Jika ada hasrat demikian dan anda rasa mampu bertahan dengan cuaca sejuk esktrem, mungkin taman tema salji, Snow World di Genting Highlands boleh menjadi pilihan.

Taman tema tersebut bukanlah baharu dibuka sebaliknya wujud sejak 2003.

Setelah sekian lama beroperasi, Snow World ditutup sementara pada 2011 untuk tujuan penambahbaikan dan naik taraf sebelum dibuka semula pada 2013.

Sebelum ini kawasannya agak terhad, namun setelah proses naik taraf dilakukan, seramai 250 pelawat boleh dimuat dalam satu-satu masa.

Ini menjadikan Snow World sebagai pameran salji terbesar di Malaysia.

Baru-baru ini, Genting Highlands membawa sekumpulan pengamal media bagi merasai sendiri pengalaman di taman salji tersebut, namun ia bukanlah sebarang lawatan.

Ini dikongsi sendiri Timbalan Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam resort tersebut, Katherine Chew.

Ujarnya, lawatan media ini merupakan satu pertandingan siapa paling lama dapat bertahan dalam kesejukan (the last man stand) dikenali sebagai Sub-Zero Challenge.

“Resort Genting Highlands sememangnya dikenali sebagai kawasan peranginan tanah tinggi yang memiliki suhu yang dingin.

Manakala Snow World terkenal dalam kalangan peminatnya di negara ini kerana menampilkan aktiviti rekreasi warga Eropah di musim sejuk.

“Kita bawa 31 rakan media untuk merasai sendiri pengalaman berada di Snow World berdepan Sub-Zero Challenge.

“Bagi yang berani mencabar diri dalam aktiviti ini, mereka dikehendaki bertahan berada di Snow World dalam suhu sekitar 16 darjah Celcius dengan hanya selapis pakaian,” katanya.

Daripada 31 anggota media yang menyertai, hanya 18 orang berani menyahut cabaran tersebut.

Memiliki keluasan hampir 22,800 kaki persegi, taman tersebut turut dilengkapi gelongsor menggunakan tiub getah, satu aktiviti yang popular di kawasan bersalji luar negara.

Selain itu, kawasan itu juga turut dipenuhi hiasan tiga dimensi (3D) membolehkan pengunjung bergambar di setiap penjuru.

Melangkah

Pada awalnya ramai dalam kalangan 18 pengamal media yang bertahan, namun seorang demi seorang mulai mengalah dan melangkah meninggalkan kawasan cabaran.

“Saya hampir beku!” kata Siti Ampuan Azizan dari Sarawak Tribune yang hanya mampu bertahan selama 53 minit.

“Kebiasaannya saya mampu bertahan dalam cuaca sejuk dan amat menyukainya, tapi tidak kali ini dengan hanya sehelai jaket, bateri telefon pun cepat habis untuk kekalkan suhunya,” ujarnya lagi.

Sejam kemudian, Athirah dari InTrend Magazine mulai mengalah meninggalkan 12 lagi peserta.

Setelah tiga jam berlalu, kesemua peserta yang masih tinggal diarahkan menanggalkan jaket mereka dan perlu terus bertahan dengan hanya berbekalkan pakaian masing-masing.

Pada ketika itu, hanya yang memiliki ketahanan mental dan fizikal kental mampu bertahan.

Pun begitu, sejam kemudian, tujuh daripada mereka mengalah dan melangkah keluar.

“Saya sangka saya mampu bertahan, namun terpaksa mengalah. Kami sudah melepasi jangkaan masa sebenar.

“Namun tiada siapa yang mengalah sehinggalah mereka menyuruh kami menanggalkan jaket,” kata Lokman Hakiem Abd. Samad.

Kemudian, tinggal lima yang terakhir dan kesemua mereka sepakat untuk meninggalkan kawasan tersebut sebagai pemenang bersama dan berkongsi hadiah.

“Kami sudah tidak tahan sebenarnya, tangan dan kaki kami kejang, muka pun sudah tidak rasa apa-apa.

Jadi kami berpakat untuk berkongsi sahaja hadiah dan keluar menyatakannya kepada penganjur.

“Ada yang ambil trofi dan selebihnya mengambil keputusan untuk menerima baucar penginapan,” kata Iqram Rosli dari Bernama.

Sub-Zero Challenge berakhir dengan pemenang utama Brian Lee menerima Gold Media Trophy.

Manakala Iqram Rosli dan Muzzamil memilih untuk membawa pulang baucar penginapan tiga hari dua malam di resort tersebut bersama tiket The Void dan Skytropolis Fun Day untuk dua orang.