Mungkin ramai di antara kita ambil mudah pasal keharmonian kaum dan percaya tidak banyak perlu dilakukan untuk mempertahankannya kerana ia sesuatu yang dianggap sudah sebati di sanubari kita.

Namun sejak kebelakangan ini timbul isu-isu panas yang boleh menggugat hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama. Seolah-olah keharmonian yang kita banggakan selama ini amat rapuh.

Setelah 62 tahun merdeka, kita masih berbalah mengenai isu perkauman dan agama sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja perlu sentiasa mengingatkan kita mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Perpaduan sebenarnya hadiah yang tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai oleh semua rakyat di dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Adakah kita sanggup melihat perpaduan yang dibina selama ini dimusnahkan oleh sikap perkauman dan tidak menghormati agama orang lain.

Saya amat teringin untuk melihat keharmonian kaum dan semangat muhibah yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum di tahun-tahun 70-an, 80-an dan 90-an.

Semangat muhibah terhasil apabila rakyat yang berasal dari etnik dan agama yang berbeza saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati dan menyedari sensitiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.

Di Malaysia, perpaduan dalam komuniti pelbagai kaum adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan kita. Ia menjadi sumber penting integrasi kaum selama bertahun-tahun dan pastinya memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia tempat yang harmoni untuk hidup, belajar, bekerja dan bermain.

Pemimpin politik dan semua rakyat Malaysia mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang menjadi kunci kepada pembangunan negara.

Para pembuat, perancang dan pelaksana dasar pula perlu berpegang kepada prinsip kesederhanaan supaya pemikiran dan tindakan mereka selari dengan matlamat dan objektif Rukun Negara serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Tugas yang paling mendesak untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan gabungan politik pada masa ini adalah memastikan keharmonian kaum dan agama serta menolak semua bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Adalah penting bagi semua rakyat Malaysia yang sederhana dan patriotik untuk terus memperjuangkan usaha membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Saya amat berharap kita dapat mempunyai lebih banyak detik-detik perpaduan seperti ini dan dapat mengekalkan semangat patriotisme dan perpaduan yang sama dalam apa jua jenis sukan dan aktiviti riadah yang lain.

Kita perlu mengekalkan semangat perpaduan dan muhibah dan patriotisme bukan sahaja ketika merayakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia  pada 16 September. 

Secara ideal, ia mesti bertahan setiap hari sehingga ke generasi-generasi yang akan datang.

Perpaduan pelbagai kaum, agama dan budaya adalah cabaran terbesar negara pada tahun-tahun yang akan datang.

Amat dikesalkan jika ada sesiapa yang membuat kenyataan panas dan provokatif yang boleh membawa kepada konflik dan ketegangan serius yang boleh menjejaskan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian dengan menahan diri daripada melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

Apa yang Malaysia perlukan hari ini bukan wira etnik tetapi pembina jambatan etnik dan duta kedamaian yang dapat membantu memupuk semangat muhibah, saling menghormati, kedamaian dan keharmonian.

Setiap orang mempunyai peranan masing-masing  untuk menyatukan Malaysia berdasarkan nilai-nilai murni yang diajar oleh semua agama dan kaum.

Dan bukannya mengamalkan dan mengeksploitasi sentimen etnik.



TAN SRI LEE LAM THYE ialah pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.