Seperti pandangan-pandangan lain sebelumnya daripada pelbagai pihak, kami di DBP memberikan pertimbangan yang serius terhadap apa-apa juga persoalan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak. Saya selalu mengingatkan warga DBP supaya berlapang dada apabila menerima apa-apa juga pandangan dan kritikan kerana mereka semua pemegang taruh DBP dan kewujudan DBP selama ini didukung oleh rakyat jelata. Bagi kami di DBP, setiap pandangan dan kritikan walau bagaimana pedas sekalipun, pada hakikatnya, mencerminkan kecintaan dan keprihatinan pihak berkenaan, termasuk Profesor Tajuddin terhadap DBP.

Sebagai individu yang diamanahkan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin terdahulu bagi mengemudi organisasi besar dan cukup bersejarah ini, saya sentiasa berusaha untuk memperkukuh kecemerlangan sedia ada. Saya bersama-sama setiap warga DBP beriltizam untuk melakar wawasan baharu yang lebih segar dan dinamik. Dengan harapan, DBP sentiasa berada di mercu kegemilangannya, meskipun selama 63 tahun kewujudannya, institusi yang lahir daripada perjuangan rakyat tatkala negara di ambang kemerdekaan kini terpaksa mengharungi persekitaran luaran yang sentiasa berubah.

PEMBINAAN BANGSA, NEGARA

Sesetengah cadangan yang dikemukakan oleh Profesor Tajuddin dan rakan-rakan yang lain telah pun kami laksanakan. Pada setiap tahun, kami melaksanakan pelbagai program bahasa dan sastera dan menerbitkan pelbagai jenis penerbitan, seperti buku, majalah, kamus dan ensiklopedia di pelbagai peringkat, baik bercetak mahupun elektronik. Kami sentiasa membina dan memupuk kepengarangan tempatan, supaya bakat kepengarangan ini akan berkembang maju dan mapan dan akhirnya mampu melahirkan karya dalam pelbagai bidang ilmu, fiksyen dan bukan fiksyen.

Sebenarnya, banyak idea baharu yang telah kami terjemahkan dalam pelaksanaan program. Sebagai institusi kerajaan, DBP terus memainkan peranannya dalam pembinaan bangsa dan pembinaan negara. Sejak dahulu hingga kini, DBP sentiasa melaksanakan pelbagai dasar nasional, terutamanya dalam bidang pendidikan dan bersama-sama mendukung serta memacu industri penerbitan di negara ini.

Selaras dengan matlamat penubuhan DBP untuk memartabatkan bahasa dan memperkaya persuratan Melayu, di samping menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sebagai bahasa perpaduan, DBP sentiasa berusaha memikul tanggungjawab yang diamanahkan. DBP tidak akan mempersia-siakan, dan jauh sekali untuk mengkhianati hasil usaha tokoh silam dan segala harapan bangsa.

Dalam keadaan nasionalisme yang sedang luntur dan keyakinan terhadap bahasa Melayu kian terhakis, tugas kami di DBP semakin mencabar. Keadaan persekitaran luaran sudah berubah, tidak lagi seperti pada 1960-an hingga 1980-an, yang segalanya memihak kepada kami.

Dalam kegelisahan memanjang inilah kami berasa sangat bersyukur dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang sangat memahami dan menghayati perjuangan DBP. Bagi kami di DBP, Dr. Maszlee merupakan lambang tokoh politik muda yang mempunyai idealisme kukuh dan jelas dalam perjuangan bahasa dan pengayaan persuratan. Beliau membawa angin segar dalam perjuangan bangsa. Beliau sentiasa mengingatkan DBP supaya terus melakukan transformasi dan muhasabah. Pandangan, idea dan buah fikiran beliau sangat ke hadapan.

Impian beliau untuk menjadikan DBP setaraf dengan British Council dan Goethe Institute adalah impian sekian lama warga DBP yang samar-samar. Gagasan beliau memberi nafas baharu dalam perjuangan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, dan untuk mencapai wawasan itu, akta DBP sedang dipinda.

Dalam setiap ucapan, baik di hadapan khalayak ramai mahupun di Parlimen, DBP sentiasa di bibir beliau. Sesungguhnya, kami di DBP, amat menghargai usaha Dr. Maszlee. Bagi kami di DBP, beliau ialah pemacu impian, penyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan dengan segala kepayahan dan pelbagai halangan. Bersama-sama beliau, ‘api dari suatu zaman’ akan terus menyala dalam mengharungi liku-liku perjuangan.

PINTU PELBAGAI KAUM

Kami sedar akan kegelisahan dan kehampaan masyarakat berhubung dengan kegagalan DBP mengambil tindakan terhadap pihak yang memperlekeh bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara merdeka. Kami akan menangani masalah ini. Setelah sekian lama DBP berusaha untuk menjadi pendakwah bahasa, kini tiba masanya untuk diberi kuasa memelihara kedaulatan bangsa secara berkesan. Kerjasama dengan pelbagai pihak, terutama pihak berkuasa tempatan akan dipererat lagi bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam terpelihara.

Pandangan bahawa DBP harus membuka seluas-luas pintu kepada pelbagai kaum, juga telah dan sedang diperhebatkan. Selama ini pun kami sentiasa mengalu-alukan setiap rakyat Malaysia yang ingin berkhidmat dengan kami. Di DBP Cawangan Sabah dan Cawangan Sarawak, warganya pelbagai kaum, bukan Melayu semata-mata. Dalam setiap iklan kekosongan jawatan, kami tidak pernah menyatakan ‘jawatan ini hanya untuk Melayu’. Sebagai sebuah negara demokrasi, setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan memilih: berkhidmat di DBP atau di tempat lain.

Meskipun DBP dianggap ‘institusi Melayu’, pada hakikatnya, kami ‘buta warna’. Kami menyediakan padang yang sama rata dan laluan kerjaya untuk orang bukan Melayu menjadi warga DBP. Meskipun DBP dianggap ‘institusi Melayu’, hakikatnya kami menjalin hubungan baik dengan orang bukan Melayu yang terdiri daripada penulis, pendukung bahasa, penggiat seni dan sastera. Kami dapati mereka selesa berurusan dengan DBP. Justeru, tidak perlu ada kekhuatiran dan resah gelisah kononnya DBP ‘institusi Melayu’ yang tertutup.

Kami akan bekerjasama dan berganding bahu dengan mana-mana pihak yang ingin melahirkan ‘nasionalisme Malaysia’.

DBP tidak pernah dan tidak berhasrat meminggirkan kaum lain dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Sejak dahulu, DBP mendambakan sokongan semua pihak tanpa mengira kaum, agama bahkan kepercayaan politik.

Di DBP diwujudkan bahagian khas untuk kami menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk sama-sama menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu, iaitu Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum. Hal tersebut tidak terhad kepada program kemasyarakatan yang kami sering lakukan bersama-sama, malah mencakupi aspek kebudayaan dan kesusasteraan. DBP ada hubungan yang sangat erat dengan Dong Zong. Program Dong Zong bersama-sama Persatuan Han dan DBP diadakan setiap tahun untuk 61 buah sekolah menengah persendirian Cina (SMPC). DBP bekerjasama dengan Dong Zong dalam memberi latihan kepada guru-guru bahasa Melayu yang mengajar bahasa Melayu di SMPC. DBP telah menerbitkan pelbagai penerbitan berkaitan masyarakat Cina dan Tamil. DBP ada hubungan yang sangat intim dengan Kavyan, persatuan penulis Tamil. Untuk persatuan di Sabah dan Sarawak, kerjasama sentiasa dipertingkatkan. Ada kerjasama, tetapi banyak lagi yang perlu diusahakan.

PENGIKTIRAFAN

Dalam setiap penerbitan juga, DBP tidak meminggirkan sumbangan, idea, mahupun penulisan daripada kaum lain. Dalam penerbitan buku dan majalah DBP, tulisan daripada penulis pelbagai kaum tetap diberikan perhatian yang sama rata, dan dasar ini akan diteruskan. Kami tidak melaksanakan dasar kaum untuk mempertimbangkan sesebuah penerbitan, baik buku mahupun makalah. Sehubungan dengan itu, banyak juga kaum bukan Melayu yang menyumbang karya mereka melalui pelbagai penerbitan kami.

Saya ingin tegaskan bahawa DBP tidak bersikap rasis dengan mengutamakan kepentingan karyawan berbangsa Melayu semata-mata. Dalam isu pengurniaan Anugerah Sastera Negara, penilaian panel sangat objektif. Pengiktirafan diberikan berasaskan meritokrasi tanpa mengira kaum atau gender. Pengurniaan itu langsung tidak mengira pertimbangan kaum calonnya: Melayu, Cina, India, Kadazan,Iban. Memang setakat ini, tidak ada sasterawan bukan Melayu menerima anugerah ini; demikian juga, setakat ini, tidak ada sasterawan dari Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis yang bergelar Sasterawan Negara.

Dari segi pengiktirafan terhadap tokoh persuratan, kerajaan melalui Kementerian Kewangan baru-baru ini juga telah meluluskan peruntukan untuk pemberian elaun seumur hidup kepada Sasterawan Negara. Atas cadangan dan inisiatif Dr. Maszlee, kerajaan sedang berusaha untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada tokoh persuratan dalam bidang tertentu. Jika tiada aral, Dr. Maszlee akan mengumumkannya dalam waktu terdekat.

Kami sentiasa berusaha untuk menarik minat daripada kalangan bukan Melayu, terutama rakan kita yang berketurunan Cina dan Tamil untuk berkhidmat di DBP. Untuk itu, DBP akan bekerjasama dengan Jabatan Pengajian Cina dan Tamil dari universiti awam dan swasta serta badan lain untuk mengenal pasti calon yang sesuai.

Dari segi penerbitan, antara keutamaan kami sekarang adalah penerbitan digital. Usaha ini dilaksanakan dengan kepercayaan bahawa penerbitan DBP akan lebih tersebar melalui kaedah ini. Sebelas majalah keluaran DBP sudah boleh diakses melalui talian maya. Usaha sedang dibuat agar majalah DBP disiarkan secara masa sebenar, maksudnya kandungan tertentu akan sentiasa dikemaskinikan. Kami mempunyai impian untuk menjadikan beberapa majalah kami, antaranya seperti The Atlantic. Keunggulan beberapa majalah terbitan kami terbukti apabila pengarang atau penulisnya memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional.

MASIH RELEVAN

Menyedari keperluan untuk memperbanyak khazanah ilmu dalam bahasa Melayu, terutama dalam bidang sains dan teknologi, DBP menumpukan perhatian dalam penerbitan buku dalam bidang berkenaan, termasuklah buku seni bina dengan kerjasama universiti awam. Atas inisiatif Dr. Maszlee juga, kerjasama antara DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia ( ITBM) dengan universiti awam berada pada tahap terbaik.

Dalam usaha memperkenalkan hasil karya penulis secara lebih meluas, DBP sedang berusaha untuk mempelawa penerbit filem mengadaptasi novel atau cerpen secara lebih agresif. Perbincangan antara DBP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah diadakan dan mudah-mudahan usaha ini akan membuahkan hasil dengan sokongan stesen-stesen televisyen tempatan juga. DBP juga telah menyediakan tabung skrip drama bagi pihak yang berminat menggunakannya untuk penerbitan filem.

DBP akan terus bergerak seiring dengan zaman dan inilah realiti yang diakui oleh kebanyakan pihak yang berurusan dengan DBP. Cabaran Revolusi Industri Keempat bahkan kelima tidak akan melalaikan kita.

Keberadaan DBP sejak 1956 hingga kini telah mencapai matlamatnya biarpun ada waktu-waktu tertentu DBP juga tidak dapat lari daripada melalui fasa gerhana. DBP sentiasa memainkan peranan aktif, selain sentiasa bermuhasabah, membaiki diri, berubah, demi menyahut cabaran yang diamanahkan kepadanya.

Dalam mengharungi zaman surut perjuangan bahasa yang berpanjangan ini, DBP masih takat dan hingga kini, penakatannya masih dapat dipertahankan. Sebagai salah sebuah institusi, DBP belum terjebak dalam apa yang diistilahkan sebagai ‘kemerosotan orde politik’, dalam erti kata, institusi ini masih relevan, masih mampu menabur bakti dan menunaikan kewajipannya.

DATUK ABANG SALEHUDDIN ABANG SHOKERAN ialah Ketua Pengarah DBP.