Kepayahan sebegini lebih me­nyerlah apabila berhadapan dengan negara seperti Korea Utara yang mana dasar luar negara tersebut sukar untuk diramal hala tujunya.

Ketika memuncaknya kete­gangan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang pada April 2017 sehingga sembilan rakyat Malaysia ditegah meninggalkan Korea Utara, episod itu menyerlahkan keupayaan kepimpinan tertinggi negara mengurus diplomasi antarabangsa kerana lazimnya Pyongyang tidak akan bertolak ansur sekali pun berhadapan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) apatah lagi apabila berhadapan dengan negara kecil seperti Malaysia.

Tekanan yang diterima Kuala Lumpur bukan sahaja berpunca dari Pyongyang tetapi lebih hebat datangnya dari Washington, Seoul dan Tokyo kerana tiga negara sekutu ini cuba menggunakan isu pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebagai modal geopolitik untuk memberi tekanan terhadap Korea Utara. Tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap berpegang teguh dengan prinsip meletakkan kepentingan negara me­lampaui segala perkara lain.

Ketegasan Kuala Lumpur da­lam menghadapi tekanan Pyo­ng­yang, Washington, Seoul dan Tokyo akhirnya melihat pembebasan sembilan rakyat Malaysia dengan kejayaan seperti ini tidak pernah dikecapi oleh AS apabila rakyat mereka ditahan di Korea Utara. Tidak keterlaluan jika diandaikan diplomasi antarabangsa yang diamalkan oleh Najib dianggap menongkah kelaziman ke­rana pendekatan Kuala Lumpur menghadapi Pyongyang dianggap begitu unik sekali.

Lebih unik lagi strategi yang diamalkan oleh Najib ketika berdepan kemelut pesawat Sistem Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014. Isu ini dari awal lagi telah digunakan sebagai senjata percaturan geopolitik global oleh Presiden AS ketika itu Barack Obama dan sekutu beliau seperti Perdana Menteri Britain, David Cameron dan juga Tony Abott dari Australia begitu lantang menuduh pemberontak pro-Rusia yang menggelar diri mereka sebagai Angkatan Pertahanan Republik Rakyat Donesk sebagai dalang yang bertanggungjawab. Percaturan sedemikian tidak lebih dari usaha untuk memulas tangan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Seperti mana dalam kes pembunuhan Jong-nam, Najib menepis percubaan tiga negara sekutu untuk menekan Korea Utara. Dalam isu MH17 juga beliau menghadapi cabaran yang lebih berat. Dalam situasi lazim diplomasi antarabangsa, negara kecil seperti Malaysia yang dianggap mangsa dalam kemelut ini sudah pasti akan menyebelahi Washington, London dan juga Canberra kerana bagi Kuala Lumpur menghadapi Kremlin berseorangan adalah percaturan yang tidak strategik.

Selepas tiga hari berlalu, strategi diplomasi agresif terutama sekali yang dipamerkan oleh AS langsung tidak mendatangkan hasil malah memburukkan lagi keadaan. Kawasan terhempas masih menjadi kawasan larangan dan tidak selamat bagi pasukan pemerhati antarabangsa Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE). Begitu juga de­ngan status mengenai kotak hitam MH17 masih tidak diketahui de­ngan jelas siapa yang memiliki dan bertanggungjawab terhadap keselamatan peralatan tersebut.

Tetapi perkara yang paling mengaibkan adalah mayat penumpang MH17 tidak diurus de­ngan sempurna kerana kawasan terhempas masih dianggap kawasan yang berisiko tinggi akibat berada dalam kawasan perang. Walaupun ada mayat yang telah disimpan dalam gerabak kereta api berhawa dingin, tidak begitu jelas pada ketika itu apakah langkah seterusnya yang perlu dilakukan.

Sebab itu, Najib terpaksa mengambil pendekatan diplomasi antarabangsa yang agak luar biasa dan berani dengan menghubungi secara terus kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Alexander Borodei yang juga menggelar diri beliau sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat Donesk.

Strategi Najib memerlukan ke­kuatan politik yang kuat kerana langkah tersebut sebenarnya menongkah arus kehendak kuasa besar seperti Washington dan London. Begitu juga Najib yang terpaksa berhadapan dengan risiko tindak balas dari Kiev.

Ini adalah kerana persepsinya apabila Najib berhubung dengan Borodei, apakah ini membawa maksud Kuala Lumpur mengiktiraf kewujudan Republik Rakyat Donesk yang merdeka sedangkan ia masih sebahagian wilayah Ukraine.

Tetapi demi mencapai penyelesaian awal MH17 iaitu memastikan kawasan terhempas selamat, pemilikan kotak hitam dan pe­ngurusan jenazah yang lebih tertib, Najib dengan cekal ­menongkah arus kehendak kuasa besar lain dan seperti yang diketahui langkah tersebut berjaya membuahkan hasil yang positif.

Bukan sahaja kemelut MH17 dibayangi oleh percaturan geopolitik global, Kuala lumpur telah diuji lebih awal lagi dengan misteri kehilangan pesawat MH370. Tetapi perkara yang menariknya dalam hal ini ialah negara yang bersengketa melupakan buat seketika masalah mereka demi kepentingan keluarga mangsa MH17.

Ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Laut China Selatan yang begitu sensitif kerana tuntutan bertindih beberapa negara, pesawat pengintip tercanggih seperti P3 Orion milik Australia, P-8A Poseidon kepunyaan AS dan Ilyushin dari China telah digunakan yang mempamerkan senario geopolitik terbaik yang mana perasaan syak wasangka dihindarkan buat seketika.

Kesemuanya ini tercetus ke­rana dasar luar Malaysia yang tidak berat sebelah. Dalam hal ini rakyat Malaysia perlu menghargai pendekatan Najib yang sanggup mengharungi risiko demi kepen­tingan maruah dan kedaulatan negara.