya.

Bahkan, penularan video yang dirakam secara langsung itu juga dikhuatiri akan menggalakkan kumpulan-kumpulan ekstremis dan anti-imigran lain di seluruh dunia melakukan hal yang sama.

Azmi turut menyentuh isu tersebut kerana pihak berkuasa New Zealand turut menemukan 74 muka surat manifesto anti-imigran yang dimuat naik oleh Tarrant ke akaun Twitter berserta alasan mengapa dia melakukan keganasan berkenaan.

Selain itu, Tarrant turut menyatakan dia hanyalah lelaki kulit putih biasa, namun mendapat inspirasi daripada pembunuh beramai-ramai di Norway, Anders Behring Breivik dan mahu membalas dendam terhadap ribuan kematian yang didakwa dilakukan oleh golongan imigran.

Bukti tersebut menunjukkan Tarrant dan ahli kumpulannya telah lama bersikap ekstrem terhadap orang luar (imigran) dan berjaya ‘meluahkannya’ menerusi komplot serangan berdarah.

Apa yang lebih ditakuti kini adalah tindak balas komuniti umat Islam di seluruh dunia terutamanya kumpulan-kumpulan berhaluan kiri (ekstremis) yang pastinya akan menjadikan negara tersebut sebahagian daripada sasaran mereka selepas ini.

Pasti akan ada pihak-pihak tertentu menjadikan kejadian tersebut sebagai alasan untuk mula mengembangkan ideologi penentangan terhadap negara bukan Islam versi mereka ke atas negara itu.

Tersenarai sebagai antara 10 negara paling selamat di dunia jelas tidak menjadikan New Zealand bebas daripada sikap radikal kumpulan-kumpulan tertentu seperti Tarrant dan sudah tiba masanya melihat kembali sikap negara-negara maju yang hanya menumpukan kewaspadaan mereka semata-mata kepada umat Islam seluruh dunia.

Oleh demikian, senarai mereka yang dilihat berpotensi melakukan keganasan perlu diperluaskan tidak hanya dituju ke arah umat Islam semata-mata.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyatakan, insiden berdarah tersebut adalah merupakan hari paling kelam buat negaranya.

“Mereka telah memilih New Zealand sebagai rumah mereka dan mereka adalah sebahagian daripada kami. Mereka sepatutnya berada dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

New Zealand kini memperketatkan kawalan keselamatan di seluruh negara dan mengarahkan agar semua masjid ditutup buat sementara waktu sehingga keadaan kembali tenang.