Bermula dengan sekecil-kecil Jalur Gemilang yang dibeli oleh kanak-kanak kemudian mengibarnya sambil menunggang basikal, itu adalah lambang semangat cinta akan tanah air yang tertanam dalam jiwa generasi awal walaupun mereka bukannya faham sangat makna kemerdekaan. Apabila mereka meningkat dewasa, mereka akan mula memahaminya selepas melalui beberapa proses seperti pembacaan, pendidikan di sekolah dan pendedahan oleh ibu bapa.

Setiap warga negara kita didedahkan dengan Hari Kebangsaan sejak di sekolah lagi. Dalam teks Bahasa Melayu, ada tema berkaitan semangat cinta akan tanah air. Ada pengisahan tentang kemerdekaan, kepentingan merdeka bagi sebuah negara, tanggungjawab warga negara di negara yang merdeka dan pelbagai aspek dibincangkan berdasarkan tahap usia anak-anak sekolah. Sekolah rendah lain kaedahnya, sekolah menengah lain pendekatannya tetapi semuanya berkiblatkan semangat cinta negara.

Maka apabila tibanya detik-detik 31 Ogos setiap tahun, setiap sekolah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan pelajar-pelajar sekolah demi memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda. Kita amat berbangga kerana setiap sekolah mengadakan sambutan ini sama ada secara besar-besaran atau secara ringkas.

Oleh sebab bulan Ogos dan September dianggap bulan peperiksaan penting terutamanya bagi pelajar Tahun 6, sudah tentu sambutan bagi pelajar sekolah rendah agak terbatas. Namun ini tidak bermakna sambutan tidak boleh diadakan. Di sekolah menengah umpamanya, pelajar-pelajar yang terlibat dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak digalakkan menyambutnya secara besar-besaran kerana mereka bakal menduduki peperiksaan-peperiksaan tersebut tidak lama lagi.

Bagaimanapun, inisiatif sendiri dengan menghias kelas yang tidak mengambil masa yang lama sudah tentu boleh dilakukan oleh mereka sebagai tanda menghargai kemerdekaan negara. Ada kelas-kelas di sekolah yang dipenuhi Jalur Gemilang, negarawan dan sebagainya yang mencerminkan semangat patriotik dan ini sudah cukup menunjukkan penglibatan mereka dalam masa yang terdesak oleh sebab adanya keperluan lain.

Di peringkat sekolah, pelbagai acara boleh dilakukan oleh guru-guru sebagai usaha meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Ini termasuklah mengadakan pertandingan kuiz sejarah, nyanyian lagu-lagu patriotik, pengisahan tokoh sejarah, pertandingan menulis esei serta pementasan drama.

Di pihak ibu bapa, mereka memainkan peranan mendidik anak-anak mereka menghargai kemerdekaan tanah air dengan pelbagai kaedah termasuk membawa anak-anak menyertai sambutan Hari Kebangsaan di peringkat daerah ataupun negeri.

Pertubuhan-pertubuhan setempat terutamanya persatuan penduduk, belia dan sebagainya sering memberi komitmen menjayakan sambutan Hari Kebangsaan di kawasan masing-masing. Semua ini boleh menjadi pengajaran kepada generasi muda agar mereka juga suatu masa nanti akan mengadakan sambutan yang sama dan mungkin lebih meriah daripada apa yang sertai sekarang.