Malangnya isu ini menjadi polemik politik yang membosankan. Kesudahannya timbul perbalahan yang tiada penghujungnya sehingga Kabinet terpaksa membuat kenyataan supaya membeli barangan buatan Malaysia.

Apa yang anehnya, kempen atau galakan membeli barangan produk Muslim itu sudah bermula sejak April lagi, tetapi kenapa baru sekarang ia mahu dibangkitkan? Adakah kempen itu telah memberi kesan kepada kelompok tertentu?

Kalaulah mahu menggalakkan kempen beli barang buatan Malaysia, apakah produk Muslim bukan dari Malaysia? Justeru, Awang menyokong pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyeru umat Islam supaya bersama-sama menjayakan agenda memperkasa ekonomi ummah dengan berusaha bersungguh-sungguh membeli dan menyokong produk Muslim.

Cukup-cukuplah mahu mengheret semua perkara menjadi polemik politik kerana ia akhirnya tidak akan menguntungkan sesiapa. Benarkan produk Muslim bersaing secara sihat dengan menyerahkan kepada umat Islam memilih produk mana yang mereka suka.

AWANG – Tetap pilih produk Muslim.