“Maka permintaan para pekebun kecil berkenaan tidak dapat dilayani. Ini demi memelihara alam sekitar daripada tercemar, seterusnya bagi menjamin bekalan air terawat yang berterusan untuk keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands,” katanya lagi.

Ungkapan ini sebagai reaksi kepada permintaan Persatuan Pekebun-pekebun Kecil India Cameron Highlands agar kerajaan negeri tidak meneruskan fasa kedua kerja-kerja penguatkuasaan berkenaan, yang dijangka bermula pada 1 April.

Pada fasa kedua ini, kerja-kerja penguatkuasaan dengan merobohkan struktur dan tanaman di tanah-tanah yang diceroboh oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands akan meliputi lagi 50 kebun.

Pada fasa pertama sebelumnya yang bermula 25 Februari sehingga pertengahan Mac, yang terbabit adalah 11 kebun. Keluasan keseluruhan 61 kebun terlibat kira-kira 55 hektar.

Ramai yang memuji tindakan tegas kerajaan negeri ini namun, para pekebun yang terbabit - menurut mereka sendiri yang melibatkan antara 250 dan 300 keluarga, sudah pasti membantah lalu memberikan hujah-hujah mereka.

Asalnya di atas tanah yang diceroboh khususnya di sekitar Sungai Ichat yang dalam kawasan tadahan air Terla, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) memang ada dikeluarkan. Yang paling awal pada tahun 1993.

Pada satu ketika selepas itu bilangan TOL menjadi 50, yang dikeluarkan atas nama ketua-ketua keluarga berkenaan sahaja.

Namun, dari semasa ke semasa, bagi setiap TOL yang dikeluarkan itu, terdapat lebih daripada seorang yang mengusahakannya, yang turut meliputi anak-anak yang sudah dewasa serta sanak-saudaranya.

Jika mereka mematuhi syarat-syarat ketat yang dikenakan pada setiap TOL, menurut seorang pegawai pertanian setempat, tentu tidak menjadi masalah terutamanya yang berkaitan dengan usaha agar alam sekitar tidak tercemar dengan kerja-kerja pertanian yang dijalankan.

Antara syarat-syarat itu ialah ketidakbenaran mendirikan struktur-struktur kekal serta keperluan mengkhaskan kawasan melupuskan sampah-sarap di atas tapak-tapak berkenaan, serta kewajipan menggunakan racun-racun serangga perosak yang dibenarkan.

Sungguhpun ada yang akur tetapi ada kalangan pekebun yang ingkar, akhirnya ia menyebabkan Sungai Ichat - dengan zon penampan di kedua-dua belah tebingnya turut diceroboh, telah tercemar teruk.

Oleh kerana Sungai Ichat yang teruk tercemar maka sumber air bagi Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla yang siap dibina dan mula beroperasi pada tahun 2007, hanya diperoleh dari Sungai Terla.

Bagaimanapun kini, menurut pegawai Pengurusan Air Pahang Bhd. (PAIP) pula, sumber air mentah dari Sungai Terla sudahpun didapati semakin berkurangan untuk dirawati secara mencukupi oleh LRA Kuala Terla.

LRA Kuala Terla sebenarnya berkapasiti antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam tetapi ekoran air mentah dari Sungai Terla pun semakin berkurangan, ia hanya dapat memproses dan menjana antara 480 meter padu sejam dan 550 meter sejam sahaja.

Keperluan air mentah dari Sungai Ichat dengan itu sangat diperlukan untuk diproses oleh LRA Kuala Terla bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi - bagi menampung 70 peratus keperluan air penduduk Cameron Highlands.

Sebelum air mentah dari Sungai Ichat dapat dan selamat digunakan, pemulihan Sungai Ichat tentu perlu dilaksanakan dan ini akan mengambil masa sebelum air sungai tersebut boleh digunakan.

Langkah pertama ke arah itu adalah dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan TOL yang sah lakunya setahun sejak tahun 2017 dan susulan itulah kerja-kerja merobohkan perlu dilaksanakan.

Apakah tindakan susulan kerajaan negeri selepas ini?

“Kerajaan negeri juga telah membuat keputusan supaya perkara-perkara berkaitan tanah-tanah pertanian ini akan diserahkan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mengendalikannya,” kata Wan Rosdy.

“Yang menerusinya, Jabatan Pertanian negeri misalnya, akan diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memastikan amalan pertanian yang berkesan dan selamat berpandukan MyGAP (Malaysia Good Agriculture Practice), perlu diikuti sepenuhnya oleh para pekebun di kawasan tanah tinggi ini,” katanya.