Aspek integriti, ketelusan selain tahap profesionalisme pihak berkuasa lebih-lebih lagi pasukan keselamatan saban hari terus diperkatakan umum. Dalam dunia yang mencabar selain kecanggihan teknologi ketika ini, pihak berkuasa sering diperhatikan malah tidak terkecuali menjadi ‘bahan’ viral di laman sosial kerana salah laku.

Namun, masih ramai tidak menyedari sebenarnya ada saluran rasmi untuk menyalurkan isu-isu integriti melibatkan penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Ikuti temubual Pengerusinya, DATUK YAACOB MD. SAM bersama wartawan Utusan Malaysia, FARABI SHEIKH SAID AL JABRI dalam melihat keupayaan badan itu melaksanakan bentuk tindakan dan syor bagi menambah baik 21 agensi penguat kuasa di negara ini.

Bolehkah Datuk terangkan secara ringkas mengenai fungsi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan sejauh mana keupayaan suruhanjaya ini dalam menjalankan pera­nannya?
EAIC ditubuhkan bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Di­raja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi mengendalikan aduan-aduan salah laku terhadap polis.
Namun, kerajaan mendapati adalah lebih bermanfaat untuk suruhanjaya itu turut memberi fokus kepada salah laku pegawai penguat kuasa dan agensi-agensi dalam menguatkuasakan undang-undang serta berurusan dengan orang ramai. Untuk itu, Parlimen telah meluluskan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) yang diwartakan pada 3 September 2009 dan seterusnya menubuhkan EAIC secara rasminya pada 1 April 2011.
Secara ringkasnya, peranan EAIC adalah menerima dan menyiasat aduan salah laku sesuatu agensi penguatkuasaan, membantu kerajaan merumuskan perundangan atau mengesyorkan langkah pentadbiran dalam menggalakkan integriti dan mengkaji pelanggaran tatacara penguatkuasaan dan membuat syor berhubung dengannya.
Suruhanjaya ini dianggotai oleh tujuh orang ahli pesuruhjaya daripada pelbagai latar belakang bidang kepakaran yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memegang jawatan selama tempoh tiga tahun, dan layak untuk dilantik semula bagi tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimana Datuk melihat pe­ngetahuan orang ramai mengenai kewujudan EAIC dan bagaimana keyakinan orang ramai mengenainya.
Menangani persepsi orang ramai sangat penting. Ketelusan dalam tindakan dan menyalurkan maklumat-maklumat serta fakta-fakta yang benar dan tepat adalah di antara unsur penting dalam membina kepercayaan orang ramai terhadap agensi. Maka, EAIC sentiasa komited dalam menggalas setiap tanggungjawab yang diamanahkan. Pada 2015, kadar peratusan penyelesaian aduan oleh Jawatankuasa Aduan EAIC juga meningkat kepada 90 peratus. Peratusan penyelesaian aduan itu melebihi sasaran pencapaian ditetapkan, iaitu 85 peratus.
Orang ramai boleh mendapat akses secara langsung ke atas data tersebut menerusi media sosial seperti laman web rasmi Facebook dan Twitter serta laman web EAIC. Borang-borang aduan juga boleh diakses di situ.
Jika dilihat peningkatan jumlah aduan yang diterima dan agensi penguatkuasaan yang diadukan serta pertambahan bilangan pengunjung ke laman web EAIC di www.eaic.gov.my yang begitu drastik dalam tempoh setahun ini kepada pertambahan 300 peratus (berbanding 27,000 pada  2014) dan interaktif pengunjung di laman media sosial, saya percaya keyakinan dan kesedaran orang ramai sudah mula bertapak serta sedang dipertingkatkan melalui usaha-usaha penambahbaikan.

Memandangkan rakyat Malaysia kini semakin kompleks dan kritikal pemikiran sejak kebelaka­ngan ini, bagaimana sesuatu indeks dapat dicapai dan kaedah penyampaian yang boleh dibuat oleh EAIC bagi memberi kefahaman kepada orang ramai.
Penubuhan EAIC bukanlah untuk mencari kesalahan atau mencari keaiban seseorang pegawai/sesuatu agensi penguatkuasaan. Adalah penting bagi EAIC bertemu muka dengan kepimpinan tertinggi agensi penguatkuasaan terlibat untuk mengetahui dan bertukar fikiran ke atas isu-isu semasa dan perkara-perkara berkaitan polisi agensi penguatkuasaan dan aktiviti penguatkuasaan undang-undang.
Justeru, di sepanjang 2015, sebanyak 10 sesi dialog bersama pengurusan tertinggi agensi penguatkuasaan diadakan meliputi agensi penguatkuasaan selain turut aktif dalam menyelaras rangkaian promosi yang menghubungkan EAIC dengan media massa. Melalui pendekatan sebegini, EAIC berharap untuk mendekati rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat sekali gus menanamkan keprihatinan mereka terhadap isu integriti.

Bolehkah Datuk terangkan ba­gaimana untuk meyakinkan orang ramai mengenai peranan EAIC da­lam menjalankan tugas kerana ada cakap-cakap suruha­njaya ini ‘dikuasai’ atau ‘dipengaruhi’ elemen-elemen lain sebagai contoh politik dan sebagainya.
Secara tegas, saya mengatakan tidak terdapat campur tangan politik atau pengaruh mana-mana ahli politik dalam operasi EAIC. Malahan pihak kerajaan menghormati peranan EAIC sebagai sebuah badan bebas.
Akta 700 melalui Seksyen 48 menghendaki EAIC mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai semua aktiviti termasuk senarai semua perkara yang dirujukkan kepada EAIC dan tindakan yang telah diambil berkenaan dengannya.
Oleh itu, setiap tahun bermula 2012 tanpa gagal, EAIC mengemukakan laporan tahunannya kepada Parlimen. Ahli-ahli Parlimen juga tidak membangkitkan sebarang rasa tidak puas hati terhadap pe­ranan dan siasatan yang telah dijalankan oleh EAIC ke atas aduan-aduan yang diterima.
Malah, kesemua tujuh orang ahli Pesuruhjaya EAIC dilantik dan ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memegang jawatan selama tiga tahun dan boleh dilantik semula bagi tiga tahun lagi iaitu maksimum dua penggal lantikan. Saya sendiri selaku Pengerusi EAIC ialah seorang Hakim Mahkamah Tinggi Malaya yang masih berkhidmat dan dipinjamkan oleh Badan Kehakiman Malaysia kepada EAIC sebagai Pengerusi EAIC yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan diberi taraf setara dengan Hakim Mahkamah Rayuan oleh kerajaan. Setiap aduan dan siasatan dijalankan berdasarkan fungsi undang-undang. Ia dilaksanakan secara telus tanpa rasa gentar atau memihak without fear and favor.

Ada yang melihat peranan suruhanjaya seolah-olah hanya pemantau tanpa melakukan sebarang tindakan yang menggerunkan kepada pesalah melibatkan penguat kuasa dan bagaimana tanggapan itu dapat ditangkis supaya masyarakat tahu taring suruhanjaya ini ber­pera­nan besar.
Suruhanjaya perlu mempunyai kuasa untuk mendakwa dan meng­hukum pesalah. Malahan terdapat juga pandangan untuk suruhanjaya ini mengambil alih peranan Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) agensi penguatkuasaan termasuk kuasa untuk menukarkan pegawai.
Pun begitu, ahli-ahli suruhanjaya ini memilih untuk memegang pendirian dan prinsip universal bahawa sebagai sebuah badan yang mempunyai kuasa untuk me­nyiasat ia tidak wajar juga diberikan kuasa untuk mendakwa atau meng­hukum. Dengan kata lain perlu ada elemen check and balance ke atas kuasa penyiasatan, membawa pertuduhan dan mengenakan hukuman.
Sebuah badan penyiasatan ti­dak wajar menjalankan sekali gus ketiga-tiga peranan sebagai ‘badan penyiasat, pendakwa dan menghukum’. Sistem yang ada sekarang telah terbukti berjaya mengimbangi ke­perluan pengadilan jika tidak di­salahgunakan.