Brunei sebenarnya sudah dua dekad tidak melaksanakan hukuman mati ke atas kesalahan penal kod awam tetapi apabila diperkenalkan Perundangan Islam pada 3 April lalu, masyarakat antarabangsa telah menggunakan klausa hukuman mati yang dikenakan ke atas tiga kesalahan sebagai asas untuk menuduh Brunei aniaya kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Walaupun Sultan Brunei telah memperjelaskan walaupun hukuman mati terkandung dalam perundangan Islam yang diguna pakai dan memberi jaminan tidak akan melaksanakannya, kumpulan penentang perundangan Islam tetap memperbesarkan isu hukuman mati kerana ia strategi paling efektif untuk melabelkan Brunei sebagai negara yang kejam.

Apabila Brunei mula menzahirkan hasrat untuk memperkenal Perundangan Islam pada 2014, matlamatnya adalah untuk menilai reaksi luar kerana sebagai negara kecil, Brunei begitu terdedah dengan tekanan walaupun pada tahap minimum. Reaksi negatif pada ketika itu memang dijangkakan tetapi apabila Brunei melaksanakan perundangan secara sepenuhnya bulan lepas, reaksi negatif telah bertukar bentuk menjadi tekanan dan ugutan.

Tiga kelompok penentang daripada komuniti diplomatik, aktivis dan perniagaan bagaikan bersepakat dengan memberi tekanan dan ugutan dari pelbagai sudut. Parlimen Kesatuan Eropah (EU) umpamanya beberapa minggu lepas membahaskan isu perundangan Islam Brunei dengan hasrat untuk memperkenalkan resolusi mencela Brunei yang dituduh berlaku kejam terhadap kumpulan LGBT.

Lebih teruk lagi beberapa ahli Parlimen EU membuat syor supaya mengenakan larangan visa dan pembekuan aset milik kerajaan Brunei seperti beberapa hotel milik Agensi Pelaburan Brunei antaranya The Dorchester, London dan Hôtel Plaza Athénée, Paris. Begitu jua dengan beberapa aktivis Hollywood terkenal seperti Ellen Degeneres, Elton John dan George Clooney menggunakan pengaruh mereka untuk berkempen dan menyeru masyarakat global memboikot apa sahaja berkaitan Brunei terutama sekali sektor pelancongan.

Syarikat minyak dan gas Royal Dutch Shell yang mempunyai banyak pelaburan secara bersama dengan kerajaan Brunei menerima tekanan daripada pemegang saham untuk memaksa kerajaan Brunei supaya lebih menghormati hak kumpulan LGBT. Pengaruh Shell di Brunei adalah hebat kerana syarikat minyak dan gas usahasama iaitu Brunei Shell Petroleum menjana hampir 90 peratus pendapatan Brunei dalam sektor minyak dan gas.

Malah University of Aberdeen juga terbabit membantah tindakan Brunei dengan menarik balik anugerah ijazah kehormat yang dikurniakan kepada Sultan Brunei pada 1995.Tidak keterlaluan jika ditakrifkan tentangan terhadap pelaksanaan hukum Islam di Brunei disifatkan menafikan hak beragama penduduk satu-satu negara sedangkan yang diperjuangkan oleh kumpulan menentang ini kononnya untuk mempertahan hak asasi.

Kemungkinan juga sikap Islamofobia yang mendorong masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap apa sahaja berkaitan Islam. Pada 2017 tiga organisasi hak asasi manusia Perancis membuat aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya menyiasat layanan tidak adil kepada kumpulan LGBT oleh kerajaan Republik Chechen. Aduan itu berasaskan berlakunya apa yang dipanggil penghapusan beramai-ramai (genocide) melalui penahanan dan penyeksaan terhadap golongan LGBT di Chechen.

Kejayaan ugutan terhadap Brunei membuatkan kumpulan penentang ini terutama sekali aktivis Hollywood besar kepala dengan mengisytiharkan sasaran mereka kepada beberapa negara Islam kecil. Beberapa hari lalu George Clooney memberi amaran kepada jiran Brunei iaitu Malaysia dan Indonesia supaya lebih menghormati hak kumpulan LGBT. Jika diteliti temu bual pelakon tersebut ia memberi persepsi bahawa Malaysia dan Indonesia berlaku kejam dan hakikatnya ramai akan terpedaya dengan dakyah berat sebelah sedemikian.

Negara Islam kecil sememangnya sering menjadi sasaran seperti kumpulan penentang yang mengugut Brunei. Aktivis Hollywood seperti George Clooney umpamanya begitu aktif dengan isu Darfur, Sudan sehingga memaksa Sudan berpecah kepada dua negara pada 2011. Perlu berhati-hati dengan gerak kerja aktivis berpengaruh seperti ini kerana walaupun propaganda berat sebelah yang dihebahkan, isu yang diperjuangkan mudah mendapat perhatian kerana status selebriti mereka.