Keadaan bertambah buruk apabila ada kalanya ia terseret sehingga menyentuh isu perkauman. Justeru, Awang bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong kelmarin yang mengingatkan rakyat supaya tidak memperalatkan isu-isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak.

Itulah yang berlaku ketika ini. Perkara sensitif disentuh kononnya atas nama kebebasan bersuara dan memberi pendapat serta bersesuaian dengan amalan demokrasi. Tetapi soalnya adakah ia akhirnya memberi keuntungan kepada rakyat dan negara keseluruhannya?

Sudah pasti tidak! Sebaliknya kalau rakyat khususnya ahli politik tidak berhati-hati, mereka boleh mencetuskan ketegangan yang kesudahannya menggugat ketenteraman negara.

Awang berharap semua pihak memberi perhatian kepada titah Yang di-Pertuan Agong kerana seperti mana titah Seri Paduka: “Percayalah, perpaduan dan keamanan yang telah terbina selama 62 tahun ini jika hilang, akan sukar untuk dikembalikan. Jangan biarkan kita sampai pada tahap itu.”

AWANG - Anti rasisme.