Perebutan kuasa dan mencari kemewahan seolah-olah menjadi mainan dalam parti itu. Biarpun pucuk pimpinan parti sering memberi peringatan tetapi ia tidak dipedulikan. Barah politik wang semakin membarah dan akhirnya melemahkan parti tanpa disedari.

Kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagaikan hentakan yang membangkitkan pemimpin, ahli dan penyokong untuk kembali ke landasan perjuangan sebenar. Yang tidak mampu menerima hakikat kehilangan kuasa bertindak meninggalkan parti keramat orang Melayu itu dengan pelbagai alasan.

UMNO tidak lagi dilihat sebuah parti yang mempunyai harapan. Sekali kalah dalam pilihan raya, kelompok berkenaan merasakan semuanya sudah berakhir. Tetapi ternyata UMNO tidak mudah tumbang begitu sahaja, kalah melalui peti undi bukannya bermakna parti itu sudah dihantar ke `kuburan’ politik untuk talkinkan.

Suasana ketika perasmian serentak tiga sayap parti semalam sudah menjadi bukti bahawa perbuatan keluar parti tidak menjejaskan majoriti besar ahli-ahli UMNO. Namun begitu perjuangan masih panjang. Kehadiran sememangnya dialu-alukan bagi menunjukkan semangat mereka yang tidak luntur tetapi pada masa sama apa yang paling penting ialah perubahan sikap.

Atas sebab itulah ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan, ``UMNO mesti keluar dari sindrom penafian. Kita tidak boleh terlalu defensif, terlalu sensitif dan menganggap semua teguran dan kritikan kepada kita adalah cubaan untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu.’’

Pemimpin, ahli dan penyokong UMNO perlu ingat jika parti itu mahu bangkit semula, segala sikap buruk yang selama ini terpalit dengan UMNO termasuk menjadikan parti tersebut sebagai `lubuk kemewahan’ harus ditinggalkan.

UMNO tiada lagi kemampuan untuk mengkayakan sesiapa. Untuk bangkit semula, UMNO memerlukan sekelompok pemimpin, ahli dan penyokong yang setia dan benar-benar menjadi pejuang. Seorang pejuang tidak akan medan perjuangan biar apapun berlaku.

Justeru berazam dan berikrarlah untuk menyahut seruan Mohamad Hasan membangunkan semula UMNO dengan nilai, moral dan ideologi. Pemimpin, ahli dan penyokong UMNO tiada masa lagi untuk beretorik atau melakukan tindak tanduk yang boleh menyebabkan rakyat khususnya orang Melayu terus menjauhkan diri daripada parti tersebut.

UMNO bukanlah parti picisan yang maruahnya boleh digadaikan semata-mata mahu mencari kuasa, UMNO bukanlah parti yang ditubuhkan di pinggir jalan sehingga ia boleh dibiarkan dicaci dan dihina sewenang-wenangnya.

Oleh itu pemimpin, ahli dan penyokong perlu bangkit, bukan sekadar bangkit menjerit di PWTC atau bersedia menggadaikan maruah tetapi lebih penting menterjemahkan dalam bentuk perubahan sikap dan tindakan bagi membolehkan UMNO kembali meraih sokongan rakyat.