Ya, betul tapi itu semua dahulu punya cerita. Sekarang bukan lagi. Dahulu ada dua syarikat e-hailing di negara ini, masing-masing terpaksa bersaing. Jadi, susahlah sikit nak naikkan tambang, takut pelanggan lari. Dahulu sesiapa sahaja boleh jadi pemandu e-hailing asalkan ada lesen kelas D dan memiliki kereta berusia bawah lima tahun. Bila-bila masa terluang, boleh cari duit tambahan. Lepaslah juga belanja dapur dan duit poket anak-anak ke sekolah. Lega sikitlah rakyat walaupun harga barangan banyak yang naik.

Tapi sekarang sudah berbeza. Kini hanya tinggal satu syarikat e-hailing. Nak jadi pemandu e-hailing pula perlu ada lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV), menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil insurans. Ini semua kos tambahan kepada pemandu, kira-kira RM1,000 terpaksa dikeluarkan dari dompet sendiri.

Kereta pula perlu diperiksa di Puspakom Sdn. Bhd. Dikatakan pemeriksaan di situ cukup ketat. Sebiji mentol tidak bernyala pun boleh gagal.

Bagi Ketua Labaratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusof Saari, perkhidmatan e-hailing adalah terlalu dekat kepada rakyat terutama di bandar-bandar besar. Sebagai pengguna, mereka boleh mendapat perkhidmatan pengangkutan yang fleksibel dan selesa pada harga berpatutan. Ia mengurangkan perbelanjaan rakyat yang menggunakannya untuk berulang-alik ke tempat kerja atau urusan lain. Manakala bagi pemandu, boleh buat pendapatan tambahan pada bila-bila masa terluang. Ia lebih menyeronokkan kerana pemandu berpeluang bertemu ramai pelanggan daripada pelbagai latar belakang. Berbanding kalau buka gerai makanan, leceh sikit. Sudahlah masa panjang, badan pula letih.

Katanya, adalah malang apabila perkhidmatan e-hailing yang sepatutnya boleh meringankan kos sara hidup rakyat sudah bertukar menjadi monopoli kerana hanya ada satu syarikat pengendali. Ini tidak baik untuk pasaran ekonomi negara berikutan pengguna sudah tiada pilihan. Akibatnya, hasrat asal kerajaan nak membantu kini sudah jadi menyusahkan rakyat pula.

Menurut beliau, kos pengangkutan adalah aspek penting dalam kehidupan sesebuah isi rumah. Ia melibatkan kira-kira 20 peratus daripada perbelanjaan bulanan, nilai ini adalah tinggi. Sekarang pula tambang e-hailing dikatakan sudah naik sampai RM10, pastinya kos besar kepada pengguna.

Nak suruh rakyat gunakan pengangkutan awam, ia bukanlah jalan terbaik. Rangkaian sistem pengangkutan awam di negara ini masih terhad dan tidak efisien.

SALAH SIAPA?

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan syarikat pengendali e-hailing dalam isu ini sebab kerajaan yang memperkenalkan beberapa peraturan baharu terbabit. Cumanya, ia memberi kesan kepada pemandu terutama yang buat secara sambilan kerana terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk memenuhi syarat-syarat ditetapkan. Akibatnya dikatakan ramai pemandu menarik diri kerana mereka lakukannya pun bila waktu terluang untuk cari duit poket. Ini sekali gus mengurangkan jumlah pemandu menyebabkan syarikat pengendali tiada pilihan melainkan menaikkan tambang untuk meneruskan operasi.

Di pihak kerajaan pula jelas Mohd. Yusof, ada rasional kenapa peraturan-peraturan baharu itu diperkenalkan. Jika tidak dilakukan pemantauan terhadap perkhidmatan e-hailing terutama pemandu dan kenderaannya, dibimbangi berlaku kejadian-kejadian tidak diingini. Lagipun kos untuk memenuhi kelayakan sebagai pemandu e-hailing masih dilihat berpatutan, tidak membebankan sangat. Tapi pengguna pula yang terkesan akibat tambang naik.

Namun katanya, tidak bermakna kerajaan tidak boleh lagi membantu kebajikan rakyat dalam hal ini. Cara paling mudah adalah dengan menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat baharu dalam perkhidmatan e-hailing yang bersifat kompetitif. Apabila ada persaingan maka tiada monopoli seterusnya harga tidak boleh lagi dikawal mereka. Apabila pengguna ada banyak pilihan maka wujud persaingan dalam kalangan pengendali e-hailing sekali gus membolehkan insentif-insentif menarik disediakan kepada pelanggan.

Pengendali e-hailing perlu kreatif untuk memperkenalkan pakej menarik masing-masing. Pendekatan tersebut tidak merugikan mereka pun sebaliknya menguntungkan kerana pelanggan bertambah.

Di pihak kerajaan juga ada kesan positif kerana mereka boleh meningkatkan kutipan cukai. Dari segi peraturan pula, cukuplah syarat-syarat sedia ada, tidak perlulah ditambah lagi. Jangan bebankan lagi pemandu dan pengguna.

MERAKYATKAN

Mohd. Yusof memberitahu, inilah masanya kerajaan nak buktikan apa yang mereka gembar-gemburkan selama ini iaitu merakyatkan dasar dan polisinya. Segenap lapisan rakyat berhak berkongsi kemakmuran ekonomi, bukannya dinikmati oleh golongan tertentu sahaja. Kini nikmat hasil ekonomi tidak lagi dikongsi kepada mereka sebaliknya ditarik balik.

Menurutnya, kerajaan kena perbanyakkan syarikat perkhidmatan e-hailing. Pengangkutan sekarang merupakan satu keperluan, bukan lagi kehendak. Pengangkutan efisien diperlukan rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sekarang kelangsungan hidup pengguna sudah terganggu.

Kerajaan perlu ambil serius isu ini. Kena ingat, e-hailing diperkenalkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ketika itu, rakyat seronok kerana kosnya murah.

Kini ramai yang tidak puas hati. Jangan sampai rakyat marah!