Namun ini tidak bermakna Instagram dikhususkan kepada ‘influencer’ muda kerana kini muncul ‘granfluencer’ iaitu golongan yang bergelar datuk atau nenek yang lebih mahir menggunakan peluang dalam media sosial berbanding golongan muda.

Pada tahun lalu, sebuah agensi pemasaran ‘influencer’ telah mengenal pasti terdapat peningkatan sehingga 24 peratus pengikut dalam kalangan 10 ‘influencer’ warga emas dalam Instagram sejak September 2017.

Seperti ‘influencer’, ‘granfluencer’ menguasai beberapa bidang terutamanya fesyen dan gaya hidup, bekerjasama dengan produk berjenama besar dunia dan menonjolkan gaya kehidupan peribadi mereka dalam media sosial untuk ditonton oleh beribu-ribu pengikut masing-masing.

Malah ada yang mampu meraih sehingga 3.8 juta pengikut di Instagram seperti yang dilakukan oleh Helen Ruth Elam Van Winkle (@baddiewinkle), 91, yang menggunakan gelaran ‘Baddie’.

Baddie mula terkenal sebagai Instafamous ketika berusia 85 tahun selepas cicitnya mengambil gambar dia memakai baju T corak ‘tie-dyed’ dan seluar pendek denim ‘cut-off’ .

Mengakui sejak muda mempunyai sikap memberontak, dia percaya sikap tidak peduli yang ada pada dirinya menarik ramai netizen untuk menjadi pengikutnya.

‘‘Saya fikir mereka melihat seorang wanita bergelar moyang yang tidak peduli apa orang lain fikirkan tentang dirinya dan mereka anggap ..baiklah dia seorang yang suka memberontak dan kami sukakannya,’’ kata Baddie.

Wanita ini juga akan bercerita tentang isu-isu kesihatan termasuk pembedahan pinggul yang dilalui selain secara terbuka menceritakan perasaannya selepas kematian suami dan anak lelakinya.

Lyn Slater, 65, (@IconAccidental) mendakwa dirinya ‘ikon tidak sengaja’ menjadi pemula fesyen pada usia senja dan tidak dinafikan memang suka bergaya dan mengambil risiko dalam berfesyen malah sikap itu menjadikan dia disukai oleh peminat dan pihak penerbitan fesyen.

‘‘Saya mula terlibat sebagai ‘influencer’ secara kebetulan ketika sedang menunggu kawan di luar majlis pertunjukan fesyen di New York. Secara tiba-tiba ramai jurugambar fesyen menghurungi saya kerana menyangka saya terlibat dalam industri ini,’’ ujarnya yang kini mempunyai seramai 664,000 pengikut.

Namun Slater bukanlah sembarangan orang, beliau ialah seorang Profesor di sebuah universiti juga pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang kebajikan sosial serta ijazah sarjana dalam bidang keadilan jenayah.

‘‘Saya cuba untuk tidak mengaitkan angka dalam Instagram kerana niat saya hanyalah untuk melahirkan kreativiti diri dan mencipta sesuatu yang menarik,’’ ujarnya.

Kimiko Nishimoto ialah nenek yang berjaya membuktikan tiada istilah terlambat untuk mempelajari sesuatu yang baharu apabila dia mula memegang kamera pada usia 72 tahun untuk mengikuti kelas fotografi yang dikendali anak lelakinya.

Kini pada usia 90 tahun dengan pengikut seramai 215,000 di Instagram dia merupakan salah seorang bintang media sosial terkenal di Jepun yang sering memuat naik gambar dirinya dengan pelbagai gaya termasuk gaya slapstik.

‘‘Saya hanya mahu melakukan sesuatu yang lucu dalam hidup dan saya hanya mahu memberi kegembiraan kepada orang lain. Mengambil gambar adalah rahsia kebahagiaan saya dan akan terus melakukannya selagi saya bernyawa,’’ katanya.

Instagram wanita ini dipenuhi gambar lucu antaranya gambar dia terbang dengan penyapu, merempuh skuter dan minum bir dengan memakai pakaian yang berwarna terang dan dilanggar kereta namun kemahiran suntingan yang dipelajarinya selain mendapat bantuan anak lelakinya.

Kimiko gemar membuat orang gembira tetapi melihat kepada jumlah pengikutnya sejak menyertai Instagram dua tahun lalu dan mengadakan beberapa pameran foto di Jepun, kejayaan itu bukanlah perkara yang kecil.

Golongan warga emas lelaki juga tidak ketinggalan menyertai ‘granfluencer’ seperti Irvin Randle, 57, guru sekolah rendah dari Houston yang sekelip mata menjadi selebriti pada 2016 selepas gambarnya berpakaian ‘trendy’ menjadi tular dalam internet.

‘‘Semasa dihubungi anak perempuan yang memberitahu gambar saya ‘trending’ dan saya tidak tahu apa maksud ‘trending’ itu sebaliknya menyangka saya sedang menghadapi masalah,’’ ujarnya.

Selepas tiga tahun dengan pengikut Instagram seramai 254,000, Randle bukan sahaja terkenal kerana gaya fesyen tetapi turut menjadi pembakar semangat kepada golongan lelaki lain yang ingin berubah.