Hamzah Fansuri, seorang penyair tasawuf pernah berperi, hidup dalam dunia umpama dagang, datang musim kita kan pulang, La tasta’khiruna sa’atan lagikan datang, mencari makrifat Allah jangan alang-alang.

Jelas maksudnya, tidak dapat ditunda waktu saatnya kematian itu akan tiba.

Di dalam Islam, hidup sesudah mati adalah suatu perjalanan yang paling panjang. Bersedia dengan segala bekalan sewaktu hidup iaitu berbakti dan beramal. Alam dunia merupakan masa yang baik untuk memulai dan melakukan segala kebaikan. Ibarat di dunia kita menanam, di akhirat kita menuai. Jangan tunggu hari esok. Walaupun esok tetap ada, tetapi belum tentu esok milik kita.

Merujuk sirah nabi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Memelihara kesihatan dengan mengamalkan cara hidup seperti anjuran Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik panduan bagi kehidupan kita. Antaranya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Begitulah keadaannya ketika kita sihat, segala perkara dapat dibuat. Buatlah sesuatu yang bermanfaat. ”Manusia baik itu adalah yang memberi manfaat bagi manusia lainnya.” (Hadis riwayat Ahmad Athabrani)

Kekayaan berupa iman, ilmu, harta, kuasa, pangkat dan sebagainya merupakan amanah dan titipan untuk menebar benih kemaslahatan. Kekayaan yang ada bukan hanya untuk bekalan dunia, sebaliknya gunakanlah sebagai bekalan untuk sebuah perjalanan yang jauh. Antaranya bersedekah, berzakat dan berwakaf. Walaupun sedikit, Rasulullah tetap menyukainya jika dilakukan dengan istiqamah.

Menggunakan masa lapang dengan kunjung mengunjungi kaum keluarga, ibu bapa dan rakan taulan. Lebih daripada itu jangan sekali meninggalkan solat lima waktu dan segala suruhan Tuhan. Jangan sesekali disia-siakan masa lapang yang ada. Fikir dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Dalam lingkaran waktu, usia tua tentunya dapat merasai nikmatnya usia muda. Tetapi usia muda belum tentu melalui indahnya ketika dewasa dan seterusnya menjadi tua. Kerana mati itu akan menjengah tanpa mengira waktu.

Dalam syair Perahu, tulisan Hamzah Fansuri, turut berpesan:

Wahai muda kenali dirimu

Ialah perahu tamsil tubuhmu

Tiadalah berapa lama hidupmu

Ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman

Hasilkan kemudi dengan pedoman

Alat perahumu jua kerjakan

Itulah jalan membetuli insan.

Terakhir adalah soal hidup dan mati. Jangan hidup tetapi mati, tapi hiduplah mengingati mati. Cepat benar masa berlalu. Entah apa akan jadi pada janji-janji dahulu sedang di hadapan terbentang hamparan yang baharu, jangan dibawa harapan palsu. Gunakan kesempatan pada usia yang panjang untuk sebuah penyatuan. Menunai janji menuai harapan. Mengingati mati penuh keinsafan.

Di sebalik jendela yang baharu, sebenarnya kami rindu Malaysia yang dahulu. Hidup berbakti, saling menyantuni.

PENULIS ialah bekas guru bimbingan dan kaunseling, moderator dan aktivis rakyat.