Kempen anti-Jawi di dalam buku teks Bahasa Malaysia yang dikatakan datang dari Dong Zong dan Jiao Zong telah pun ‘dipukul’ habis oleh orang politik.

Pertembungan antara Menteri Besar Selangor dan DAP yang dikaitkan dengan usul pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam, turut menjadi bualan ramai orang Islam.

Tapi izinkan Tumpang mengomel dua isu ini dalam kolum pojok ini, yakni mari kita bersama-sama ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’.

Jangan ‘diracun’ lawan politik seagama

Politik yang baik memang diakui mampu membina bangsa, agama dan negara. Tetapi jika salah bawa, politik boleh memusnahkan positive human values atau sifat positif manusia itu sendiri.

Tumpang sendiri dikongsi kisah mereka oleh rakan-rakan kalangan politik yang banyak mengalami peristiwa melibatkan kawan jadi lawan. Seseorang itu ditolong bersungguh-sungguh, misalnya untuk menduduki tempat tertinggi di peringkat tertentu. Tak sampai enam bulan orang itu mencengkamnya balik.

Apabila kawan bertukar sifat daripada yang dijangkakan, Tumpang hanya senyum kambing dan berkata “apa nak buat, bak kata orang kampung, sudah terlangsung beragih. Keris pusaka sudah terlepas ke tangan orang.”

Analogi paling tepat ialah seperti perumpamaan Melayu lama: Bagaikan melepaskan anjing tersepit, binatang itu menggigit pelepasnya balik. Pengalaman seperti ini wajar ditelan seperti manisan sahaja walaupun yang ditelan, sebenarnya hempedu paling pahit.

Di samping itu ada pula manusia yang sama-sama berjuang tetapi tidak henti-henti dengki dan curiga atas kebolehan orang lain. Ini pun kena telan. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, arwah Tun Ghafar Baba dan pemimpin tinggi yang lain, lebih-lebih lagilah mengalami derita seperti ini. Tapi mereka berdaya tahan (survive).

Bagi Tumpang, kisah-kisah bersejarah dalam politik tanah air seperti ini umpama memberi ubat dan rangsangan untuk insaf dan bersyukur. Yang juga perlu kita insafi ialah dinamisme perjuangan memerlukan kedua-duanya - kawan dan lawan.

Cuma dalam politik, lawan bukan bermakna perlu dimusnahkan atau dicederakan. Lawan dalam politik seharusnya bererti berlumba dalam perjuangan secara rela hati dengan mementingkan etika harmoni parti.

Proses itu tidak semestinya meracuni persahabatan atau hubungan sesama manusia, apatah lagi seagama.

Tegakkan yang hakiki

Orang Melayu tidak harus apologetic atas nama perjuangan membela nasib bangsa dan agama atau semasa menegakkan yang hakiki.

Fakta bahawa negara ini asalnya negara Melayu tetapi dikongsi pembangunan dan pentadbirannya dengan warga bukan Melayu.

Pendidikan nasional mesti terasas kepada beberapa prinsip antaranya hak asal-usul di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; hak Raja-Raja, hak pribumi, bahasa dan budaya, di samping hak-hak sah kaum lain diterima. Jika ada pertubuhan cauvinis memekak, parti-parti Melayu dari Pakatan Harapan sendiri selain UMNO-Pas mesti berani menempelak mereka.

Jika warganet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja, seret mereka untuk didakwa cepat dan segera. Jangan teragak-agak bila berdepan dengan pencabulan hak asasi kaum.

Perimbangan kuasa ini perlu diterima oleh orang Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum yang lain.

Hidupan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang.

Bila tak tahu halal, haram

Tumpang amati klip video sebuah treler membawa muatan susu terbalik di Simpang Tiga Kampung Tawang dekat Bachok Kelantan awal pagi 31 Julai lalu menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan.

Susulan itu satu rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan penduduk kampung berpusu-pusu mengutip susu tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Satu lagi video dikirim oleh satu grup WhatsApp Tumpang yang berdinamik, Agenda Melayu Mahawangsa dianggotai orang-orang lama, memaparkan satu insiden di bandar Nanjing, timur China tiga hari sebelum kejadian di Bachok itu. Kejadian menyaksikan tiga tan botol-botol berisi air Cola jatuh di lebuh raya.

Tetapi apa yang ‘sungguh pelik’ dan menariknya, pejalan kaki dan pemandu kereta bekerjasama mengutip botol-botol Cola berkenaan untuk dikembalikan kepada pemandu trak sehingga tidak ada satu pun yang hilang.
Tumpang lantas
beristighfar beberapa kali.

Insiden-insiden serupa pernah berlaku. Antaranya pada 26 Julai 2017, orang ramai berkerumun mengutip timbunan beras yang jatuh dari sebuah lori yang membawa muatan 40 metrik tan bekalan itu di Tali Air 3, Sungai Burong, Tanjong Karang.

Bab ambil barang orang ini, tak perlulah rujuk hukumnya daripada mufti. Fikirkanlah nasib pemiliknya yang terpaksa membayar ganti rugi dari duit gaji sendiri dek kemalangan yang dialami.

Tanyalah diri anda sendiri sebab susu, duit syiling atau beras tadi akan dibawa untuk dimakan oleh isteri dan anak-anak. Agaknya anak-anak yang “bagaimana jenisnya akan keluar dari rumah untuk mengharungi kehidupan di bumi Allah SWT ini.”

Di Bachok, Tumpang lihat si pengambil susu berkenaan tidak lah bertatu atau sampai si lelakinya bertindik di telinga. Si wanitanya nampak orang baik-baik belaka. Naif. Dan surau-surau serta masjid pasti berterabur di kawasan berdekatan. Tapi perangai, alahai!.

Eh! marah benor nampaknya Tumpang kepada mereka ini. Dok ah!...bukan lagi marah tapi MALU dengan bangsa sendiri.

Terapkanlah dalam diri nilai murni dan sahsiah budaya yang disegani. Baru orang lain boleh respek.