Faktanya, Cameron Highlands ‘semakin parah’ biarpun Kerajaan Negeri Pahang berusaha keras untuk memulihkan keadaan di tanah tinggi tersebut. Namun tanpa komitmen padu daripada kerajaan Pusat, segala-galanya akan menuju kegagalan.

Oleh itu Awang kagum dengan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah yang mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla, Cameron Highlands, Sabtu lalu.

Seri Paduka sememangnya mengambil berat tentang nasib tanah tinggi tersebut, malah ketika menjadi Pemangku Raja Pahang, Al-Sultan Abdullah pernah membuat tinjauan yang sama bagi memastikan Cameron Highlands tidak terus diceroboh.

Awang tidak tahu apa perasaan menteri yang terlibat apabila melihat bagaimana Seri Paduka sanggup meluangkan masa bagi meninjau permasalahan di situ sedangkan sebelum ini kerajaan Pusat mengumumkan pelbagai agenda bagi memulihkan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tersebut.

Justeru mengambil semangat daripada keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, adalah wajar jika pihak-pihak berkenaan memandang serius apa yang sedang berlaku di Cameron Highlands. Titah daripada siapa lagi mahu ditunggu bagi menggerakkan usaha menyelamatkan tanah tinggi berkenaan? Bertindaklah segera dan bersungguh-sungguhlah, bukan hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’.

AWANG - Sedih lihat Cameron Highlands.