Walaupun terpaksa melalui kepayahan dan pelbagai rintangan, ia tidak mudah untuk beliau mengalah apatah lagi berputus asa. Tidak ada istilah buat kerja sekerat jalan.

“Kadang-kadang idea yang dianggap gila oleh orang lain sebenarnya amat bernilai, malah sebagai pembuka pintu untuk kita berjaya,” katanya pada awal bicara dengan Cekmek Molek, baru-baru ini.

Sesungguhnya bukan mudah untuk berada pada tahap membanggakan jika tidak ada minat mendalam dalam setiap apa yang dilakukan. Tidak salah untuk seseorang mencuba sesuatu yang baharu atau menceburi bidang kerjaya berlainan asalkan mereka fokus kepada cita-cita sebenar. Dan Navanith atau lebih dikenali sebagai Alex, 33, telah membuktikan perkara itu. Bidang kerjayanya kini tidak sama dengan bidang pengajiannya dahulu yang ketika itu diambil kerana mengikut trend popular yang difikirkan mempunyai masa depan cerah.

JURUTERA AEROANGKASA

Lebih menyedihkan, beliau terpaksa menguburkan impian untuk menjadi jurutera aeroangkasa kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos pengajian bidang berkenaan di Rusia. Alex perlu akur dengan desakan hidup keluarga kerana bapanya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Beliau kemudian mengikut pilihan keluarga untuk mengambil kursus teknologi maklumat (IT) di Kolej Olympia, Kuala Lumpur.

Disebabkan tidak mahu membebankan keluarga, beliau mencari duit poket sendiri dengan membuat kerja sambilan ketika masih menuntut di kolej. Pada tahun pertama pengajian, Alex sudah melibatkan diri sebagai perunding pengiklanan secara bebas di salah sebuah firma penerbitan dan pengiklanan walaupun terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja. Pada masa sama, beliau turut membuat kerja sampingan lain seperti mengambil upah membaiki komputer atau menjual peralatan komputer dan aksesori telefon bimbit.

Semasa kerja sambilan di firma pengiklanan itulah beliau mula menunjukkan bakat. Walaupun ketika itu baru berusia 19 tahun dan di dikelilingi rakan sekerja yang lebih berumur, Alex mampu membuka mata majikannya melalui hasil kerja yang baik. Reka bentuk pengiklanan yang dilakarnya sentiasa mendapat pujian dan mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Sejak zaman kanak-kanak, saya seorang yang suka bercakap. Ramai memuji kemahiran komunikasi saya yang sentiasa melontarkan idea bernas dan pantas. Selepas membuat kerja sambilan dalam bidang penerbitan dan pengiklanan, saya merasakan ia kena dengan jiwa saya walaupun bertentangan dengan bidang pengajian,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Pada 2009, Alex mula mencari peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang perniagaan penerbitan dan pengiklanan sekali gus menubuhkan syarikat sendiri. Ia bertitik-tolak selepas beliau diminta melengkapkan satu ruang kosong dalam penganjuran sebuah pameran yang dihadiri menteri. Beliau berjaya menyiapkannya hanya dalam tempoh satu jam. Alex mengambil peluang ketika itu untuk melontarkan cadangan projek buku kementerian kepada menteri berkenaan dan ideanya diterima sekali gus diluluskan untuk diterbitkan. Sejak itu, syarikat penerbitan Alex, Rakyat Media Industries Sdn. Bhd. diterima sebagai penerbit rasmi untuk kementerian dalam menerbitkan beberapa buku direktori kementerian.

“Sehingga hari ini kami memberikan perkhidmatan dalam bidang grafik, pengarang dan pengiklanan kepada lebih 1,000 syarikat secara keseluruhannya. Pendapatan yang saya peroleh kini meningkat sehingga 20 kali ganda,” kata Alex yang juga Pengarah Urusan NP Asia Sdn. Bhd. yang turut menerokai bidang penerbitan digital, e-buku, laman web serta pengiklanan menerusi platform media sosial.

TIDAK MUSTAHIL

Alex kini merancang untuk menerbitkan sebuah buku khas kepada Yang di-Pertuan Agong. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai tanda taat dan setia kepada raja dan negara. Selain itu, beliau turut berhasrat menerbitkan buku khas kepada ketua kerajaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah melakar sejarah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali. Begitu juga kepada Superstar Rajinikanth akan dinukilkan sebuah buku khas yang menjadi sumber inspirasi beliau kerana bakat lakonan yang begitu baik, rendah diri dan berkeperibadian mulia.

Kejayaan Alex pada hari ini membuktikan tidak ada yang mustahil untuk berjaya jika ada kesungguhan. Walaupun berketurunan India, ia sekali gus menepis stigma sesetengah pihak bahawa hanya orang-orang tertentu mendapat keistimewaan memperoleh projek-projek kerajaan. Sedangkan setiap rakyat Malaysia diberi peluang sama rata tanpa mengenal kulit, rupa, bangsa dan agama asalkan mampu melakukan yang terbaik.

Hasil kejayaan yang dikecapi Alex kini turut mahu dikongsi dengan masyarakat. Untuk itu, beliau memberi peluang pekerjaan kepada golongan pesara, ibu tunggal, pelajar praktikal serta orang kurang upaya di pusat panggilan.

“Kini, saya telah membuka satu cawangan lagi dan mengalu-alukan orang ramai untuk bekerja di syarikat saya dengan menawarkan waktu kerja fleksibel. Saya menerima sesiapa sahaja Melayu ke, Cina atau India asalkan mereka bekerja dengan jujur dan komited,” katanya yang turut menjadi pakar strategi perniagaan kepada syarikat-syarikat korporat.

Sebagai anak muda yang sudah melakar kejayaan dalam kerjaya, Alex berharap golongan seusia dengannya mampu mencipta nama pada usia muda. Letakkan fokus dalam cita-cita, tidak berputus asa dan teruskan perjuangan dengan mengasah kemahiran diri sendiri. Terokai bidang kerjaya dalam dimensi berlainan.

“Kita harus mengejar peluang dan bukannya menunggu peluang datang. Sekiranya peluang sudah ada dalam tangan, garap sepenuhnya dan berikan hasil yang terbaik,” katanya yang turut terlibat dalam produksi perfileman selain berpeluang menjadi pelakon dalam dua buah filem antarabangsa bersama bintang terkenal Rajinikanth dalam Kabali dan filem Singam 3 yang dibintangi oleh Surya.