Salleh Nawi, 84, yang merupakan antara waris yang pernah membesar di bawah peliharaan Pawang Nong setelah kematian ibu bapanya ketika kecil tidak terkecuali mewarisi pelbagai ilmu daripada datuknya itu.

Katanya, selepas berhenti berkhidmat dalam Askar Melayu, beliau memohon kepada Pawang Nong untuk mendapatkan ilmu menjadi tok mudim di kampung itu.

Setelah diperturunkan ilmu tersebut, Salleh dilantik menjadi tok mudim di kampung itu bagi menggantikan Pawang Nong.

Salleh berkata, bagaimanapun, beliau sedikit ralat apabila tidak sempat mewarisi beberapa lagi ilmu kebatinan daripada datuknya itu.

Namun, katanya, ilmu kebatinan seperti kebolehan mengesan orang yang hilang di dalam hutan, ilmu ketika berada di dalam hutan, air dan berhadapan dengan binatang buas diamalkan beliau untuk tujuan membantu masyarakat.

Tambahnya, hasil ilmu yang diperturunkan Pawang Nong kepadanya, beliau dapat membantu masyarakat antaranya ketika peristiwa tiga beradik hilang di dalam hutan di Paloh Hinai pada 2005.

“Ketika itu saya kasihan dengan ibu bapa kanak-kanak itu lalu mengajak tiga lagi rakan saya pergi ke sana untuk membantu mencari mereka. Selepas beberapa hari, akhirnya saya dan rakan-rakan berjaya mengesan kanak-kanak itu dengan menggunakan ilmu yang diwarisi Pawang Nong,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi cucu Pawang Nong, Abdul Razak Arif, 52, pula mewarisi ilmu pawang khusus untuk mengubati pelbagai sakit termasuk penyakit mistik seperti orang yang dirasuk.

Ilmu yang diwarisi Abdul Razak diperturunkan melalui bapanya, Arif yang merupakan anak lelaki kepada Pawang Nong.

Katanya, beliau sememangnya berminat dengan ilmu-ilmu yang diperturunkan kepadanya dan apa yang diwarisi itu digunakan untuk membantu penduduk kampung di situ.