Ugutan ke apa ini? Dalam kepala saya ada satu soalan besar ketika itu - Declare? Kena declare? Kalau tak declare tak boleh grad ke? Tapi saya pendamkan soalan itu. Ikut sajalah pada ketika itu. Kononnya berpegang kepada konsep kami budak masih belajar, tapi sebenarnya lebih kepada keliru dan sedikit gerun.

Saya rasa semua orang yang memasuki institusi penga­jian tinggi (IPT)melalui sesi suai kenal dengan pelajar-pelajar yang lebih senior di universiti mahupun di kolej. Seminggu sebelum memulakan sesi pengajian, pihak IPT akan mengadakan minggu orientasi atau ming­gu silaturrahim dengan nama yang berlainan. Tidak kiralah apa nama sekalipun, tujuannya untuk mengeratkan hubungan pelajar dengan pelajar lain dan staf di sana.

Masih ingat dulu, awal-awal subuh sudah bangun hingga membawa ke tengah malam dengan macam-macam aktiviti. Letihnya, sampai sekarang saya tidak boleh lupa. Ketika itu nak mandi pun tak ada masa. Apatah lagi duduk lama dalam tandas. Macam-macam bau ada, bila pelajar baharu berkumpul dalam satu dewan. Mengantuk, tersenguk-senguk.

Yang ingin saya katakan di sini bukan pengisian program minggu orientasi ini. Semua pelajar wajib mela­luinya. Tetapi saya ingin sentuh tentang tradisi. Ya, tradisi menganggap freshie ini budak mentah yang teraba-raba macam hilang arah apabila masuk ke IPT sepatutnya sudah lama dibuang.

Tidak setuju? Tidak mengapalah. Semua ada pendapat masing-masing. Meraikan pendapat masing-masing juga menunjukkan sikap hormat.

Pada saya, kita jangan berpegang sangat dengan konsep senior pula hormat junior. Hormat lebih mulia jika kita dapat dengan cara tidak meminta-minta. Hormat boleh dapat dengan sendirinya tanpa dipaksa jika kita sendiri menghormati orang lain dan menunjukkan adab yang tinggi. Apa salahnya, jika pelajar baharu, yang dianggap macam rusa masuk kampung ini, diberi panduan oleh pelajar senior dengan bercakap baik-baik iaitu menunjukkan budi bahasa yang tinggi. Tidaklah perlu menengking, memperlekeh dan membuat lawak bodoh.

Masa inilah, sepatutnya kempen budi bahasa ­­­dija­lankan. Pelajar senior, sama juga dengan junior, mereka akan keluar dari IPT nanti dan berhadapan dengan macam-macam jenis manusia, maka kalau dari IPT sudah diterapkan sikap membuli, tunjuk besar kepala dengan pengalaman hanya lebih satu semester saja, ia membawalah sampai ke tempat kerja.

Zaman sudah berubah sekarang. Tidak semestinya tidak melalui sesi ragging, seseorang pelajar itu akan menjadi lembik, tiada daya tahan atau tidak tahan cabaran. Kalau itulah penanda arasnya, ini baru betul lawak.

Perlukah kita meneruskan lagi tradisi pelajar senior membuli pelajar junior? Saya tidak nampak selepas pelajar ini dibuli mereka boleh menjalinkan satu hubungan rapat. Kalau ada pun rasanya, tak ramai. Maka tercapaikah matlamat minggu silaturrahim itu? Kalau untuk berseronok-seronok pun, siapa yang seronok? Senior atau junior? Dan selepas itu junior akan menjadi senior membuat hal sama, mewarisi turun temurun, walhal ia tidak mendatangkan faedah.

Saya menulis ini kerana pada 1 September depan, pelajar-pelajar baharu akan masuk ke IPTA. Mereka yang teruja ini perlukan panduan dan sokongan pelajar senior. Gunakanlah budi bahasa yang tinggi. Kita ubah apa yang selama ini kita warisi iaitu satu budaya buli.

Cukuplah kes kematian adik Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dibuli dan didera oleh pelajar senior di asrama Universiti Pertahanan Malaysia pada 2017 lalu, kita jadi pengajaran. Kesannya, membawa kesedihan yang tiada hujung pada keluarganya. Ini satu tragedi pada negara. Cukuplah!