Awang tertarik dengan titah ucapan Al-Sultan Abdullah yang meminta semua pihak jangan sesekali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuhkan keharmonian negara.

Sememangnya masa depan negara bergantung kepada perpaduan. Ia faktor penentu sama ada Malaysia akan aman atau tidak. Oleh itu Awang bersetuju dengan pandangan Seri Paduka yang bertitah, “bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman.”

Awang berharap semua pihak memahami titah Seri Paduka. Janganlah menggadai atau mempertaruhkan masa depan negara dengan memainkan isu-isu perkauman dan menghina mana-mana agama. Jika tindakan itu dilakukan, ia ibarat menjemput petaka ke bumi Malaysia.

Sebagai salah seorang wartawan yang berpeluang mewawancara Al-Sultan Abdullah baru-baru ini, Awang dapat merasakan betapa ikhlas dan tingginya harapan Seri Paduka untuk memastikan perpaduan rakyat negara ini diperkukuhkan dan hidup aman damai sepanjang pemerintahan Seri Paduka.

Atas sebab itulah Seri Paduka bertitah, semua pihak perlu memelihara perpaduan sedia ada dan jangan cepat melatah serta tidak menjadikan perbezaan agama serta kaum sebagai benteng penghalang untuk mereka bersatu. Semoga sepanjang pemerintahan Al-Sultan Abdullah, Malaysia terus aman dan makmur.

Awang - Daulat Tuanku.