Tinggal hujung-hujung cuti seminggu Gong Xi Fa Chai ini, baru lah nak balik ke kampung sebelah orang rumah di Ayer Lanas, Jeli.

Apa khabar Tok Pa? Eh! Tiba-tiba saja sebut nama Tok Pa ni apasal. La, bukannya apa, teringat abang hensem akan ke­ramahan dan sikap budiman Ahli Parlimen Jeli ni.

Sebut pasal budiman ni, abang hensem nak kongsi betapa pentingnya sikap ini perlu ada pada semua tidak kira lelaki atau perempuan.

Sikap budiman ini tak payah sebut lah… laku macam go­reng pisang panas di mana-mana ceruk pelosok dunia ini.

Kerana itu abang hensem tak hairan bila seseorang itu pada waktu biasa-biasa di luar, KPI peri lakunya begitu baik sungguh. Pijak semut pun tak mati.

Tapikan bila dia sorang-sorang picit telefon bimbit, dia jadi gila. Sehinggakan boleh masuk lokap pulak.

Mengapa tu? Ya, tak pasal-pasal kau boleh komen buruk-burukkan orang itu, orang inilah. Lagi gila tahap gaban boleh ‘usik’ orang yang harus dihormati kerana kedudukannya dalam perlembagaan seperti Agong.

Uhh! Melampau sungguhkan. Sebenarnya, kelakuan manusia di alam siber ini mencerminkan itulah dirinya yang sebenar - hinggakan boleh melampaui dunia realiti.

Ungkap pencipta World Wide Web, Tim Berners Lee: “You effect the world by what you browse.”

Cuma bagi abang hensem lah, tidak perlulah sangat buat undang-undang seketat di Thailand, yang dipanggil apa tu, lese majeste (bergulung lidah nak sebut) - sehinggakan penghina raja dan institusinya boleh dipenjarakan berbelas-belas tahun.

Elok, pada saranan abang hensem diperkenalkan subjek disiplin yang dinamakan cyberpsychology - berkisar kaedah untuk mengawal kesan dari kemunculan teknologi terhadap tingkah laku manusia.

Subjek seperti ini patut dimulakan sejak di Tahun 1 sekolah rendah lagi. Apa yang abang hensem insafi, segala ‘hiruk-pikuk’ kegawatan dalam dunia ini bermula dari kerenah dan gelagat manusia.

Jika dulu sesuatu maklumat cuma diperoleh melalui suratkhabar, televisyen, telefon rumah atau telefon awam. Kebanyakannya sehala saja.

Tapi sekarang nah kau. Dalam tandas atau sedang baring pun, bukan saja maklumat tapi fitnah maki hamun pun tak boleh kau halang. Melalui WhatsApp saja, sudah ‘bergegar dunia’.

Sebab itu, abang hensem bimbang dek akibatnya, soal budiman ni menerawang entah ke mana.

Dah sampai Bentong dah abang hensem. Terima kasih kepada anak abang hensem yang cute, Sofea yang tolong taipkan nukilan luahan hati abang hensem ni.