Ali menulis di atas dokumen perjanjian itu kalimat “Bismillahirrahmanirrahim”. Lantas wakil Quraish, Suhayl, berkata: “Demi Allah, kami tidak faham apa yang dimaksudkan dengan “ar-Rahman”? Tuliskan sahaja: “Bismikallahumma”. Nabi pun menyuruh Ali menulis seperti yang dipinta. Kemudian Ali menulis: “Inilah perjanjian yang dibuat oleh Muhammad Rasulullah”, lantas Suhail berkata: “Jiika kami yakin bahawa kamu adalah Rasulullah, sudah tentu kami tidak menghalang kamu datang ke Baitullah dan kami tidak memerangi kamu. Tulislah Muhammad bin Abdullah.” Rasulullah s.a.w. kemudian mengarahkan Ali menulis Muhammad bin Abdullah dan memadam perkataan Rasulullah dari lembaran perjanjian itu. Tetapi Ali menunjukkan protesnya dan enggan memadam perkataan itu kerana mungkin bagi Ali itu sebagai kompromi terhadap prinsip. Lantas Nabi Muhammad SAW sendiri yang memadamkannya sendiri.

Dalam peristiwaitu, Rasulullah s.a.w tidak pula menunjukkan sikap marah terhadap bantahan Quraish yang kafir itu. Para sahabat yang berada bersama baginda tidak pula menghunuskan pedang mereka untuk melawan atau memenggal kepala wakil-wakil Quraish kerana dikira telah menghina Rasulullah walaupun ketika itu kelompok Islam lebih dominan. Sebaliknya, Rasulullah tenang dan memastikan semua perjanjian dipersetujui dan dimeterai dalam bentuk dokumen yang mengikat dan dipatuhi kedua-dua belah pihak.

Seni khat jawi bukanlah sebahagian dari aqidah Islam. Ia bukan sebahagian dari rukun Islam atau rukun Iman. Al Quran tidak menganjurkan kita belajar khat dan Rasulullah tidak menyuruh kita belajar mahu pun menyebarkan khat. Tidak wujud istilah ‘jihad khat’ dalam vokabulari Islam.

Sekiranya tujuan pengajaran khat adalah untuk mengajar warisan budaya, banyak lagi warisan budaya yang lebih pokok yang harus diajar, dipelajari dan dilaksanakan dalam jiwa kita. Al Quran menyuruh kita berbicara dengan hikmah dan ucapan yang baik (Surah An Nahl 125). Ia juga melarang kita dari mencaci-cerca (Surah Al Hujurat: 11). Al Quran menyuruh kita bertindak adil (Surah An Nahl: 90). Ia juga menegaskan bahawa agama tidak boleh dipaksa ke atas sesiapa (Surah Al Baqarah:256).

Budaya kita mengajar kita bertindak dengan penuh sopan-santun dan berbaik-sangka. Kenapa warisan budaya itu tidak didahulukan?

Lebih aneh, kenapa orang Islam tidak merasa marah bila warisan ini diabaikan atau ada orang Islam lain yang bertindak menyanggahi akhlak sosial yang jelas dinyatakan dalam Al Quran? Kita bertelegah mengenai isu sampingan dan ada yang menyanggahi akhlak yang diajar Al Quran ketika bertelagah. Malangnya gelagat sebegini dapat dilihat pada ramai pemimpin politik dan golongan agamawan. Adakah ini akibatnya bila agama dicampur aduk dengan asabiyah perkauman? Malah dilihat golongan agamawan lah yang melebih-melebih mencaci cerca dan lebih kronik bila menggunakan pentas masjid dan surau.

Persoalan yang lebih pokok ialah apakah manfaat memaksa pengajaran seni khat di sekolah-sekolah venakular. Orang Islam sendiri ramai yang tidak menguasai seni khat. Dan kalau pun orang-orang bukan Islam menerima pengajaran khat di sekolah-sekolah venakular, bagaimanakah ini memberi manfaat kepada orang-orang Islam/Melayu.

Adakah memaksa pengajaran khat di sekolah-sekolah venakular akan menjadikan orang-orang Islam/Melayu lebih pintar, lebih kedepan dan lebih berdaya saing dalam akademi apatah lagi di bidang ekonomi? Adakah ia akan membolehkan orang-orang Islam/Melayu mengatasi berbagai masalah sosial seperti penagihan dadah, kadar penceraian yang meningkat, pengganguran siswazah yang tinggi, pembuangan bayi dan masalah remaja melepak? Adakah dengan memaksa pelajar-pelajar bukan Melayu belajar khat akan meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar Melayu di sekolah.

Untuk apakah orang Melayu akan bersorak jika mereka berjaya memaksa bangsa-bangsa lain mempelajari khat? Sekadar untuk berbangga dengan kekuasaan dan ketuanan melayu mereka walau pun sebenarnya mereka masih tertinggal di belakang malah merempat di tanahair sendiri? Apa lagi yang akan dipaksa selepas khat? Adakah selepas terpaksa mempelajari khat orang-orang bukan Melayu akan dipaksa berkhatan pula?

Episod bertelagah mengenai isu khat ini menunjukkan betapa pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini berfikiran kerdil dan masih gagal beralih dari politik pembangkang kepada menjadi “statesman”. Walau pun memegang jawatan Menteri, mereka tidak berfikir sebagai kerajaan tetapi sebagai politikus jalanan yang didorongi agenda sempit. Lebih menyedihkan politikus dan ahli kerajaan tidak memiliki pemikiran dan kemahiran ‘Penyelesai masalah’ untuk menyelesaikan masalah negara dan ummah.

Jika Rasulullah s.a.w. ada bersama kita hari ini adakah baginda akan menyeru kita berjihad menyebarkan khat? Adakah para sahabat akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan khat? Jika ada seseorang yang mati ketika memperjuang khat, adakah kematiannya itu akan dianggap sebagai mati syahid?

Walau pun isu khat ini kelihatan seolah-olah isu agama, ia sebenarnya agenda asabiyah perkauman. Adakah kita sebenarnya telah menjadi khalt dalam memperjuangkan khat?

Khalt bermakna bercampur aduk dalam Bahasa Arab. Penulis yakin mereka yang berkeras mengenai khat sedia mengetahui makna perkataan ini.

Wai Tee

19 Ogos 19