Begitu jua dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah pun memberi nasihat supaya Zakir tidak lagi memberi ceramah kepada umum demi meredakan keadaan.

Malah beberapa ahli politik seperti Syed Saddiq Abdul Rahman dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mempunyai pandangan kritikal terhadap pendakwah dari India itu sependapat dengan pendirian Dr. Mahathir. Begitu jua dengan Zakir sendiri yang telah memohon maaf jika ucapannya menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Tetapi mengapakah masih terdapat suara-suara lantang yang bagaikan tidak mahu isu ini dilupakan begitu sahaja. Malah ada yang begitu nekad dengan menegaskan bahawa Zakir akan dihantar pulang ke India untuk menghadapi beberapa tuduhan di sana.

Timbul kemusykilan apakah pendirian Kuala Lumpur untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi New Delhi ini bersandarkan alasan yang kukuh sedangkan kedua-dua negara ini mempunyai perjanjian ekstradisi yang dimeterai pada 2010. India telah membuat pertuduhan secara rasmi terhadap Zakir yang dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram kerana memperoleh aset jenayah yang dianggarkan bernilai lebih dari RM114 juta.

Tetapi jika ditinjau secara rambang senario perjanjian ekstradisi antarabangsa, keengganan Kuala Lumpur memenuhi permintaan New Delhi bukanlah satu perkara yang pelik atau pun janggal. Ini kerana pelbagai dalil kadangkala remeh dan pelik yang digunakan oleh negara lain untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi.

Pada 2018 London menafikan permintaan ekstradisi Ankara terhadap seorang rakyat Turki, Hamdi Akin İpek iaitu pemilik media yang begitu kritikal terhadap kerajaan Recep Tayyip Erdogan. Alasan yang digunakan London adalah Hamdi besar kemungkinan tidak akan mendapat layanan yang seadilnya oleh kerajaan Turki.

London juga tidak memenuhi permintaan ekstradisi Washington terhadap aktivis British Lauri Love yang dituduh oleh Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab menggodam data dari Agensi Pertahanan Peluru Berpandu dan juga NASA. Alasan yang digunakan London adalah khuatir dengan sistem penjara AS tidak mampu memenuhi kehendak perubatan Lauri yang menghadapi beberapa masalah kesihatan.

Hong Kong pula buat pertama kali selepas diserahkan kepada China telah ingkar dengan permintaan ekstradisi AS terhadap seorang penggodam dari Macau dengan menggunakan alasan Beijing sedang menjalankan siasatan jenayah terhadap penggodam tersebut.

Lebih menakjubkan lagi mahkamah di Amsterdam telah menolak permintaan ekstradisi London terhadap individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa United Kingdom (UK) kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah dengan menggunakan alasan keadaan sistem penjara di UK tidak mampu memenuhi kehendak asas hak asasi seseorang.

Sememangnya alasan yang digunakan kadang kala tidak masuk akal tetapi itulah hakikatnya yang berlaku dalam dunia diplomasi mengenai situasi ekstradisi di antara dua negara. Alasan Kuala Lumpur pula adalah Zakir besar kemungkinan tidak akan mendapat keadilan yang sempurna jika diadili di India.

Andaian ini dibuat berasaskan kepada kepercayaan bahawa apa jua isu yang membabitkan faktor agama, bangsa dan juga kedudukan sosial iaitu kasta seseorang, campur tangan pihak ketiga akan menyebabkan perjalanan sistem keadilan India menjadi terencat.

Contoh paling nyata ialah peristiwa kanak-kanak berumur lapan tahun yang dirogol dan dibunuh di Kethua, wilayah Jammu, Kashmir pada tahun lepas. Kes ini dari awal telah diselubungi oleh faktor agama kerana mangsa beragama Islam sementara dalangnya adalah lelaki nasionalis Hindu.

Begitu jua dengan kedudukan sosial yang rendah. mangsa yang berasal dari masyarakat nomadik Bakarwals membuatkan keadilan sukar sekali dicapai. Perbicaraan tidak dapat dibuat di Jammu kerana tekanan untuk menggagalkannya adalah begitu kuat sehingga memaksa perbicaraan berpindah ke Punjab.

Sebab itu dihujahkan isu Zakir ini sebenarnya tidak perlu dinilai dari sudut agama kerana seperti di India, apa jua bersabit dengan agama adalah perkara yang begitu sensitif.

Mereka yang masih berkeras mahukan Zakir dihantar pulang ke negara asalnya hanya perlu menilai dari sudut asas hak asasi seseorang dalam hal keadilan sejagat. Jika itu mampu dilakukan, maka kehadiran Zakir di Malaysia sepatutnya bukan isu yang besar.