Masa depan pula lebih terjamin kerana siapapun memerintah, penjawat awam tetap kekal bekerja seperti biasa. Tetapi sejak kebelakangan ini ramai  mula memperkatakan mengenai sektor awam, banyak rungutan yang Awang terima.

Awang bersetuju dengan pandangan banyak pihak bahawa selama ini skim pencenlah yang menjadi tarikan utama untuk berkhidmat di sektor awam. Kalau skim itu dimansuhkan, sektor tersebut bagaikan hilang seri.

Awang percaya kerajaan akan memikirkan semasak-masaknya apa juga pendekatan melalui mekanisme baharu yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam.

Janganlah laksanakan satu skim yang akhirnya menyebabkan orang melihat bekerja di sektor awam sudah tidak ada keistimewaan. Awang bimbang kelak tidak ada lagi orang mahu bekerja dengan kerajaan jika tawaran swasta jauh lebih baik.

Awang berharap Jabatan Perkhidmatan Awam akan bentangkan satu skim yang benar-benar telus demi kebajikan penjawat awam, bukannya akan dituduh melaksanakan agenda kelompok tertentu yang selama ini ‘cukup berbulu’ dengan penjawat awam.
 

AWANG – Harap tiada yang tersirat.