Dr. Mahathir berada di Singapura kerana melakukan lawatan rasmi dan sekali gus turut serta dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan beberapa mesyuarat lain seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan ASEAN Campur Tiga. Tidak syak lagi anugerah nama orkid sempena nama Perdana Menteri Malaysia dan isteri adalah manifestasi hubungan yang lebih akrab antara kedua-dua negara jika hendak dibandingkan ketika pertama kali Dr. Mahathir menerajui Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Jika isu kadar harga air mentah 3 sen per 1,000 gelen yang dibekalkan oleh Malaysia kepada Singapura telah membuatkan hubungan kedua-dua negara menjadi tegang ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri terutama sekali di sekitar tahun 2000 hingga 2003, sensitiviti isu berkenaan kekal status quonya apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan enam bulan lepas.

Sehingga kini beberapa masalah seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dipersetujui kedua-dua negara supaya ditangguhkan dengan Malaysia memberi pampasan RM400 juta kepada Singapura serta permohonan semakan semula status Batu Puteh, Tubir Selatan dan Batuan Tengah telah digugurkan oleh Malaysia, maka boleh diandaikan kedua-dua masalah tersebut dapat diselesaikan tetapi isu kadar air yang telah berlarutan masih gagal ditemui jalan penyelesaian.

Tidak sampai sebulan sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir pada Jun lalu telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kadar air yang dianggap beliau sebagai tidak masuk akal. Tindak balas dari Singapura ekoran kenyataan Dr. Mahathir adalah begitu jelas kerana Menteri Luar Vivian Balakrishnan berhujah dalam Parlimen dengan menegaskan rundingan hanya boleh dilakukan jika kedua-dua negara bersetuju dan dalam hal ini Singapura pada ketika itu berpegang kepada prinsip tidak mahu mengubah terma perjanjian air tersebut.

Perlu diungkit kembali ketika isu ini menjadi panas pada awal 2000, Singapura telah menjaja kepada seluruh dunia dengan memberi persepsi Malaysia sebagai negara yang tidak menghormati perjanjian. Singapura juga telah menggunakan isu kedaulatan yang tercabar berdasarkan kepada Perjanjian Perpisahan 1965 dan juga Pindaan Perlembagaan Malaysia No. 53, 1965 yang secara amnya menyatakan bahawa Malaysia perlu mematuhi dua perjanjian bekalan air yang ditanda tangani pada 1961 dan 1962. Strategi Singapura hingga hari ini tidak banyak yang berubah.

Terasa agak teruja apabila Dr. Mahathir menegaskan beliau telah menimbulkan isu kontroversi ini dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dua hari lalu. Lebih menarik lagi tindak balas Hsien Loong dianggap lebih positif jika dibandingkan tiga bulan lalu.

“Beliau (Hsien Loong) sangat bersedia untuk bekerjasama. Saya fikir mereka lebih terbuka untuk membincangkan isu ini berbanding sebelumnya”, tegas Dr. Mahathir ketika memberi gambaran perbincangan dengan rakan sejawatan beliau mengenai isu kadar air. Tetapi pada masa sama Dr. Mahathir mengenakan kaveat terhadap pandangan Singapura kerana walaupun wujud petanda Singapura bersetuju untuk berbincang semula isu air, Dr. Mahathir menambah Singapura tidak berkata setuju, tetapi sekurang-kurangnya nampak bersedia untuk menyatakan pendirian mereka dan bagi Malaysia menyuarakan pendirian.

Walaupun masih samar, sama ada Singapura bersetuju atau sebaliknya untuk mengadakan rundingan perjanjian air, apabila berhadapan dengan diplomasi Singapura ungkapan sedia untuk bekerjasama dianggap begitu baik sekali statusnya. Ini kerana sebelum ini Singapura begitu bertegas mahu mengekalkan terma perjanjian kerana manfaatnya begitu menyebelahi Singapura berbanding Malaysia jadi tiada sebab mengapa republik itu mahu mengubah terma perjanjian.

Mungkin juga Singapura berlembut untuk bekerjasama kerana mengambil iktibar daripada pampasan penangguhan projek HSR dan juga pembatalan permohonan semak semula status Batu Puteh. Kemungkinannya tetap ada tetapi untuk menunggu sehingga 2061 dengan kadar 3 sen per 1000 gelen adalah satu masa yang terlalu lama.