Perkara ini merupakan usaha murni kerajaan dengan sokongan pihak pembangkang ke arah memartabat serta mematangkan lagi sistem dan amalan demokrasi di Malaysia meskipun masih menjadi perdebatan antara mereka yang bersetuju dengan perkara ini dan juga sebaliknya. Bagi penulis, perkara ini bergantung kepada sejauh mana proses perlaksanaannya serta terhindar daripada sebarang manipulasi daripada mana-mana pihak termasuklah dari Kerajaan sendiri.

Kita bersyukur semenjak era Malaysia Baharu, sebahagian besar proses pendemokrasian khususnya dari aspek ‘semak dan imbang’ serta partisipasi politik kian diperkasakan. Antara yang jelas kelihatan adalah dari segi hak kebebasan bersuara, kebebasan media, pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari parti pembangkang, kebebasan penglibatan politik kepada mahasiswa serta pilihan raya adil, telus dan bebas. Namun, masih banyak lagi elemen demokrasi yang perlu diperbaiki dan diberi penambahbaikan khususnya dari segi pengasingan kuasa.

LABEL DEMOKRASI MALAYSIA

Kira-kira tri-dekad sebelum ini, demokrasi di Malaysia kerap kali dipertikai pelbagai pihak sama ada pihak luar mahupun dalam lantaran memiliki kelemahan dalam perlaksanaannya. Justeru, beberapa pengkaji dan penulis sebelum ini melabelkan demokrasi di Malaysia dengan pelbagai istilah umpamanya seperti Quasi Democracy sebagaimana yang pernah dikemukakan Zakaria, Statist Democracy oleh Jesudason, Semi Democracy atau Pseudo-Democracy oleh Case, Neither Democracy nor Authoritarian oleh Crouch, Coercive consociationalism oleh Mauzy dan pelbagai lagi.

Di kala dan saat pemimpin politik kini sibuk dengan usul pemberian hak mengundi kepada warganegara yang berusia 18 tahun ke atas di samping memperkukuh proses pendemokrasian dan kematangan politik yang lebih mantap, kita dikejutkan dengan isu-isu yang mencacat dan merencatkan demokrasi dan politik matang itu sendiri. Wajah Malaysia Baharu tidak seharusnya dicemari dengan budaya politik kotor lagi tidak bermaruah.

Isu penyebaran video seks baru-baru ini adalah contoh budaya politik kotor dan murahan yang tidak sepatutnya menjadi mainan di era Malaysia Baharu. Seharusnya politik jatuh menjatuhkan, tikam dari belakang, fitnah memfitnah ini ditinggalkan dalam lipatan sejarah politik silam. Biarlah politik baharu ini dimainkan dalam keadaan aktor politiknya yang sentiasa bersaing secara sihat dan bersih. Sewajarnya setiap pihak menawarkan agenda terbaik untuk diberikan kepada masyarakat dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan diri.

Bagi memantapkan amalan demokrasi serta mengukuhkan politik matang di negara ini, beberapa perkara disyorkan untuk dilaksanakan pihak Kerajaan. Antara syor tersebut termasuklah menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal sebagaimana amalan di kebanyakan negara Barat dan juga negara jiran kita, Indonesia. Dengan penetapan lebih awal tarikh PRU, dapat mengurangkan spekulasi serta memudahkan pelbagai pihak termasuk kepada pelabur dalam dan luar negara dalam menentukan segala dasar dan keputusan.

HUKUM PELOMPAT PARTI

Di samping itu, sewajarnya dihapuskan amalan politik yang bersifat spekulatif termasuk dari segi tarikh dan tempoh peralihan kuasa, menetapkan tempoh perkhidmatan minimum Menteri Kabinet/Exco yang ada kaitannya dengan tempoh rombakan kabinet/exco, memperkenalkan akta yang menghalang seseorang wakil rakyat ‘melompat’ parti termasuk dari kalangan wakil rakyat bebas. Sekiranya seseorang wakil rakyat itu ingin keluar dari parti yang beliau wakili, maka perlulah melepaskan jawatan wakil rakyat yang disandang beliau sekalipun kemenangan beliau itu atas sifat faktor calon.

Begitu juga dalam konteks parti-parti komponen yang bertanding atas tiket sesebuah parti gabungan. Tidak sewajarnya parti itu bertindak keluar daripada gabungan tersebut kerana mereka telah menang atas logo parti gabungan itu semasa PRU. Umpamanya, parti-parti dalam PH tidak boleh meninggalkan gabungan itu dan begitu juga parti-parti komponen BN sehinggalah tamatnya mandat yang diberikan rakyat. Mengambil contoh bagaimana parti-parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak yang keluar selepas PRU-14 lalu. Seharusnya perkara ini tidak wajar dilakukan lantaran kemenangan mereka pada PRU-14 atas logo dan watikah dari BN.

Di samping itu, antara syor yang boleh dipertimbangkan bagi memantapkan demokrasi dan kematangan politik di Malaysia adalah menghapuskan amalan double standard antara wakil rakyat kerajaan dengan pembangkang termasuklah dari segi peruntukan, memberikan ruang seluas-luasnya untuk menyertai pilihan raya dengan mengurangkan kadar wang pertaruhan atas pertimbangan memberi peluang kepada parti yang kurang berkemampuan serta calon bebas, mengisytiharkan perolehan dana sumbangan politik dan pilihan raya secara telus bagi setiap parti, merancakkan debat dan diskusi politik secara sihat serta meraikan penglibatan ahli akademik, tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGOs) untuk turut sama memberikan pandangan mahupun kritikan.

INDEKS

Secara umumnya terdapat beberapa elemen demokrasi yang perlu dipelihara bagi memperkasakan demokrasi di sesebuah negara. Antara elemen tersebut termasuklah kebebasan bersuara dan media, pilihan raya bebas dan adil, kebebasan berorganisasi, penghormatan terhadap hak minoriti, pembahagian kuasa serta kebebasan badan kehakiman. Sementara menurut The Economist Intelligence Unit’s Democracy Index, lima kategori yang dinilai: proses elektroral dan pluralism, kebebasan masyarakat, keberfungsian pemerintah, partisipasi dan budaya politik. Daripada lima perkara itu dipecahkan kepada 60 indikator yang terperinci. Berdasarkan pengukuran tersebut, Malaysia memperoleh indeks 6.54 bagi tahun 2017 berbanding Filipina (6.71), Singapura (6.32), Indonesia (6.39) dan Thailand (4.63).

Berkemungkinan besar indeks tersebut lebih baik buat Malaysia bagi tahun 2018 dan 2019 sekiranya proses pendemokrasian yang dilakukan di era Malaysia Baharu berjaya dilakukan secara tuntas lagi mapan. Walau bagaimanapun, kita tidak harus terlalu terikat dengan pencapaian indeks ini lantaran tafsiran demokrasi yang berbeza antara konteks budaya kita dengan falsafah liberal Barat. Biarlah kematangan politik dan demokrasi kita dalam acuan yang tidak bercanggah dari ajaran Islam dan nilai-nilai budaya ketimuran.

PENULIS ialah Calon Doktor Falsafah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).