Ketenangan, kerja keras dan pengetahuan mendalam beliau menjadikan warna-warni perjalanan politiknya begitu prolifik, membezakannya dengan puluhan ahli politik lain.

Malah konsistensi dan komitmen yang ditunjukkan beliau dari dahulu hingga kini kekal pada tahap tertinggi sekali gus memadamkan cakap-cakap bahawa beliau bertindak “menggadaikan” negara dalam urusan melibatkan TPPA.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Pa sekali lagi bertindak konsisten dalam menyatakan bahawa adalah satu keperluan untuk negara menyertai perjanjian ini bagi memastikan kelangsungan Malaysia dalam bidang ekonomi. Kedaulatan negara akan terus dipertahankan dan tidak sesekali digadaikan hanya untuk memenuhi kepentingan TPPA.

Dalam pertemuan itu juga Mustapa mengakui bahawa TPPA ini ada baik dan buruknya tetapi paling penting adalah usaha dan kecekapan pihak-pihak mewakili negara dalam rundingan ini yang terdiri daripada wakil 16 kementerian dan agensi persekutuan, tidak sesekali berkompromi dalam isu-isu penting apatah lagi dalam mewakilii negara yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera serta Islam sebagai agama rasminya.

Malah pada peringkat awal rundingan ini dilaksanakan pada 2010, terdapat banyak pihak yang runsing dan skeptikal bagaimana negara kecil ini dengan penduduk sekitar 30 juta mampu memenuhi rundingan yang dikatakan berat sebelah kerana diketuai oleh negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS).

Malah ramai antara mereka yang gusar dan runsing itu merupakan penyokong dan Ahli Parlimen kerajaan termasuk nama besar seperti Tan Sri Shahrir Samad dan ramai lagi. Namun setelah diikuti secara dekat dan menghadam maklumat yang disampaikan sendiri oleh Mustapa maka akhirnya keresahan dan kekaburan mengenai TPPA ini terkubur.

Yang mengeruhkan keadaan dengan melakukan tohmahan dan “cerita rekaan” berlandaskan fakta ditokok tambah adalah pihak pembangkang yang sudah terbiasa mendendangkan sandiwara untuk menarik perhatian. Apatah lagi mereka sememangnya sudah terbiasa dengan dakwaan segala apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah tidak betul dan terpesong.

Dalam berhadapan dengan isu yang dilihat begitu kontroversi dari kaca mata pembangkang dan penyokong mereka, hakikatnya penglibatan Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) sebegini bukan sesuatu yang baharu.

Malah negara ini pernah di gelar “Harimau Asia” hasil daripada kejayaan FTA yang ditandatangani sekitar tahun 1980-an sehingga 1997. Sejak itu kebanyakan negara dunia semakin galak melaksanakan FTA sama ada secara berkelompok mahupun bilateral. Malaysia sendiri telah menjalin 13 FTA, enam menerusi ASEAN dan tujuh secara bilateral.

Antara perjanjian FTA secara berkelompok melibatkan Malaysia- ASEAN ialah ASEAN Free Trade Area (AFTA) yang dilaksanakan pada 1992, ASEAN- China pada 2004, dan ASEAN-Australia-New Zealand pada 2009. Manakala perjanjian bilateral pula antaranya, Malaysia-Jepun pada 2005, Malaysia-India, 2011 dan Malaysia- Turki 2014.

Oleh itu adalah tidak adil melihat TPPA dari sudut terlalu negatif kerana ia juga satu bentuk FTA baharu yang berpotensi membawa negara selangkah lebih baik selain mampu membawa ekonomi negara ke tahap tinggi bersesuaian dengan keadaan ekonomi global yang semakin mencabar kini.

Apatah lagi TPPA melibatkan 12 buah negara dengan keseluruhan penduduk seramai 800 juta dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$28 trilion. Namun FTA yang ditandatangani sebelum ini berbeza dengan TPPA kerana ia lebih tertumpu dalam soal pengurangan dan penghapusan tariff, liberalisasi sektor perkhidmatan, dan beberapa urusan lain.

Dalam soal melibatkan TPPA ini sudah tentu ia berbeza dengan FTA kerana lebih menyeluruh tetapi dilihat kontroversi, antaranya dalam skop perolehan kerajaan, buruh, alam sekitar, syarikat-syarikat milik kerajaan dan harta intelek. Malangnya kontroversi ini lebih disensasikan oleh pihak-pihak tertentu terutama pembangkang tanpa memberi peluang untuk penjelasan yang lebih adil dan tidak terlalu bersifat politik.

Perjanjian alaf baharu

Seperti yang diperkatakan sebelum ini kerajaan menyedari TPPA ada kelebihan dan kekurangannya. Namun berdasarkan penilaian dan keperluan untuk kelangsungan negara maka menurut Mustapa, kerajaan melihat negara akan memperoleh lebih banyak faedah dari keburukan.

Antaranya akses pasaran ke negara-negara yang Malaysia belum menjalin FTA mampu memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk bersaing di negara seperti AS, Kanada, Mexico dan Peru. Selain itu integrasi dalam rantaian bekalan yang lebih menyeluruh di peringkat global mahupun serantau mampu memberi faedah besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain itu peningkatan pelaburan yang mampu meningkatkan pendapatan serta peluang pekerjaan antara sebab utama kenapa TPPA perlu ditandatangani. Dan sudah tentu melalui TPPA juga ia akan mampu menawar pilihan yang lebih banyak dan menyeluruh kepada pengguna selain input yang lebih meluas serta murah untuk kepentingan industri.

Menjadikan TPPA ini satu keperluan untuk Malaysia menyertainya sekarang walaupun kita boleh sahaja memilih menyertainya kemudian atas pandangan “tunggu dan lihat” sama ada ia benar-benar berfaedah, adalah jaminan kita akan memperoleh kelonggaran dan pengecualian khas sebagai antara negara terawal menyertai perjanjian ini.

Kelonggaran inilah yang membenarkan kita melakukan rundingan atas terma sendiri serta mengambil kira model pembangunan Malaysia termasuklah mempertahankan dasar-dasar dan agenda bumiputera, yang menjadi kebimbangan utama kebanyakan rakyat di negara ini.

Malaysia melalui kebijaksanaan perunding-perunding yang diketuai Mustapa sendiri telah melakukan sesuatu yang harus dibanggakan apabila berjaya mendapat pengecualian dan kelonggaran untuk mempertahan kepentingan dasar bumiputera serta syarat halal untuk orang Islam. Malah kita juga berjaya mendapat kelonggaran untuk had nilai perolehan (threshold) yang tinggi dan tempoh peralihan yang panjang melibatkan perolehan kerajaan.

Jika kita memilih untuk tidak menyertai TPPA sekarang, ditakuti Malaysia akan kehilangan keistimewaan dan daya tarikan sebagai destinasi pelaburan serta berkemungkinan mereka akan mengecilkan atau memindah skala operasi ke negara-negara seperti Vietnam yang sehingga kini begitu komited menyertai TPPA. Lebih malang lagi jika kita memilih menyertai TPPA kemudian maka kerajaan terpaksa akur dengan segala kandungan perjanjian yang telah ditetapkan.

Oleh itu tuduhan bahawa Malaysia akan menggadai kedaulatan negara adalah tidak benar sama sekali kerana dasar-dasar nasional seperti agenda bumiputera serta perolehan kerajaan dan syarikat-syaikat milik kerajaan akan terus dipertahankan walaupun selepas TPPA ditandatangani.

Dan sudah tentu dalam hal melibatkan kedaulatan negara, banyak pihak yang tidak mampu mengelak daripada memikirkan dominasi AS dalam TPPA ini akan hanya menguntungkan syarikat-syarikat multinasional negara tersebut.

Perlu difahami bahawa rundingan ini tidak hanya melibatkan Malaysia dan AS sahaja tetapi 11 negara lain juga turut serta termasuklah Jepun dan Australia yang juga rakan dagang terbesar Malaysia. Keputusan dibuat secara kolektif dan mengambil kira kepentingan semua negara dan sudah tentu tidak wujud pandangan bahawa kita akan tunduk kepada AS atau semuanya ditentukan oleh negara Uncle Sam itu.

Secara keseluruhannya, kerajaan berpandangan TPPA mampu mewu­jud­kan situasi menang-menang kepada setiap negara yang terlibat. Ia juga adalah satu perjanjian perdagangan bebas yang komprehensif meliputi peraturan, pembukaan pasaran serta pemudah cara dalam perdagangan dan pelaburan.

Malah melalui TPPA juga ia mampu menjadi pengimbang tara dalam amalan tadbir urus yang baik melalui amalan-amalan ketelusan dan meminimumkan rasuah dan korupsi melalui pematuhan piawaian antarabangsa dalam bidang-bidang seperti undang-undang buruh dan alam sekitar.

Maka tidak hairanlah mengapa negara-negara serantau seperti Filipina, Thailand dan Indonesia yang pada awalnya memandang sepi TPPA, kini sudah “mendapat ilham” akan keperluan menyertai perjanjian alaf baharu ini. Ini sekali gus menjawab persoalan yang cuba diprovokasi oleh sarjana ekonomi terkenal Dr. jomo K.S tentang kenapa negara-negara tersebut berdiam diri sebelum ini tetapi kini sudah mula berubah fikiran.

Sememangnya banyak persoalan negatif yang cuba dilemparkan sejak dari peringkat awal sehingga ia bakal dibentangkan di Parlimen hujung bulan ini. Namun kita sebagai rakyat Malaysia perlu membezakan antara tohmahan dan putar belit dengan fakta dan kebenaran yang cuba dilakukan demi kebaikan dan masa depan yang lebih baik untuk semua.

Tuduhan bahawa semua ini dilakukan sebagai menggadai negara dan tunduk kepada AS adalah tidak masuk akal dan keterlaluan.