Keduanya mengenai cadangan pindaan Perlembagaan UMNO yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dikatakan menyentuh soal melucutkan keahlian mereka yang berhadapan pertuduhan mahkamah bagi sebarang salah laku.

Bagi Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, apa yang penting dalam kerjasama itu adalah kepemimpinan Islam kerana baginya politik adalah suatu yang fleksibel dan sesiapa sahaja boleh menjadi ketua dalam ta’awun siyasi yang dilaksanakan.

Ujar Abdul Hadi, penghalang kepada kerjasama itu telah pun dapat diatasi. Walaupun di peringkat awal memang ada perbezaan disebabkan perkara lama namun ia sudah diselesaikan. Malah orang yang terlibat dengan peristiwa Memali pun sudah terima UMNO kerana kepentingan nasional mengatasi kepentingan peribadi.

Begitu juga dengan pindaan melibatkan Perlembagaan UMNO, semua ahlinya perlu bertenang dan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk membersih dan mengembalikan perjuangan parti itu kembali ke landasan asal.

Awang bersetuju dengan pandangan Naib Presiden, Khaled Nordin bahawa pindaan Perlembagaan UMNO adalah satu proses yang terbuka dan berterusan bertujuan mengukuhkan struktur serta tadbir urus UMNO sebagai sebuah gerakan amal bakti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Oleh itu dengan mengambil semangat kepimpinan Pas, ahli UMNO dan kepimpinannya juga perlu berjiwa besar dengan menolak kepentingan peribadi dan meletakkan kepentingan nasional mengatasi segalanya demi agama, bangsa dan negara.

Awang - Telus, tidak berpihak