Pendidikan awal kanak-kanak adalah perkara paling utama dalam perkembangan anak muda. Itu adalah punca masyarakat Jepun boleh maju.

Saya pernah singgah makan di sebuah restoran makanan segera, McDonald’s ketika berada Jepun pada satu ketika dahulu. Saya perhatikan ada seorang wanita turut sama makan di restoran tersebut. Ketika wanita itu sedang makan, dia dengan tidak sengaja telah menumpahkan minumannya.

Melihat kejadian itu, orang-orang di sekeliling wanita tersebut turut sama membantu dia mengemaskan mejanya. Ini menimbulkan rasa kagum dalam hati saya disebabkan perbezaan budaya yang ditunjukkan. Jika dibandingkan perkara sama berlaku di Malaysia, sudah tentu pelanggan lain buat tidak tahu sahaja.

Apabila ditanya kepada penduduk tempatan, mereka menjelaskan bahawa budaya berkenaan diterapkan sejak peringkat prasekolah lagi. Perbezaan ketara yang dapat dilihat pada sistem pendidikan prasekolah di Jepun adalah kanak-kanak tidak mempunyai tukang cuci untuk membantu mereka.

Kanak-kanak diasuh untuk membersihkan diri sendiri dan segala kemudahan yang telah mereka gunakan. Keadaan ini membentuk kanak-kanak di sana untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menjaga kebersihan. Ini menunjukkan bahawa asuhan pada zaman awal kanak-kanak sangatlah penting dalam pembentukan budaya dan jati diri.

Ibu bapa di Malaysia pula terlalu mementingkan pencapaian akademik sehingga memandang enteng kepentingan membina karakter anak-anak mereka. Anak-anak dianggap berjaya jika mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Disebabkan kepercayaan ini, rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang berorientasikan peperiksaan sahaja.

Oleh itu, pendidikan prasekolah di Malaysia perlu diubah supaya fokusnya lebih berteraskan pembinaan karakter dan jati diri dengan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan perlu dikenal pasti dan modul-modul untuk penerapan nilai-nilai tersebut diwujudkan. Antara nilai-nilai yang beliau ditekankan adalah kebolehpercayaan, sifat baik hati, kesetiaan, kerja berkumpulan dan sebagainya.

Perubahan modul yang diguna pada peringkat prasekolah ini amat penting. Ini kerana satu kajian yang diumumkan pada penghujung tahun lalu mendedahkan lebih ramai graduan bumiputera yang menganggur. Antara faktor yang mungkin menjadi penyumbang kepada keadaan ini adalah pendidikan prasekolah selain persekitaran mereka membesar yang menyebabkan graduan tiada sifat-sifat diperlukan majikan yang membolehkan mereka bersaing di pasaran pekerjaan.

Dalam pada itu, satu lagi isu penting adalah kewangan. Berdasarkan sejarah sebelum 1860, rakyat di negara ini menggunakan wang sebenar (real money) dan perkataan ringgit merujuk kepada satu syiling perak dengan berat 20 gram.

Selepas 1860, bank-bank telah diwujudkan termasuk The Chartered Bank (milik British) dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC) di Pulau Pinang. Bank itu kemudiannya memperkenalkan wang kertas yang dinamakan ringgit sekali gus menandakan berakhirnya zaman wang sebenar yang bersandarkan kepada emas dan perak.

Pada masa itu, orang Melayu tidak dibenarkan membuat pinjaman daripada bank berkenaan. Ini adalah salah satu strategi yang digunakan kerajaan British pada waktu itu untuk mengekang orang Melayu daripada menguasai ekonomi negara. Orang Melayu terpaksa meminjam wang daripada ceti-ceti dan dikenakan kadar faedah yang tinggi.

Disebabkan kekangan berkenaan, jurang ekonomi masyarakat Melayu dan kaum-kaum lain menjadi bertambah besar. Seorang peguam, Maarof Zakaria menyedari ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan British pada masa itu dan beliau nekad membuka bank untuk membolehkan orang Melayu membuat pinjaman.

Beliau mengasaskan Malay National Bank pada 1947 di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, bank ini tidak dapat beroperasi untuk jangka masa panjang kerana kekurangan dana. Malah, pengasasnya telah ditemui dibunuh dan sehingga hari ini misteri pembunuhannya masih tidak terjawab.

PROF. DATUK DR. AHAMED KAMEEL MYDIN MEERA ialah Pengarah Urusan Z Consulting Group (ZCG).