Beliau yang lebih dikenali sebagai Syamsul Debat kini bertanding sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di kerusi DUN yang dikuasai pembangkang sejak 10 tahun lalu. Wartawan Mingguan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN menemu ramah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban itu bagi mendapatkan pandangan tentang peluangnya dan cabaran penceramah itu beralih angin ke pentas politik.

 

MINGGUAN: Apakah perasaan apabila dimaklumkan sebagai calon BN?

SYAMSUL AMRI: Saya dimaklumkan dalam masa yang singkat dan memang terkejut kerana dipilih. Saya tanya pandangan emak dan ahli keluarga. Emak pesan kita jangan meminta-minta jadi pemimpin tetapi kalau dipilih, terima sebagai amanah dan buat yang terbaik.

Sebenarnya sudah lama spekulasi saya disebut-sebut sebagai calon. Yang paling pelik ada yang kata saya akan bertanding di Parlimen Shah Alam, tak pasal-pasal orang Shah Alam marah saya. Tetapi saya tidak ambil peduli dan buat kerja-kerja ceramah seperti biasa.

Bagaimanakah peluang merampas kerusi DUN Sikamat?

SYAMSUL AMRI: Ini adalah masa untuk bekerja kuat bagi memastikan kemenangan kerana Sikamat sudah dua penggal di bawah pembangkang. Ini tugas berat dan kita akan berusaha kembalikan kerusi itu kepada BN. Dalam PRU-14 sudah tidak ada lagi kerusi yang mudah untuk dimenangi. Yang paling penting menangkis persepsi dan memastikan rakyat dapat maklumat tepat.

Kita tak mahu mereka salah faham disebabkan kepesatan media dan kita kena bantu salur maklumat yang sewajarnya. Yang dimain-mainkan sesetengah pihak adalah mencari keburukan di sebalik usaha kerajaan BN, contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ada yang kata tak perlu tetapi apabila mereka rangka manifesto, mereka sendiri beri imbuhan yang sama walaupun bukan dinamakan BR1M.

Bagaimanakah menyesuaikan diri dengan peralihan dari ceramah motivasi ke pentas politik?

SYAMSUL AMRI: Sebenarnya saya sudah berceramah politik sejak tahun 2006 iaitu sebagai penceramah dengan Biro Penerangan UMNO Malaysia, cuma saya lebih ditonjolkan dalam ceramah motivasi. Pendekatan saya walaupun dalam ceramah politik, saya tak suka hentam pembangkang dan hina orang, dalam kempen saya tak ada (perkara seperti itu).

Saya dimaklumkan bahawa lawan saya mengatakan dia mahukan persaingan sihat, Alhamdulillah itu perkara yang baik. Kita beritahu kepada rakyat apa yang kita nak buat di kawasan ini dan yang mana dapat meyakinkan orang ramai. Sesiapa yang dipilih kena laksanakan janji, kita nak diterima rakyat. Kita bantu rakyat dan cakna masalah orang ramai. Kalau kita lihat di DUN Sikamat, BN dari dulu bekerja berterusan, ia rutin dan bukan hanya semasa pilihan raya.

Apakah strategi untuk menawan hati pengundi di DUN Sikamat?

SYAMSUL AMRI: Saya akan beri perhatian kepada semua lapisan sama ada orang muda, veteran dan mereka yang mungkin merajuk. Selepas dua penggal, kali ini letak orang baharu sudah tentu pengundi nak tahu apa kelainan dan bezanya. Mungkin sebelum ini sentuhan yang diberikan kepada mereka belum cukup kuat atau mungkin ada janji-janji yang belum diselesaikan. Kita akan bantu selesaikan, kita dekati semua lapisan.

Kita ambil kira keperluan semua dan jangan buat sesuatu yang syok sendiri. Contohnya, kita bina gelanggang futsal tapi adakah itu yang orang muda mahukan? Mungkin mereka nak benda lain seperti liputan WiFi yang meluas, gajet atau pusat siber rakyat supaya mereka boleh gunakan teknologi kerana Sikamat adalah kawasan bandar.

Tidakkah bimbang kehilangan peminat ekoran bertanding untuk parti politik?

SYAMSUL AMRI: Saya serahkan kepada Allah. Semua ini kerana Allah dan saya yakin ada hikmah diberi semua ini. Lagipun saya masih berceramah seperti biasa dan ada kuliah subuh di surau-surau di Ampangan dan Paroi. Niat saya kerana Allah bukan hendak kedudukan, saya reda apa juga keputusan.Saya gunakan platform kepimpinan untuk berdakwah, sebab itu saya menyelitkan dakwah dalam ucapan supaya mesejnya sampai kepada orang ramai. Elaklah bergaduh, fitnah-memfitnah kerana pada masa ini fitnah sangat tak terkawal sehingga menjejaskan perpaduan. Saya juga ambil contoh daripada Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah, orangnya merendah diri dan ini menunjukkan orang yang ada imej agama juga boleh memimpin. Ada contoh untuk saya dan saya seronok bekerja dengan beliau yang juga penyandang kerusi DUN Ampangan.