Seramai 62 sukarelawan Malaysia kini berada di beberapa kampung berhampiran Ho Chi Minh City bagi menyertai program kesukarelaan Mua He Xanh 2019 yang dilancarkan Ahad lalu, 7 Julai.

Para peserta Malaysia merupakan sukarelawan YSS pelbagai bangsa yang datang dari institusi pengajian tinggi awam, kolej komuniti dan kolej teknik seluruh negara.

Turut serta dalam misi tersebut termasuk Ahli Lembaga Pengarah YSS Wan Ahmad Hazman Wan Daud, Ketua Pegawai Eksekutif YSS  Muhammad Aiman Mohd. Zain dan Konsul Pendidikan Malaysia ke Vietnam Chong Wai Kit.

Sukarelawan YSS kini bersama-sama 5,000 mahasiswa daripada Ho Chi Minh City serta 50,000 sukarelawan lain dan penduduk kampung untuk menjayakan program selama sebulan tersebut.

Selepas menghadiri majlis pelancaran Mua He Xanh 2019 oleh Timbalan Setiausaha Ho Chi Minh City dan Pengerusi Kesatuan Belia Ho Chi Minh City, Ngu Minh Hai, saya turut mengambil peluang untuk bersama-sama ke kawasan kampung yang agak terpencil.

Para peserta YSS kini giat melaksanakan khidmat masyarakat di empat kampung dalam 24 daerah yang terpilih untuk program itu iaitu Tan Kien Commune (daerah Binh Chanh), Thai My Commune (daerah Cu Chi), Hiep Phuoc Commune (daerah Nha Be) dan Tan Thoi Hiep Ward (daerah 12).

Ketika melepaskan peserta Malaysia di Putrajaya pada Jumaat lalu (5 Julai), saya telah menasihatkan mereka yang datang dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran agar menyumbang tenaga dan kemahiran mereka untuk menjayakan projek dan aktiviti yang dirangka untuk membantu penduduk tempatan.

Ia bersesuaian dengan konsep inclusiveness (keterangkuman) YSS serta penekanan terhadap kesesuaian setiap sukarelawan untuk melaksanakan tugas yang tepat berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Ketika menyertai program yang dilaksanakan di kampung-kampung di Vietnam, saya berasa amat bangga apabila melihat anak-anak muda Malaysia bersama-sama memberikan khidmat kepada masyarakat luar bandar bersama-sama para sukarelawan Vietnam terdiri daripada mahasiswa 58 universiti di Ho Chi Minh City.

Antara lain, saya dan sukarelawan YSS turut terlibat dalam aktiviti gotong royong termasuk membaiki jalan kampung.

Ketika diberi tanggungjawab memimpin YSS pada 1 Mac lepas, saya bertekad untuk melihat lebih ramai mahasiswa seluruh Malaysia melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan termasuk di luar negara.

Sedikit sebanyak, penglibatan saya sebagai Pengerusi YSS mengimbau kembali kenangan ketika menjadi Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara dari tahun 2004 hingga 2008.

Program pembangunan generasi muda di bawah MLKN  tersebut turut melatih ratusan ribu anak muda untuk terlibat dalam program khidmat masyarakat. Dalam tempoh dua hingga tiga hari sahaja, saya lihat para sukarelawan YSS  dan Vietnam telahpun bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan terutamanya  aspek bahasa dan budaya.

Saya amat berbangga apabila melihat sukarelawan Vietnam dapat menyanyikan lagu dari Malaysia dengan baik manakala wakil YSS pula menyanyikan lagu Vietnam ketika malam kebudayaan diadakan di salah sebuah kampung tersebut.

Misi ke Vietnam bukanlah yang pertama dan terakhir kerana YSS akan turut menyertai program yang  sama di Laos selain beberapa kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Melihat kesungguhan sukarelawan YSS, saya merasa bangga. Saya percaya usaha berterusan yang dilakukan oleh YSS sejak sekian lama sudah pasti akan membuahkan hasil yang baik apabila kian ramai anak-anak muda di menara gading berminat untuk mencurah bakti tanpa memikirkan keuntungan atau balasan material.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).