Televisyen, akhbar, radio dan media sosial penuh dengan berita keburukannya. Jika dihalusi, kebanyakan keburukan itu datangnya dari sumber-sumber Amerika Syarikat (AS).

Kenapa begitu? Ia bukan cerita baharu. Saya masih ingat apabila Naib Presiden AS, Richard Nixon berkunjung ke negara itu pada 1959.

Nixon sendiri mengaku dalam bukunya beliau diludah teruk oleh penunjuk perasaan dari bahagian atas Lapangan Terbang Caracas, ibu kotanya.

Tidak ragu lagi, ia satu penentangan dari pihak sosialis negara itu terhadap negara kapitalis ulung, AS.

Adanya golongan sosialis yang meluas di rantau itu dan Caribbean adalah satu hakikat. Brazil, Argentina, Chile dan banyak lagi cenderung sosialisme.

AS secara terbuka bimbang terhadap perkembangan itu kerana sosialisme amat rapat dengan komunisme.

Hampir semua negara-negara di rantau itu lambat laun akan menjadi komunis, fikir AS. Mula-mula Cuba menjadi komunis.

Selepas itu Chile memilih pemimpin ala komunis menjadi Presidennya. AS lalu mengupah jeneral-jeneral tertinggi merampas kuasa. Terbunuhlah Alende yang dipilih rakyat Chile.

Berpuluh tahun kemudian, kini, kebanyakan negara Amerika Selatan sudah pro AS kecuali Venezuela dan Cuba.

Lebih malang lagi nasib Venezuela kerana ia, seperti Iran, mempunyai minyak yang sangat banyak baik di bumi mahupun di dasar laut.

AS yang berupa pegogok minyak yang paling besar di dunia sepanjang masa bimbang ia akan menjadi lemah dalam banyak hal jika keputusan berkait minyak.

Kekuatannya terletak pada senjata nuklear, kapal selam, kapal perang, jet pejuang, kereta kebal dan lain-lain lagi menelan minyak maha banyak.

Ini belum dikira berjuta kilang kecil dan besar, 160 juta buah kereta, berjuta-juta bas dan trak selain dari siratan kereta api merata-rata mengangkut penumpang dan memunggah barangan.

Mempunyai sebuah negara banyak minyak yang bukan dalam poketnya, sesuatu yang amat mengancam.

Kita senang mengagak bahawa AS secara senyap-senyap melakukan segala yang mungkin untuk melemahkan pemimpin-pemimpin Venezuela demi membuka jalan bagi pihak dalaman yang dibeli AS merebut kuasa.

Walaupun AS berbangga dengan anutan kebebasan media, pada hakikatnya media AS cenderung menurut telunjuk kerajaan.

Ertinya, medianya berpura-pura bebas apabila kerajaannya bertindak terhadap negara luar. Ertinya berpura-pura saja.

Kini TV AS bersorak melihat Venezuela terancam. Klip-klip TV yang menunjukkan rakyatnya merintih dan teruk melarikan diri daripada kesempitan hidup itu tidak semestinya gambar baharu atau berlaku di sana. Rupa orang Amerika Selatan sama saja.

Dengan tujuan memalukan Venezuela, AS mengaturkan agar makanan dan perubatan dihantar ke Venezuela. AS tahu kerajaan Venezuela akan menyekatnya daripada masuk.

Ini bermotif untuk menunjukkan pemmpin-pemimpin Venezuela tiada perikemanusiaan. Cetek sekali perlakuannya.

Saya dua kali berkunjung ke sana lebih 10 tahun dulu. Tidak mungkin Venezuela menjadi tenat jika AS tidak mengacaunya.

Negara Venezuela yang paling banyak menghasilkan Miss Universe dan Miss World ini tergugat oleh politik AS yang hendak mencekup minyaknya. 
 


TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara.