Bukan mudah untuk rakyat berdaya saing dalam kehidupan hari ini, apa lagi golongan pekerja mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Tidak banyak sebenarnya yang Awang dapat kongsi pencapaian kerajaan dalam membela nasib pekerja di sebalik penguatkuasaan gaji minimum RM1,100 pada 1 Januari tahun ini.

Awang bagaimanapun insaf dan akur, perkembangan semasa masih diwarnai dengan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang dan peluang kerja yang terhad.

Dari segi ‘bebanan politik’ yang dipikul parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan, Awang rumuskan masih banyak kerja perlu dilakukan oleh para menteri .

Ini penting untuk mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan mampu mendepani cabaran ekonomi domestik dan global.

Pertelagahan sesama sendiri termasuk membuat kenyataan yang tidak perlu seperti tempoh hari mengumumkan hutang negara mencecah RM1 trilion tahun lalu perlu dielakkan.

Sedangkan hutang itu kekal pada RM686.8 bilion selain ‘rompakan’ wang GST hanya akan mengundang ketakutan pasaran saham dan pelabur.

AWANG: Mahu hari ini lebih baik dari semalam.