Terdapat tiga persoalan penting yang ingin dirungkai. Persoalan pertama, adakah kempen BMBF memberi impak kepada ekonomi Malaysia? Kempen BMBF lebih bersifat sementara dan tidak mendatangkan kesan besar kepada ekonomi secara keseluruhannya. Kempen BMBF hanya menuntut pengguna Islam atau bumiputera mengutamakan produk keluaran pengeluar bumiputera, bukan mengajak pengguna supaya tidak berbelanja.

Contohnya, terdapat dua keluaran minyak masak di pasaran iaitu jenama B yang dikeluarkan bumiputera dan jenama C yang dikeluarkan oleh bukan bumiputera. Jumlah keseluruhan keluaran adalah 100 unit dengan jenama B menyumbang sebanyak 40 unit dan jenama C sebanyak 60 unit. Apa yang terjadi adalah kempen BMBF akan menyebabkan sebahagian pengguna memilih untuk berbelanja ke atas jenama minyak masak B. Andaikan akibat daripada peralihan ini pengeluaran minyak masak jenama B akan bertambah sebanyak 20 unit dan jenama C akan berkurangan dalam kuantiti sama. Jadi, jumlah keluaran dalam ekonomi masih sama iaitu 100 unit. Oleh itu, kempen BMBF dijangka tidak beri kesan besar kepada ekonomi dan jika ada pun hanya kecil dan lebih bersifat sementara.

Ada berpandangan apabila berlaku pengurangan permintaan ke atas sesuatu barangan menyebabkan akan berlaku pengurangan pekerja syarikat berkenaan akibat daripada kekurangan pengeluaran. Dalam jangka masa pendek, ini sukar untuk berlaku. Jika kempen BMBF berterusan dan berskala lebih besar dalam jangka panjang, kemungkinan akan berlaku pergerakan pekerja daripada syarikat C kepada syarikat B. Jadi, kesan kepada pekerja sangat minimum.

Persoalan kedua, adakah ekonomi pengeluar dan penia­ga bukan bumiputera akan terkesan akibat kempen BMBF? Dalam jangka masa pendek pengeluar dan penia­ga bukan bumiputera seca­ra individunya akan terkesan akibat daripada penggurangan permintaan pasaran. Kesannya tidaklah memberi implikasi besar kepada keuntungan syarikat. Kebanyakan syarikat yang terkesan telah mengambil beberapa langkah untuk menge­kalkan permintaan pasaran seperti tindakan mengu­rangkan harga dan mempromosi barangan percuma (beli satu percuma satu).

Dalam jangka masa panjang, kesan BMBF dijangka mengendur akibat daripada dua faktor. Pertama, gelagat perbelanjaan pengguna masih dipengaruhi oleh harga dan tingkat pendapatan mereka. Untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian, barangan yang memberi kualiti dan nilai yang baik masih menjadi keutamaan. Selain itu, kos mendapatkan barangan bumiputera juga mempengaruhi corak perbelanjaan. Kita tidak pasti tahap daya saing keluaran bumiputera dan sejauh manakah mereka boleh bersaing dengan bukan bumiputera.

Faktor kedua adalah rantaian bekalan bahan mentah kebanyakannya masih dikuasai pengeluar bukan bumiputera. Pengeluar bukan bumiputera boleh menggunakan kelebihan yang mereka ada untuk mempengaruhi rantaian bekalan yang seterusnya memberi kesan kepada keluaran bumiputera. Tiada barangan di Malaysia yang boleh kita gelar `100% keluaran bumiputera’ atau `100% keluaran bukan bumiputera’ kerana semua bangsa terlibat di dalam proses pengeluaran barangan tersebut.

Contohnya, penghasilan nasi lemak melibatkan penggunaan cili kering dan ikan bilis dan kedua-dua bahan ini dibekalkan oleh pengeluar bukan bumiputera. Begitu juga penghasilan serbuk koko oleh pengeluar bukan bumiputera menggunakan buah koko yang ditanam oleh bumiputera.

Kesalingbergantungan ini juga terpakai dalam pengeluaran produk berstatus halal. Kita hanya melabelkan produk berstatus halal dengan menumpu kepada proses pengeluaran di syarikat berkenaan. Kita tidak melihat keseluruhan proses pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan. Contohnya, syarikat D mengeluarkan sos cili berstatus halal yang dikilangkan di Malaysia. Bahan mentah utama iaitu cili diimport dari negara B. Jika penghasilan cili di negara B melibatkan penggunaan buruh kanak-kanak dan penindasan pekerja wanita, dan menggunakan racun berbahaya, adakah kita gembira dengan status halal sos cili tadi?

Persoalan ketiga, adakah kempen BMBF membantu memperkasa ekonomi bumiputera? Tindakan ini lebih terarah kepada sentimen yang memberi kesan kecil kepada pemerkasaan ekonomi bumiputera. Kempen ini dilihat mampu membantu mempromosi keluaran-keluaran bumiputera yang selama ini mungkin tidak kelihatan di pasar raya-pasar raya. Untuk memastikan mereka terus relevan dalam pasaran, kempen sebegini adalah tindakan yang ke belakang. Bangsa Yahudi yang dikenali hebat dalam perniagaan dan bangsa yang mengamalkan konsep Islam tidak menggunakan pendekatan sebegini. Pemerkasaan perniagaan bumiputera perlu dilakukan dengan cara terpimpin melalui peningkatan produktiviti, pembangunan jenama dan kualiti, pengukuhan dan penguasaan rantaian bekalan dan pasaran, dan berdaya saing di pasaran antarabangsa. Menubuhkan pasar raya-pasar raya baharu yang menjual hanya produk PKS dan bumiputera juga baik untuk dipertimbangkan.

Perkembangan semasa ekonomi Malaysia memperlihatkan kecelaruan yang rumit. Ekonomi banyak dipengaruhi oleh ‘campur tangan’ elemen-elemen politik yang boleh mengehadkan potensi pertumbuhan ekonomi. Sepatutnya dalam keadaan ekonomi global yang perlahan, ini adalah masa terbaik Malaysia memaksimumkan potensi sebenar ekonomi domestik. Semua pihak perlu bekerjasama merancakkan semula ekonomi agar taring Harimau Asia kembali tajam.

  • Prof. Madya. Dr. Mohd. Yusof Saari ialah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau kini Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan serta Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).