Kembalinya Allahyarham Mejar Mohd. Zahir ke rahmatullah ketika menjalankan tugas sudah tentulah menyedihkan kita semua tetapi tidak perlu kita membuat sebarang spekulasi.

Bagi Awang, dalam situasi sekarang adalah lebih baik kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Mungkin bagi orang awam, penggunaan peluru hidup ketika demonstrasi atau pertunjukan tidak wajar tetapi bagi anggota komando seperti Allahyarham, ia sudah sebati dengan mereka.

Awang turut menerima satu mesej tular yang mempertahankan penggunaan peluru hidup tersebut.

Antaranya menegaskan, apa yang dipaparkan di majlis itu adalah latihan sebenar yang dilaksanakan secara rutin di dalam kem komando. Ia disifatkan standard paling tinggi dalam pasukan komando di mana-mana juga negara.

Itu pun mereka harus menjalani latihan menembak yang cukup intensif sebelum dibenarkan melakukan kepada sasaran hidup. Sebab itulah Awang berpendapat, mana-mana pihak tidak harus membuat andaian terhadap tragedi tersebut.

Awang percaya dan yakin bagi anggota-anggota komando, inilah pengorbanan terbesar kepada negara. Memetik mesej yang tular tersebut, “…nyawa adalah taruhan sebenar bukan sahaja di medan perang tetapi juga ketika latihan.” Awang doakan roh Allahyarham ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.
 
AWANG – Sedih. Al-Fatihah.