Kehadiran Utusan Melayu ketika itu bukan mencari keuntungan tetapi demi menegakkan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. Perjalanan Utusan Melayu sejak 80 tahun lalu sehingga hari ini tiada bezanya.

Akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu ini terus merentasi perjuangan dalam pelbagai situasi biarpun berhadapan dengan cabaran yang kadang kala cukup memeritkan.

Namun tiada erti putus asa atau menyerah kalah dalam perjuangan ini.  Sempena ulang tahun ke-80, Awang dan rakan-rakan berazam meneruskan perjuangan.

Walaupun kami memahami cabaran semakin getir, rintangan semakin hebat namun panji-panji Utusan Melayu tetap akan dipastikan terus berkibar.

 Awang tahu ada yang melihat Utusan Melayu sebagai musuh. Pelbagai kecaman dan cacian dilemparkan, pada masa sama Utusan Melayu juga disandarkan harapan meneruskan perjuangan demi untuk orang Melayu dan rakyat.

 Awang menerima secara terbuka apa juga pandangan kerana itulah manisnya kebebasan bersuara, biarpun ada sesetengahnya agak menggores perasan, tetapi perjuangan ini tidak akan tergugat apatah lagi terhenti. Insya-Allah.

AWANG – Terima kasih atas sokongan.