Ratusan tentera Aceh ikut terkorban. “Ayahmu syahid. Nak Cut Gambang usah kau bersedih,” sapa ibunya. “Aku pantang kalau yang syahid diratapi. Kalau kau menangis juga ku tampar kau nanti!” tegas suara Cut Nyak Dhien. Buah sedu Cut Gambang, puterinya kian mengecil. Cut Gambang bukti kasih sayangnya bernikah dengan Teuku Umar. Bukan mudah, lamaran pertama ditolak Cut Nyak Dhien. Cuma selepas Teuku Umar bersetuju berjuang menentang Si Kaphe laknat, baru lamaran keduanya diterima.

CUT NYAK DHIEN
CUT NYAK DHIEN 

Cut Gambang puteri remaja itu lambang percintaan Cut Nyak Dhien dan Tueku Umar. Itulah kalbu dan roh mereka. Kini puterinya ikut bersama berjuang bersama anak-anak remaja lain. Semangat mereka kukuh demi Allah dan Rasul, demi Aceh yang tercinta, nyawa dipertaruhkan. Mati syahid idaman mereka. Teuku Umar yang kacak dan perwira itu mencari langkah dan helah. Dan dikhabarkan taktiknya itu. “Aduh Cutbang, berperang terus aja Cutbang!” Dia terkenang kampung kelahirannya Lampadang dibakar Belanda.

Kini Lampisang pula ikut menggelegak. Bukankah pada 1873 mereka membakar Masjid Baitul Rahman? Kaphe laknatullah. “Kita akan rebut kembali Kutaraja! Ribuan tentera kaphe ada di sana. Tunggu apa lagi?” “Aku akan menyamar, masuk ke tengah si kaphe itu,” bisik Teuku Umar. “Aku pura-pura bersatu dengan mereka, untuk merebut senjata berat, wang dan makanan!” “Ini bahaya. Ini bahaya Cutbang.

``Kau masuk perangkap Si Kaphe! Izinkan Cutbang pergi, ” bisiknya lagi. Malam itu cumbuan terakhir. Pada 30 September 1893, Teuku Umar dengan 250 tentera Aceh menyerah diri, bersatu dengan tentera Belanda di Kutaraja. Pucuk dicita ulam mendatang. Kehadiran Teuku Umar dialu-alukan. Belanda malah memberikan gelaran Teuku Umar Johan Pahlawan kepadanya. Teuku Umar menerimanya. Yang penting helah dan strategi. Apabila pimpinan perang Belanda sudah yakin kepadanya, Teuku Umar meletakkan orangnya pada posisi yang penting. Dia terima arahan untuk menyerang kubu kebal Aceh. “Hapuskan mereka semua!” tegang suara Jenderal Belanda.

Teuku Umar membawa alat senjata berat dan ringan seolah-olah akan hancurkan ketumbukan Aceh. Perginya sekali ini, tak kembali lagi. Dia menyatu lagi dengan ketumbukan Cut Nyak Dhien. “Setan Teuku Umar!” bentak Jenderal Belanda. “Pengkhianat!” Gelarannya dilucutkan.

Pimpinan Belanda di Kutaraja dan Meulaboh turut diturunkan pangkat. Mereka ditertawakan dengan helah strategi Teuku Umar. Ketibaan suaminya itu membuatkan Cut Nyak Dhien siap sedia. Dia tahu Si Kaphe Belanda akan serang balas dengan lebih dahsyat lagi. Tentera de marsose dari Ambon didatangkan. Ini gabungan orang Tionghoa dengan peribumi Ambon, mereka memerangi apa saja di jalan. Kini Jenderal Joannes Benidictus ikut mendekati keluarga Istana, siapa yang boleh disewa dan dijadikan mata-mata. Salah seorang bernama Teuku Lebueh.

Informannya memburaikan masa dan hari ketumbukan Teuku Umar yang akan menyerang Kutaraja . Pasukan itu disergap dan diserang balas dengan kekuatan senjata, tembakan peluru meriam. Teuku Umar gugur. Ratusan pejuang Aceh terkorban. “Kita berjuang terus!”

Cut Nyak Dhien tak dapat menerima kekalahan ketumbukan Teuku Umar pada tahun 1901. Cut sendiri sudah mulai hempang-hempoh jalannya, matanya mulai rabun. Belanda menyekat makanan ke laluan tentera Aceh. Mereka mulai merasa tekanan. Moyok, lapar. Ramai yang ikut menyokong mendermakan wang dan barang kemasnya. Cut Nyak Dhien bergantung untuk membeli makanan, menggadaikannya kepada pedagang Belanda yang bersikap berkecuali. Serangan dahsyat Belanda di Bentong Le Sagers, pihak Aceh melawan dengan rencong. Cut Nyak Dhien tertangkap. Cut Gambang dapat melarikan diri ke hutan.

Belanda membuang panglima perang luar biasa Aceh ini ke Sumedang. Cut Nyak Dhien tak faham bahasa tempatan. Dan begitu juga orang Sumedang tak faham bahasa Cut Nyak Dhien. Mereka disatukan dengan ajaran mengaji al-Quran oleh Cut Nyak Dhien. Kiyai Ilyas menggelarkannya `Dhein Ibu Perbu’ (Dhien Ibu Permaisuri).

Cut Nyak Dhien lahir pada 1848 di Lampadang, kampung ini bebas daripada penjajahan Belanda. Sejak remaja lagi dia dididik dengan agama Islam. Ayahnya Teuku Nanti Setia, pegawai tinggi tentera, pewaris duta wanita Pagarruyung. Ibunya juga berdarah tentera. Suaminya yang pertama Teuku Ibrahim Lamnga juga daripada keluarga tentera. Waktu itu Cut Nyak Dhien berumur 12 tahun. Benny Ohartella dan Zainab el-Fatah mencatatkan: ``Cut Nyak Dhien sedar dia daripada keluarga tentera, apabila Belanda isytihar perang ke atas Aceh, dia sudah siap sedia untuk berperang.’’

Ayah dan suaminya gugur dalam perang 1878, dan Cut Nyak Dhien menjadi Panglima Perang. Di Sumedang Bupati Suriatmaja tidak tahu identiti sebenar Cut Nyak Dhien sampailah pada 1959 Presiden Soekarno mengangkatnya sebagai Pahlawan Nasional. Cut Nyak Dhien meninggal dunia pada 6 November 1908 dikebumikan di makam Gunung Puyuh, Sumedang. Makamnya berpagar besi, ada musala di belakang makam. Batu nisannya diukir dengan surah al-Taubah dan al-Fajr dan Hikayat Aceh.

Perjuangan Cut Nyak Dhien dan Teuku Umar pernah difilemkan dan dibintangi oleh Christine Hakim (Cut Nyak Dhien), Slamet Rahardjo (Teuku Umar). Filem ini disutradarai oleh Eros Djarot. Christine Hakim membisikkan kata-kata Cut Nyak Dhien dengan efektif “Setelah mereka membakar Lampadang kampung kelahiranku, kini Lampisang pun ikut mereka bakar juga. Kejadian ini mengingatkan aku ketika pasukan kaphe-kaphe itu membakar Masjid Raya Baitul Rahman tercinta pada 1873. Tunggu apa lagi Cutbang ke Kutaraja kita harus kembali, aku dengan Jenderal Van Sweeten akan segera tiba dengan membawa ribuan pasukan kaphe ke negeri Aceh.”

Dan suara Slamet Rahardjo pula meningkah: “Alahai Pocut semua kebohongan ini hanyalah strategi perang. Kalau Pocut tidak percaya biar sejarah yang membuktikan semuanya.’’ Percintaan suci dan kewiraan Cut Nyak Dhien dan Teuku Umar abadi dalam lipatan sejarah. Citra Cut Nyak Dhien ikut diabadikan dalam setem dan wang 10,000 rupiah Indonesia termasuk Bandara Cut Nyak Dhien Nagan Raya Meulaboh. Cut Nyak Dhien Panglima Perang Aceh yang berjihad ini meninggal dalam usia 60 tahun. Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.